Artikel

Penyair-penyair yang dipenjara

oleh [email protected] pada 18 Jul 2011

Penyair muda Bahrain, Ayat al-Gormezi, boleh dianggap penyair yang paling terkenal mutakhir ini, apabila tindakannya mendeklamasi puisi dalam tunjuk perasaan pro-demokrasi mengkritik pemerintahan beraja di negara itu, mengheretnya ke penjara.
Ayat berusia 20 tahun yang dibebaskan pada minggu lalu, ditahan di rumahnya pada 30 Mac selepas dua minggu bersembunyi dan terpaksa merengkok dalam penjara selama 40 hari.

Ketika gelombang tunjuk perasaan memuncak pada Februari lalu, beliau mendeklamasikan puisi itu di Dataran Mutiara yang menjadi dataran utama di Manama, Bahrain yang kedudukannya strategik seperti Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir.

Bait puisinya dianggap menjadi kemarahan kerajaan apabila beliau menujukan karyanya kepada Raja Hamad Isa al-Khalifa secara langsung sehingga disambut oleh teriakan penunjuk perasaan, 'Letak jawatan, Hamad!':

Kami akan membunuh penghinaan dan menghapuskan penderitaan
Tidakkah kau mendengar tangisan mereka?
Tidakkah kau mendengar teriakan mereka?

Ayat dalam wawancara dengan The Independent menggambarkan sembilan hari pertamanya selepas ditahan penuh dengan penyeksaan termasuk dipukul dengan kabel elektrik pada bahagian muka dan dikurung dalam sel kecil serta sejuk, selain dipaksa membersihkan bilik air dengan tangan.

Dalam wawancara yang boleh dibaca di laman web www.independent.co.uk itu, Ayat menceritakan detik-detik penahanannya secara terperinci termasuk ketakutannya terhadap ugutan penderaan seksual.

Bagaimanapun, Ayat tidak bersendirian dalam menerima hukuman akibat puisi kerana penyair veteran dari negara jirannya, Syria, iaitu Ali Dirbak, 76, ditahan di Banias kerana mendeklamasi puisi pada protes anti-rejim pada Mei lalu.

Pada 2009 pula, penyair muda Syria, Tal Al-Mallouhi, dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan 'mendedahkan rahsia kepada negara asing' tanpa diumumkan bukti kesalahannya.

Bagaimanapun, ia dipercayai ada hubung kait dengan puisi Tal yang dimuat naik di blognya, selain artikel berkisar masalah sosial dan politik.

Di Zimbabwe pula, penyair Julius Chingono, ditahan sebentar oleh polis kerana membaca puisinya, Seragamku pada perhimpunan Penyair-penyair Zimbabwe untuk Hak Asasi Manusia (ZPHR) di perkarangan pos polis di Harare.

Puisinya seputar anggota polis dan tentera yang mempergunakan seragam mereka untuk mendapatkan bekalan makanan itu, menyebabkan beliau turut dipanggil masuk ke pos terbabit untuk disoal-siasat sebelum anggota ZPHR masuk campur untuk menerangkan semangat perhimpunan terbabit.

Nasib Chingono itu, mengingatkan kita kepada penyair tanah air yang juga Sasterawan Negara (SN), A Samad Said, apabila tindakannya mendeklamasi puisi Ungun Bersih pada satu majlis turut membawa kepada soal-siasat oleh polis tetapi tidak sampai ditahan.

Bagaimanapun, nasib yang sama tindak dinikmati oleh penyair Burma, Saw Wai, apabila ditahan pada 22 Januari 2008 kerana menghasilkan puisi sempena Hari Kekasih tetapi mempunyai kod yang mengkritik junta tentera di bawah pimpinan Than Shwe.
Puisinya berjudul 14 Februari itu diterbitkan di Achit Journal yang bermaksud Jurnal Cinta tetapi setiap huruf pertama dalam baris puisinya boleh dibaca sebagai 'Gila Kuasa Jeneral Kanan Than Shwe'.

Beliau dijatuhkan hukuman dua tahun penjara pada 11 November tahun yang sama atas kesalahan menulis puisi yang menghina pemimpin tertinggi junta tentera dan dibebaskan pada 26 Mei 2010.

Peristiwa penahanan penyair kerana puisi dan deklamasi mereka menunjukkan puisi sebenarnya boleh menjadi 'senjata' ampuh dalam perjuangan mereka yang mewakili masyarakat di negara mereka.

Meskipun, puisi hanya membabitkan beberapa baris dengan pemilihan diksi yang padat tetapi ia dapat menghantar sejuta maksud yang membawa semangat dan suara hati rakyat.

Sementara puisi masih berbisa untuk menyuntik semangat ke dalam nurani rakyat dan ketakutan ke dalam hati penguasa, maka kita akan sentiasa mendengar kisah penyair-penyair yang dipenjara.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025