Artikel

Abd Rahman Auf: Mutiara Bisnes Untuk Usahawan Muslim (siri 2)

oleh Hairul Faizal Adli pada 08 Feb 2012

“Dalam keheningan kota Madinah, tiba-tiba kedengaran bunyi gerombolan unta memasuki kota. Abdul Rahman Bin Auf pulang dari Syam dengan kafilah dagang, 700 ekor unta yang sarat dengan barang dagangan.”

 - Anas Bin Malik

Sistem kafilah dagang atau rombongan bisnes dipraktikkan oleh masyarakat Arab, termasuklah Abdul Rahman Bin Auf. Menurut sejarah Islam, nilai bisnes kafilah dagang Arab mencecah jutaan ribu dinar setahun. Modus operandi sistem ini sama seperti aktiviti import dan eksport sekarang.

Ramai peniaga yang bergabung dalam satu kafilah dagang. Mereka bergerak bersama-sama untuk berurus niaga ke luar negara seperti Syam. Ahli dalam satu kafilah dagang boleh mencecah ratusan orang dan bilangan unta hampir 1000 ekor. Unta adalah pengangkutan utama dan berfungsi sebagai sistem kargo pada zaman itu.

Imam Malik berkata,

“Sudah menjadi tradisi orang Madinah, orang membeli pakaian di sebuah kedai dan membawanya ke kota lain bagi dijual dengan tambahan untung yang disepakati.”

Konsep bisnes yang diamalkan dalam kafilah dagang ini adalah murabahah. Dengan cara murabahah, satu barang dijual dengan harga yang ditetapkan selepas dikira harga kos dan nilai keuntungan. Walaupun keuntungan adalah matlamat utama bisnes, Abdul Rahman lebih mengutamakan keberkatan. Kata-kata beliau yang terkenal adalah,

“Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit, tetapi diberkati Allah.”

Bagi mengaplikasikan konsep kafilah dagang ini dengan keuntungan yang optimum, strategi bisnes Tao Zhugong boleh digunakan. Tao Zhugong adalah tokoh pengasas pemikiran bisnes Cina. Strateginya adalah,

“Kenal pasaran dan lakukan jual beli pada waktu keemasan.”

Permintaan pelanggan dan trend pasaran sentiasa berubah-ubah mengikut perubahan masa, musim, dan cuaca. Bagi memanfaatkan maklumat pasaran, Tao Zhugong dan rombongannya berjalan jauh selama berbulan-bulan bagi mencari pasaran yang sesuai dan mengaut keuntungan yang lumayan.

Hasil gabung jalin antara konsep kafilah dagang dan strategi bisnes Tao Zhugong, kita akan dapat memantapkan aktiviti bisnes supaya keuntungan yang optimum dapat diperolehi.

Dalam siri ketiga, pembaca akan didedahkan dengan konsep persaudaraan Islam yang menjadi asas pembinaan empayar bisnes yang kukuh. 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024