Artikel

Kosmetik Bahasa Lindungi Dosa

oleh Roziyah pada 15 Jul 2011

Artikel dipetik daripada http://hairul.net/ pada 15 Julai 2011.

Kosmetik itu sesuatu yang fantastik. Kosmetik menambahkan seri muka dan dunia ini tambah indah dengan seni kosmetik. Dengan aura kosmetik, wajah bertambah cantik dan bulu mata menjadi lentik. Penampilan kita tambah menarik dengan kuasa kosmetik.

Sayangnya, kosmetik hanya terhad untuk kecantikan luaran sahaja. Tiada lagi inovasi yang mampu menghasilkan alat kosmetik untuk mencantikkan lagi akhlak manusia. Mujur juga tiada alat kosmetik untuk sifat manusia, sekiranya tidak, penuhlah dunia ini dengan manusia hipokrit.

Kini, manusia semakin hebat dalam seni kosmetik. Setakat mencantikkan rupa manusia, itu hanyalah perkara biasa. Manusia semakin kreatif dan kini mereka mula bereksperimen dengan seni kosmetik bahasa.

Apakah itu kosmetik bahasa?

Pertama sekali, mari kita lihat seni kosmetik bahasa dalam dunia politik. Orang politik memang hebat dalam seni kosmetik bahasa. Mereka tidak perlukan pertolongan sasterawan negara membantu mereka dalam soal ini. Berikan kepada mereka satu perkara yang haram, maka mereka mengurangkan keharamannya dengan kosmetik bahasa.

Politik Wang

Rasuah kini lebih selesa dipanggil dengan gelaran politik wang. Ketahuilah, menukar istilah tidak akan sesekali menukar hukum perbuatan tersebut. Politik wang adalah rasuah dan rasuah itu haram. Rasuah akan menjatuhkan maruah dan dahsyat sekali ancaman azabnya oleh tuhan. Pemberi dan penerima rasuah adalah pengkhianat yang menerima laknat Allah. Mereka adalah golongan yang celaka dan akan dicampakkan ke dalam neraka.

"Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka."

Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh At-Tabrani.

Istilah politik wang itu seolah-olah melambangkan bahawa isu rasuah sekadar isu politik semata-mata dan tiada kena-mengena dengan soal agama. Tidak, sesekali tidak. Kamu katakan politik suku, agama suku, maka kamulah orang yang otaknya beku dan otak tiga suku.

Seks Haram

Seterusnya, satu lagi kosmetik bahasa yang popular dalam masyarakat kita adalah seks haram. Zina adalah perkataan yang lebih jelas untuk menerangkannya.

Kosmetik bahasa seks haram ini ada hubungan yang sangat rapat dengan kosmetik wajah. Kalau wajah yang disolek indah itu dipakejkan sekali dengan aurat yang terdedah, maka ia adalah permulaan kepada seks haram. Manusia yang lemah iman dan bernafsu binatang sentiasa tertarik kepada seks dan terlupa kepada istilah haram yang terletak di belakang perkataan itu. Ya, kita panggil sahaja nafsu binatang kerana binatang itu kerjanya hanya dua; makan dan mengawan. Alangkah hinanya kita kalau kehidupan kita hanya berputar kepada dua perkara ini sahaja.

Istilah seks haram dengan mudahnya akan menjauhkan manusia daripada agama, melupakan insan kepada Allah dan mengurangkan ketakutan pasangan cinta kepada azab neraka.

Seks haram, sesuai dengan namanya, sememangnya haram. Zina itu haram, bahkan mendekati zina sekalipun amatlah dilarang.

"Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." Surah Al-Isra, ayat yang ke-32. (17:32)

Label Islamik

Satu lagi kosmetik bahasa yang terkenal adalah label islamik. Label islamik menjadi lesen halal dan promosi pemasaran yang sangat berkesan. Ada fesyen islamik, ada bisnes islamik dan ada juga cerita hantu islamik.

 

Baca lanjut di http://hairul.net

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025