Artikel
Penulis Sebagai Ikon Generasi Baru
oleh Roziyah pada 27 Jun 2011
Penulis sebagai suara masyarakat menjadi pena paling tajam dalam melahirkan modal insan yang berkualiti. Melalui penulisan yang dihasilkan dapat memberi gambaran yang jelas soal baik dan buruk dan memberi input kepada pembaca. Hal ini menunjukkan yang bidang penulisan menjadi satu bidang penting dalam membudayakan ilmu dalam masyarakat.
"Bagi melahirkan ilmuan generasi baru yang cintakan ilmu, kita memerlukan ikon terbaik kepada generasi baru ini. Kita menghadapi masalah apabila generasi muda kini lebih suka menjadikan golongan yang bukan ilmuan sebagai ikon mereka. Hasilnya mereka mudah terpengaruh dengan budaya yang dibawa oleh ikon kegemaran mereka," jelas Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Selangor, YB Dr. Hajah Halimah Ali.
Bagi beliau, generasi baru perlu menjadikan ilmuan dan penulis sebagai ikon dalam kehidupan mereka bagi melahirkan masyarakat berilmu. Hal ini dijelaskan beliau dalam Perhimpunan dan Konvensyen Penulis sempena Pesta Buku Selangor 2011.
"Kerajaan Negeri Selangor kini mengadakan program jejak ilmuan di Selangor bagi melahirkan ilmuan yang berkualiti dan menjadi 'role model' kepada masyarakat.
"Ilmuan dari negeri Selangor akan dikumpulkan dalam usaha menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuan. Penulis juga disarankan membantu memberi kerjasama dalam melahirkan Selangor sebagai Hub Ilmuan," jelas Dr. Hajah Halimah lanjut.