Perjalanan Mencari Hidayah Allah: Allah Loves Me

oleh Amirah pada 29 Apr 2015

allahlovesme-web-380x573

Pasti ramai yang mengenali nama Jerry D Gray. Seorang penulis buku konspirasi yang cukup diminati kerana karya-karyanya yang lain daripada yang lain. Beliau sering hadir dengan naskhah-naskhah yang cukup laris, tidak kira di Malaysia ataupun di Indonesia.

Antaranya buku Deadly Mist dan Rasulullah is My Doctor yang mencapai jualan puluhan ribu unit.

Mungkin ada yang sudah tahu sedikit sebanyak tentang beliau. Seorang ‘mat salleh’ yang dahulunya bukan beragama Islam, tetapi kemudiannya mendapat hidayah Allah.

Seorang bekas tentera Amerika Syarikat. Seorang bukan Melayu yang mampu berbahasa Indonesia dengan cukup baik.

Tetapi tahukah kita yang beliau ini ada darah Gengkhis Khan? Tahukah kita yang beliau membesar tanpa televisyen dan telefon?

Tahukah kita yang beliau pernah mencuba dadah dan hidup dengan alkohol? Dan tahukah kita yang beliau pernah mendengar ‘suara-suara’?

Tidak dilupakan juga, siapa sangka nenek Jerry D. Gray, seorang Kristian yang taat, pernah berkata bahawa Nabi Isa adalah utusan Tuhan dan manusia biasa. Bukan anak Tuhan?

Dalam naskah terbaru ini, kita dibawa mengenali Jerry D. Gray secara cukup intim. Kita menelusuri liku-liku hidupnya.

Betapa beliau diuji sejak kecil, dengan mendapat ibu yang suka memukul dan menghina.

Sementara ayah beliau pula jarang berada di rumah kerana sibuk dalam perkhidmatan Tentera Udara Amerika.

Allah Loves Me mendedahkan perincian hidup penuh drama lelaki bernama Jerry D. Gray ini.

Dengan muka surat sepenuhnya berwarna dan bergambar, kita seperti dibawa terus ke dalam hidup Pak Jerry.

Apabila tuan puan baca beberapa halaman pun, sudah terasa saspens dan tarikannya. Apa lagi dengan ketebalan 392 muka surat. Insya Allah puas hati.