Artikel
Pesta Buku Selangor: Booth PTS Sedia Kaunter Cabutan Bertuah
oleh Roziyah pada 24 Jun 2011
Hari ini Pesta Buku Selangor membuka tirainya. Pelbagai buku dan aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung yang hadir.
Booth PTS juga tidak ketinggalan memeriahkan Pesta Buku Selangor dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan hadiah yang mengujakan pengunjung yang hadir.
Seperti biasa, diskaun besar-besaran sehingga 20% disediakan bagi buku-buku penerbit tempatan kepada pengunjung yang hadir ke booth buku PTS.
Selain itu, wakil jualan buku PTS juga menyediakan kaunter cabutan bertuah kepada pembeli buku-buku di booth PTS. Pembeli berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM500 melalui kaunter cabutan bertuah ini selain seratus hadiah misteri lain.
Pembeli hanya perlu menunjukkan resit pembelian dan berpeluang menyertai cabutan bertuah ini. Buku-buku percuma juga disediakan kepada 100 pembeli pertama yang membeli buku di booth PTS.
Bertempat di Shah Alam Convention Centre, pesta buku yang kali ke-6 diadakan ini dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.
Pesta Buku ini juga mendapat kerjasama yang menggalakan daripada jabatan-jabatan dan organisasi seperti Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pelajaran Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam, Bahagian Teknologi Pendidikan, dan banyak lagi.
Buat pertama kalinya Pesta Buku Selangor kali ke-6 ini bertukar lokasi dari Kompleks PKNS ke Shah Alam Convention Centre bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan membuka ruang lebih ramai pempamer bagi mengambil bahagian.
Bertemakan "Jom Membaca Di Mana-Mana" pesta buku ini mensasarkan bilangan pengunjung seramai 350,000 orang. Penganjur juga menyediakan lebih dari 150 booth yang melibatkan penyertaan lebih dari 70 pempamer. Antara pempamer yang terlibat termasuklah PTS, Ana Muslim, Kumpulan Media Karangkraf, Al-Hidayah dan banyak lagi.
Pesta Buku Selangor ini bermatlamat meningkatkan tahap intelektual dan pemikiran masyarakat melalui pembacaan. Usaha yang berterusan ini diharap akan merealisasikan matlamat 'knowledge community' dan seterusnya meningkatkan sosio-ekonomi dan tahap hidup masyarakat.
Pesta buku ini juga adalah antara pendekatan PPAS bagi membantu kerajaan menurunkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat.
Pesta Buku Selangor kali ini membawa kelainan dengan menganjurkan bersama Program Hari Ilmu iaitu Perhimpunan dan Konvensyen Penulis serta kempen 15 minit berhenti membaca'. Perasmiannya akan diadakan pada 26 Jun 2011 di Pentas Utama, SACC Shah Alam.
Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang 11 hari pesta buku berlangsung antaranya persembahan Upin & Ipin, bermesra bersama Aliff dan Anis (maskot PPAS), ESQ Sentuhan Qalbu, pelancaran buku, baca cerpen Kavyan, diskusi dan bicara buku, Tanyalah Ustaz, pertandingan membaca dan banyak lagi.
Pengunjung yang hadir juga akan dihiburkan dengan persembahan puppet show, story telling, persembahan Manjaku (Kumpulan Pewiit PPAS) serta kuiz penonton yang diadakan sepanjang aktiviti pentas diadakan.
Jangan ketinggalan membawa seisi keluarga ke Pesta Buku Negeri Selangor 2011 yang meriah dan menghiburkan selain mendapatkan buku-buku terbaik sebagai bacaan seisi keluarga.