Artikel
Peranan perpustakaan sebagai pusat budaya
oleh Helmi pada 31 Jul 2006
Oleh kerana sebab-sebab kekangan sumber dan kehendak pembaca, tidak hairanlah tumpuan perpustakaan kebiasaannya lebih memfokus kepada perkhidmatan maklumat dan rujukan sebagai peranan utama.
Akan tetapi ketiga-tiga peranan lain yang disebutkan di atas tidak sepatutnya dianggap terlaksana secara kebetulan disebabkan ketersediaan koleksi bahan bacaan dan penyelidikan yang terkumpul, tersusun serta mudah diakses dalam suasana yang menggalakkan penggunaan dan perujukan bahan. Perpustakaan perlu proaktif dalam peranan sebagai pusat pembelajaran, pusat budaya dan rekreasi jika ingin memainkan peranan yang berkesan dan lebih bermakna dalam masyarakat dan komuniti setempat.
Manifesto UNESCO/IFLA (Pertubuhan Pendidikan, Saintifil dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu/ Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan dan Institusi-institusi Perpustakaan) untuk perpustakaan awam menggariskan misi perpustakaan awam termasuk meningkatkan kesedaran tentang warisan budaya, penghayatan seni serta memberi akses dan galakan kepada pengungkapan budaya dan seni persembahan. Manifesto yang telah diterima pada tahun 1994 kini telah diterjemahkan ke dalam 25 bahasa, termasuk bahasa Malaysia.
Seminar Serantau Mengenai Perpustakaan Awam: Perancangan Untuk Keperluan Masa Depan khusus untuk merumus pelan tindakan pembangunan perpustakaan awam bagi negara-negara Asia Tenggara dan benua kecil India sejajar dengan manifesto ini telah diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1997. Seminar anjuran Perpustakaan Negara ini telah mendapat penyertaan meluas dengan kerjasama Majlis Perpustakaan Awam Negeri di Malaysia, Persatuan Perpustakaan Malaysia (PPM) dan IFLA Section on Public Libraries dan Regional Section on Asia and Oceana.
Setelah hampir sepuluh tahun kemudian, wajar pelan tindakan yang dirumuskan pada tahun 1997 ini dikaji semula dari segi pencapaian pelaksanaannya sebagai asas strategi pelaksanaan untuk 10 tahun akan datang. Dengan adanya rangkaian perpustakaan yang lebih luas dan mantap di seluruh negara, perpustakaan awam kini lebih bersedia memainkan peranan sebagai pusat budaya dan pembelajaran dengan terancang dan berkesan.
Ini akan memerlukan perubahan dari segi pemikiran dan sikap sesetengah pustakawan sendiri di samping pengubahsuaian fizikal ruang dan kemudahan perpustakaan sedia ada serta perancangan perpustakaan baru.
Jika Rancangan Malaysia Kelapan sewajarnya lebih banyak memberi penekanan kepada kemudahan ICT, perancangan bangunan dan perkhidmatan perpustakaan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan pula perlu memberi lebih penekanan kepada peranan perpustakaan sebagai pusat budaya dan pembelajaran.
Dalam hal ini bukan sahaja perpustakaan awam, tetapi semua perpustakaan perlu memberi tumpuan kepada perancangan pengisian yang lebih proaktif dalam peranan sebagai pusat budaya dan pembelajaran untuk pelbagai peringkat umur.
Aktiviti yang mencorakkan peranan sedemikian bertujuan menarik minat komuniti sasaran ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan sebagai tempat tumpuan ramai, sama ada orang awam, pelajar mahupun golongan profesional. Aktiviti ini perlu diadakan dengan kekerapan yang teratur supaya menjadi suatu kelaziman sehinggakan perpustakaan sinonim dengan aktiviti budaya dan pembelajaran. Matlamatnya adalah untuk merapatkan perpustakaan dengan komuniti dan masyarakat setempat dan menjadikan perpustakaan kepunyaan mereka dan sebahagian hidup mereka.
Bertitik tolak dari landasan asas tetapi penting ini, perpustakaan perlu lebih serius meningkatkan keupayaan menyokong dan membantu agensi kerajaan yang berkaitan dengan maklumat, budaya, pembelajaran dan rekreasi mencapai matlamat dan hasrat negara. Semua perpustakaan perlu mempunyai program aktiviti yang mantap bagi menyokong matlamat yang berkait rapat dengan perpustakaan terutamanya membudayakan membaca dan mengejar ilmu serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat. Matlamat dan perancangan aktiviti ini hendaklah diserapkan dalam pelan strategik perpustakaan. Peranan kerajaan dan pihak berwajib meluluskan peruntukan dan sumber yang diperlukan amat penting bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan.
Perpustakaan juga boleh secara khusus menyasarkan sebahagian program dan aktivitinya bagi menyokong dan membantu mencapai hasrat kerajaan dalam bidang khusus seperti meningkatkan penghayatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Dalam negara majmuk seperti Malaysia memajukan penerbitan atau pembacaan dalam bahasa kebangsaan perlu menangani cabaran berpunca daripada perbilangan kaum, bahasa dan budaya yang mempunyai kepentingan dan keinginan sendiri untuk memajukan atau menghidupkan bahasa ibunda sendiri.
Di samping itu Bahasa Inggeris yang penting sebagai bahasa antarabangsa juga perlu dikuasai, terutama dalam persekitaran globalisasi dan liberalisasi dan keperluan masyarakat yang mampu berdaya saing. Pustakawan perlu peka dengan cabaran terhadap bahasa kebangsaan dan memainkan peranan yang proaktif menganjurkan program penghayatan dan pembudayaan sastera Melayu di perpustakaan.
Walaupun bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan sekian lama, koleksi perpustakaan menunjukkan bahawa buku-buku dalam bahasa Malaysia masih belum mencukupi untuk menampung keperluan penyelidikan dalam negara. Selepas hampir 50 tahun merdeka perpustakaan masih bergantung kuat kepada buku terbitan luar negara dalam bahasa Inggeris untuk membina koleksi bagi menampung keperluan pelajar dan tenaga pengajar di institusi pendidikan tinggi.
Oleh DATUK ZAWIYAH BABA