Artikel

Perang-Perang yang Benar: Membunuh Musuh Allah (Siri 2)

oleh Hairul Faizal Adli pada 09 Feb 2012

Dua orang remaja Ansar menyertai Perang Badar. Mereka bersenjatakan pedang dan mencari-cari musuh Allah, iaitu Abu Jahal untuk dibunuh. Mereka adalah Muaz Bin Amr al-Jamuh, 14 tahun dan Muawwiz Bin Afra, 13 tahun. Mereka meminta Abdul Rahman Bin Auf menunjukkan kepada mereka di mana Abu Jahal berada.

“Ibu saya berpesan, jangan pulang ke rumah selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari badannya.” Muaz bersungguh-sungguh mahu membunuh Abu Jahal.

“Abu Jahal menghina dan menyakiti Rasulullah. Saya mahu membunuhnya.” Muawwiz menegaskan kemahuannya.

Tiba-tiba seorang tentera Quraisy menyerang Abdul Rahman Bin Auf dari belakang. Muaz dan Muawwiz melindunginya. Muaz menetak kaki tentera itu menyebabkan dia jatuh tersungkur. Muawwiz pula menikamnya sehingga mati. Abdul Rahman Bin Auf kagum dengan kehebatan dua remaja itu.

Sebaik sahaja Abdul Rahman Bin Auf melihat kelibat Abu Jahal yang berada di bawah sepohon kayu yang rendang, dia menunjukkannya kepada dua remaja itu. Muaz dan Muawwiz terus berlari pantas ke arah Abu Jahal. Abu Jahal berada di atas kudanya dan tidak sedar kedatangan dua remaja itu. Muaz memancung kaki kanan kuda menyebabkan kuda dan Abu Jahal jatuh tersungkur. Dia bertempik marah menahan kesakitan. Dia cuba bangun, tetapi Muaz segera menetak kaki kanan Abu Jahal sehingga terputus. Muawwiz pula menetak kepala Abu Jahal sehingga dia menggelupur kesakitan.

Abu Jahal cedera parah tetapi masih hidup. Anaknya Ikramah datang melindunginya. Ikramah menetak tangan kiri Muaz hingga terkulai hampir putus. Muawwiz pula syahid dibunuh oleh Ikramah. Kemudian, Rasulullah mengarahkan Abdullah Bin Mas’ud mencari Abu Jahal. Abu Jahal cedera parah tetapi masih hidup. Abdullah Bin Mas’ud memijak lehernya dan berkata, “Wahai musuh Allah dan musuh Rasul-Nya. Hari ini Allah menghina kamu.”

Abdullah Bin Mas’ud menghayunkan pedang lalu memenggal kepada Abu Jahal. Akhirnya, tumpaslah musuh Allah itu di tangan tentera Islam.

Babak-babak peperangan Badar ini diceritakan dengan lebih terperinci dalam buku Perang-Perang Yang Benar, catatan perang yang lengkap dan menyemarakkan semangat jihad.

Siri ulasan seterusnya akan memaparkan detik-detik cemas Rasulullah terkena panah dan ditetak dengan pedang oleh tentera Quraisy dalam Perang Uhud.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024