Artikel
Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011: Penganjur Mula Terima Tempahan Tempat
oleh Roziyah pada 27 Oct 2010
Penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 sudah menerima tempahan daripada penerbit dan penggiat buku tempatan dan antarabangsa.
Penerbit dan pengusaha yang mengambil bahagian dalam PBAKL juga mula melakukan persediaan bagi merancakkan PBAKL yang menjadi perayaan besar kepada penggiat buku dan peminat buku di Malaysia.
Semalam berlangsungnya majlis Pra- Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Majlis yang berlangsung di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur ini membawa tema 'Buku: Dunia Tanpa Sempadan'.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa pengelola, PBAKL, Dr. Azmi Shahri, sokongan yang kukuh terhadap industri perbukuan di Malaysia menjadikan pesta buku ini semakin meriah dan menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.
"Pedagang asing juga ditawarkan membuat pameran di PBAKL. Kita juga menerima peningkatan daripada negara luar," jelas Dr. Azmi ketika berucap dalam Pra-Perasmian PBAKL semalam.
Beliau berkata, melalui penganjuran PBAKL ini, penerbit dan pengusaha buku dibantu bergerak agar industri buku mempunyai nafas baru yang lebih segar bagi memacu ekonomi negara.
Penganjur PBAKL juga merancang pelbagai kaedah bagi mempromosikan PBAKL 2011.
"PBAKL harus dirancang sebaik mungkin agar satu masa nanti ia mampu setanding dengan Pesta Buku yang diadakan di Frankfurt, Jerman," ujar Dr. Azmi.
PBAKL yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia ini diharapkan dapat membuka ruang dan peluang yang lebih besar kepada penggiat buku di Malaysia agar lebih berkembang.
PTS juga tidak melepaskan peluang membuat tempahan tempat awal bagi PBAKL tahun hadapan yang pastinya menjanjikan kelaian kepada semua peminat-peminat PTS.