Artikel
Apabila ISBN jadi 13 angka
oleh Helmi pada 31 Jul 2006
Bukan luar biasa, seorang penulis mendakwa bahawa bukunya berwibawa kerana mempunyai nombor ISBN, dan malahan ada profesor universiti tempatan yang ditugaskan untuk membuat penarafan tentang penerbitan ilmiah di negara ini menyatakan bahawa sesebuah buku itu tidak bernilai akademik jika tidak mempunyai ISBN!
Apakah ISBN? ISBN ialah singkatan daripada International Standard Book Number atau Nombor Buku Piawai Antarabangsa. Nombor itu merupakan tanda pengenalan yang unik diberikan kepada semua buku yang diterbitkan untuk membolehkannya diniagakan di peringkat global dengan mudah. Di dalam buku, nombor ISBN lazimnya diletakkan di halaman hak cipta buku dan di kulit belakang buku, bersama-sama dengan kod bar.
Selama ini, nombor ISBN terdiri daripada 10 angka digit. Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2007 nanti, semua nombor ISBN pada buku akan diubah kepada 13 angka. Sistem 10 angka digit dikatakan sudah tidak mampu lagi memberikan tanda pengenalan kepada buku di negara maju yang jumlahnya semakin bertambah setiap tahun. Di samping itu, kekeliruan sering timbul dalam perekodan di premis jualan kerana penggunaan ISBN semata-mata mungkin bercampur dengan pelbagai barangan yang lain.
Di bawah sistem ISBN, setiap judul atau edisi buku mempunyai nombornya sendiri. Jika sesebuah buku diterbitkan dalam edisi kulit keras dan lembut, maka terdapat dua nombor yang berbeza yang merujuk salah satu edisi yang berkenaan. Dengan demikian, kesilapan yang mungkin berlaku dalam pemesanan buku oleh kedai buku atau pemenuhan pesanan buku oleh penerbit tidak mungkin akan berlaku. Bayangkan jika sebuah kedai buku di New York mahu memesan 50 judul buku daripada sebuah penerbit di Malaysia.
Dengan nombor ISBN, kedai buku itu hanya menyenaraikan nombor-nombor ISBNnya sahaja di samping menyertakan bilangan naskhah yang dikehendaki. Ia tidak perlu lagi mencatatkan nama pengarang, judul buku yang dikehendaki, tahun diterbitkan, dan nama penerbitnya kerana nombor ISBN itu sendiri menjelaskan maklumat-maklumat itu.
Terdapat empat komponen dalam 10 nombor digit ISBN seperti gambar di atas bahawa nombornya 0-901690-54-6. Komponen yang pertama ialah digit tunggal yang menunjukkan bahasa atau negara buku itu diterbitkan. Semua penerbitan buku di Malaysia menggunakan nombor 967 atau 983 sebagai komponen pertamanya, sementara 0 merujuk kepada buku yang diterbitkan di Amerika Syarikat atau Britain.
Komponen yang kedua merujuk kepada penerbit yang menerbitkan buku berkenaan. Prefix ini mengambil kira jumlah output terbitan sesebuah penerbit-jika menerbitkan banyak buku dalam setahun, komponen nombor yang kedua ini sedikit; sebaliknya jika buku yang diterbitkan sedikit, nombor komponen ini banyak. Dewan Bahasa dan Pustaka mempunyai prefix 62, sementara Penerbit Fajar Bakti dan Utusan Publications and Distributors mempunyai prefix 65 dan 61. Penerbit yang kecil seperti Arenabuku dan Pelanduk Publications diberikan prefix yang lebih panjang, iaitu 970 dan 978 kerana jumlah terbitan mereka sedikit.
Komponen yang ketiga pula merujuk kepada nombor bilangan yang spesifik diberikan kepada setiap judul buku yang diterbitan. Inilah komponen nombor yang membezakan sebuah buku dengan buku lain atau dengan edisi lain. Bahagian terakhir daripada ISBN ialah digit kawalan (check digit), iaitu satu perkiraan matematik yang membolehkan komputer menguji kesahihan angka digit sebelumnya di samping untuk mengesan kesilapan nombor. Nombor digit itu adalah di antara 0-10. Memandangkan nombor ISBN sebelum ini mestilah dalam sepuluh angka, jika angka digit kawalannya 10, maka angka Rom X digunakan, bukannya angka Arab 10.
967/983 65 0476 9
1 2 3 4
1 - Rujukan negara atau bahasa buku itu diterbitkan. Rujukan bagi Malaysia ialah 967 atau 983.
2 - Nombor prefiks untuk penerbit.
3 - Nombor bagi judul buku berkenaan.
4 - Angka digit kawalan.
Pada masa ini, kod bar yang terdapat di belakang kulit buku memberikan nombor EAN yang terdiri daripada 13 angka. EAN ialah International Article Number, iaitu nombor standard 13 angka untuk barangan keluaran bagi dikenali dalam perdagangan antarabangsa. Nombor EAN diedarkan dan dipantau oleh EAN International-sebuah pertubuhan yang menetapkan piawai dan aturan tentang penggunaan nombor rujukan bagi pelbagai barangan keluaran yang boleh dibaca oleh kod bar. EAN memperuntukkan dua angka prefiks untuk buku, iaitu 978 dan 979, sementara untuk barangan lain, nombor prefiksnya berlainan.
Di bawah peraturan baru oleh EAN itu, mulai 1 Januari 2007 nanti, semua penerbit dikehendaki memaparkan sekali nombor prefiks 978 atau 979 dalam nombor ISBN mereka. Dengan berbuat demikian, sistem bacaan kod bar yang digunakan di kedai atau tempat jualan akan dapat merekodkan sekali nombor prefiks yang berkenaan, di samping empat komponen nombor ISBN yang lazim.
Di negara ini, nombor ISBN dikeluarkan dan dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Para penerbit yang mahu menerbitkan bukunya boleh membuat permohonan kepada PPN dengan mengisi borang yang berkenaan di samping menyertakan halaman awalan buku yang hendak diterbitkannya. PPN akan memberikan nombor ISBN bersama-sama.
Data Pengkatalogan Dalam Penerbitan. Data pengkatalogan tersebut biasanya akan dimasukkan di halaman hak cipta buku. Data tersebut memberikan panduan kepada perpustakaan untuk menyediakan katalog kepada buku berkenaan dan untuk menjadi panduan tentang di mana buku itu perlu disimpan di dalam rak-rak perpustakaan.
Dengan mempunyai nombor ISBN, secara automatik buku itu terakam dalam bibliografi nasional dan rekod itu amat penting dari segi dokumentasi. Tanpa nombor ISBN, buku itu akan sukar dikesan kewujudannya, apatah lagi apabila penerbit atau pengarangnya telah tiada.
Oleh HAMEDI MOHD ADNAN