Artikel

Perkembangan Pertengahan Kanak-kanak

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Pada peringkat awal prasekolah, kebanyakan perkembangan kanak-kanak meningkat dengan pesatnya. Saiz badan kanak-kanak mengalami perubahan apabila lemak di dalam badan mengalami penurunan 12% daripada berat badan manakala anggota badan yang lain mengalami perkembangan.

Perkembangan fizikal ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor antaranya:
Genetik
Pemakanan
Kewangan keluarga
Bangsa

Perkembangan kanak-kanak prasekolah tidak sepesat semasa mereka bayi. Pertumbuhan kanak-kanak lelaki dan perempuan agak setara, di mana purata kanak-kanak lelaki berumur 3 tahun mempunyai ketinggian 38 inci dan berat 33 paun. Sementara kanak-kanak perempuan lebih kecil dan agak ringan (Tanner, 1978). Di sini pengaruh genetik memainkan peranan penting apabila ibu bapa tinggi, anak-anak mereka juga mengalami perkembangan yang pesat dan agak tinggi daripada kanak-kanak sebaya mereka.

Perkembangan Otak

Perkembangan otak kanak-kanak mempunyai pertumbuhan yang pesat sebanyak 75% daripada saiz otak orang dewasa apabila mencapai umur 5 tahun. Pertumbuhan neuron dan ‘myelination’ dengan pesat membolehkan maklumat dipindahkan dengan lebih cekap antara sel-sel otak.

Serebrum adalah pembahagian utama otak yang menjalankan peranan kritikal dalam proses diskriminasi membuat keputusan, pembelajaran dan pemikiran. Otak terdiri daripada dua hemisfera dan lapisan luar ialah ‘cerebral cortex’ pada sebelah kiri yang memainkan peranan dalam bahasa manakala hemisfera kanan berperanan dalam pemikiran dan penyatuan emosi.

Apabila mencapai umur lingkungan 5 tahun, hubungan di antara dua hemisfera meningkat dan lebih efisien membenarkan kanak-kanak menggunakan fungsi yang melibatkan kedua-dua belah otak. (Huttenlocher, 1990; 1994)

Kemahiran Motor Kasar

Kanak-kanak prasekolah mengalami perkembangan kemahiran motor yang cepat sama ada kemahiran motor kasar mahupun motor halus. Kemahiran motor kasar adalah kawalan pada tingkah laku yang memerlukan banyak otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya. Perkembangan kemahiran motor banyak bergantung kepada perkembangan otak, ke-seimbangan badan dan peningkatan koordinasi mata-tangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan atau pendengaran mengalami masalah menyeimbangkan badan. (Hatton, Bailey, Burchinal & Farrell, 1997) Perkembangan motor seorang kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh:
Latihan
Peniruan
Genetik
Perkembangan otak
Budaya

Kemahiran Menyambut dan Membaling Bola

Membaling dan menyambut bola adalah satu kemahiran motor yang agak kompleks pada peringkat perkembangan kanak-kanak. (Marques-Bruna & Grishaw, 1997) Pada peringkat ini, perkembangan motor kanak-kanak semakin matang mengikut peringkat umur:
2 tahun - Menggunakan tangan tetapi pergerakan badan tiada.
3 tahun - Gunakan tangan dengan pergerakan badan tetapi kaki tidak bergerak.
5-6 tahun - Menggerakkan kaki serta pergerakan semakin meningkat.

Kemahiran kanak-kanak menyambut bola semakin meningkat pada peringkat awal. Kanak-kanak dapat menyambut bola dengan me-letakkan tangan di hadapan pada umur 4 tahun. Pada umur 5 tahun, mereka dapat menyesuaikan pergerakan tangan bagi menyambut bola dengan lebih cepat.

Kemahiran Motor Halus
Kemahiran motor halus menggunakan otot-otot yang kecil seperti jari dan tangan. Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan jari tangan mereka, tetapi memakan masa yang lama supaya menjadi lebih mahir. (Geraldson & Hopkins, 1997) Kemahiran meng-gunakan jari dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka. Kanak-kanak ini lebih cenderung menggunakan tangan. Kemahiran menggunakan motor halus mengalami peningkatan selari dengan meningkatnya umur mereka:
2 tahun - Menyelak muka surat di buku dan membentuk menara daripada blok-blok mainan sehingga 8 blok.
3 tahun - Menggunakan sudu untuk makan, meniru bulatan.
4 tahun - Dapat memakai baju sendiri, melukis bentuk tangan manusia dan menggunakan gunting.
5 tahun - Membutangkan baju, membuka zip.

Pemakanan dan Kesihatan Kanak-kanak

Perkembangan kanak-kanak banyak bergantung pada cara pemakanan dan tahap kesihatan mereka. Ini kerana perkembangan kanak-kanak tidak sekerap perkembangan semasa mereka masih bayi. Kebanyakan kanak-kanak memerlukan 1700 kalori sehari dan kurang 35% kalori adalah lemak. Kebanyakan kanak-kanak meng-alami kelebihan dan kekurangan zat makanan kerana tidak men-dapat nutrisi yang secukupnya. Nutrisi yang tidak mencukupi menyumbang kepada penyebab kematian kanak-kanak di seluruh dunia (UNICEF,1998).

Kekurangan pemakanan
Kekurangan zat makanan selalunya melibatkan negara yang meng-alami pelbagai kemiskinan yang teruk seperti di Afrika dan Asia. Ianya selalunya dikaitkan dengan pelbagai faktor seperti:
Ekonomi
Kekurangan penjagaan kesihatan
Kekurangan pengetahuan
Kehidupan keluarga yang miskin

Kanak-kanak yang mengalami masalah kemiskinan hanya memakan bijirin dan tidak mendapat nutrien yang lain seperti protein, vitamin dan mineral yang diperoleh melalui buah-buahan dan sayuran serta produk vitamin. Penyakit akibat kekurangan nutrien adalah anemia iaitu kekurangan darah merah disebabkan hemoglobin tidak berupaya bergabung dengan zat besi. Selain daripada itu, akibat dari kekurangan nutrien bukan hanya menjejaskan perkembangan otak tetapi juga:
Perkembangan motor dan otak
Pembelajaran sekolah
Pengasingan diri dari persekitaran sosial
Lembap
Mudah letih

Kemalangan

Kemalangan sering berlaku kepada kanak-kanak sama ada di rumah ataupun di luar rumah. Salah satu daripadanya adalah kemalangan semasa melintas jalan tanpa melihat kiri dan kanan. Selain daripada itu, kemalangan di jalan raya akibat tidak menggunakan tali pinggang ketika menaiki kereta juga sering berlaku.

Semua ini dapat dielakkan sekiranya ibu bapa lebih memberi perhatian pada keselamatan anak-anak mereka. Ibu bapa juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan kerusi khas untuk anak-anak mereka ataupun menampal pelekat untuk memberi peringatan kepada pemandu lain.

Penyakit

Kematian akibat penyakit polio dan influenza semakin berkurang dewasa ini. Penyakit seperti polio dan influenza dapat dielakkan dengan adanya Skim Vaksin Penyakit bagi membantu golongan miskin dalam mengawal penyakit berjangkit.
Selain daripada itu, ibu bapa haruslah lebih peka pada keselamatan di rumah mereka. Benda-benda yang membahayakan kanak-kanak seperti racun serangga, cat gasolin hendaklah disimpan di tempat yang tidak mudah didapati oleh mereka. Ini kerana, sering juga berlaku kes anak-anak termakan racun akibat kecuaian ibu bapa.

Kognitif

Cara kanak-kanak berfikir dan menyelesaikan masalah. Kanak-kanak pada peringkat pra-sekolah banyak menggunakan simbol dalam perbualan untuk menunjukkan keupayaan penggunaan bahasa. Menurut Jean Piaget, kanak-kanak menunjukkan peningkatan yang pesat dalam memahami persekitaran dan pemikiran sesuatu benda yang berada di sekeliling.

Kanak-kanak sudah mula berfikir perkara akan datang dan berbincang perkara lepas. Mereka tidak lagi hanya menumpukan pada perkara yang berkaitan dengan masa depan. Perkembangan kognitif kanak-kanak pada peringkat ini, menggunakan simbol bagi menunjukkan sesuatu objek dan membuat perbandingan antara satu sama lain. Keupayaan mereka menggunakan simbol ini ditunjukkan melalui bermain, mengingat dan kemahiran menggunakan bahasa. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak dapat meniru perbuatan rakannya yang menari ballet walaupun mereka melihat beberapa hari yang lepas. Ini kerana keupayaan mereka menunjukkan sesuatu objek agak terhad dalam bahasa dan mereka cuba menyampaikan maksud dengan meng-gunakan simbol.

Menurut Piaget lagi, kanak-kanak pada peringkat praoperasi tidak dapat menerima pendapat orang lain serta membandingkan sesuatu objek dengan objek yang lain seperti bola adalah bulat.

Memori kanak-kanak

Kanak-kanak mempunyai ingatan yang pendek kerana beberapa faktor, antaranya adalah:

Mudah terganggu
Mudah terganggu apabila terdapat bunyi bising ataupun perkara yang berwarna-warni. Daya tumpuan yang singkat.
Tumpuan meningkat apabila kanak-kanak berumur 3-8 tahun.

Perkembangan Sosial dan Kognitif

Menurut Piaget, kanak-kanak meneroka perkara-perkara menarik dan berharga melalui interaksi dengan orang lain dan objek. Proses ini dikatakan proses mental bagi menghasilkan produk ‘mengetahui’ yang melibatkan aktiviti:
Mengingat
Beri makna kepada simbol
Mengkategorikan
Mereka cipta
Berimaginasi
Menyelesaikan masalah

Perkembangan psiko-sosial dan sosio-emosi membentuk personaliti, hubungan dan peranan sosial serta interaksinya dengan persekitaran. Ini dapat mewujudkan proses perhubungan saling bertindak iaitu interaksi dan transaksi antara organisma individu dan persekitaran.

Ibu bapa dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak dengan memindahkan pengetahuan berkenaan maklumat dan budaya dalam menunjuk ajar mereka melalui tingkah laku ibu bapa itu sendiri. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menghadapi masalah, mereka mempunyai tendensi bercakap sendirian bagi menyelesaikan masalah itu. Ini dinamakan ‘private speech’ yang diperkenalkan oleh Vygotsky. Menurut Piaget pula, kecenderungan kanak-kanak bercakap sendirian disebabkan sifat egosentrik mereka, lalu beliau menamakan ‘egocentric speech’.

Pengaruh Budaya ke atas Pemikiran Kanak-kanak
Kanak-kanak didedahkan dengan organisma lain yang ada di persekitaran bagi membantu perkembangan kognitif melalui pendedahan berkaitan program-program prasekolah dan tadika yang memberikan aktiviti dan pengalaman mengikut peringkat umur kanak-kanak itu. Guru dan ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendedahkan dan memberi mereka pendidikan yang berkesan kepada kanak-kanak. Ini dilakukan dengan menyediakan persekitaran yang menarik bagi merangsang minda kanak-kanak melalui:
Pendedahan
Latihan
Pelaziman
Galakan
Tanggungjawab ke atas tugas tertentu.

Sebagai contoh rancangan ‘Sesame Street’ dan ‘Head Start’ memainkan peranan membantu kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang miskin dalam memperbaiki pembelajaran kanak-kanak berkaitan nombor, perkataan dan tatabahasa. Ini sekali gus mengeratkan hubungan antara kaum supaya bersatu hati. ‘Head Start’ adalah program yang dibentuk bagi membantu kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah kewangan.

Bahasa
Perubahan dalam bahasa atau pertuturan

Pada umur 5 tahun, kanak-kanak sudah mula bertutur dengan baik dan mula menguasai asas-asas bahasa seperti semantik, sintaksis, dan pragmatik, Ia berkembang dan diperbaiki apabila mereka mula meningkat dewasa. Mereka menggunakan:

Perencanaan segera
Menggabungkan bunyi perkataan dengan konsep perkataan.

Penambahan melampau
Perkataan menunjukkan objek daripada kategori lain.

Penambahan terkumpul
Perkataan digunakan bagi kumpulan yang lebih kecil daripada perkataan sebenar.

Gaya bahasa merujuk
Gaya bahasa merujuk kepada memperbanyakkan perbendaharaan kata.

Gaya bahasa ekspresif
Gaya bahasa merujuk penggunaan perkataan untuk kegunaan harian dalam interaksi sosial dengan orang dewasa.

Bagi mempelajari perkataan, kanak-kanak mestilah memahami maksud, mengetahui perkataan antara perkataan dan memahami maksud setiap perkataan itu. dan perkembangan bahasa mereka.
Penting bagi ibu bapa terlibat dalam proses perkembangan secara langsung. Kanak-kanak prasekolah mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah berkenaan tatabahasa. Ini sekali gus menghasilkan komunikasi tindak balas bagi memulakan hubungan sosial bahasa mereka. Ini boleh dilakukan dengan berkomunikasi secara betul sejak dari awal lagi. Perkara ini boleh dilakukan dengan mengulangi sebutan sebagai melatih mereka. Sebutan yang betul boleh digunakan seperti menggunakan komunikasi non-verbal dan memanjangkan ayat telegrafik.

Mengenali Peranan Jantina

Kanak-kanak mula membezakan mereka daripada kumpulan jantina dan memahami peranan mengikut jantina masing-masing:
Identiti jantina
Mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan.
Label jantina
Mengelaskan seseorang mengikut jantinanya.
Stabiliti jantina.
Jantina akan kekal selamanya.
Konsisten jantina
Jantina tidak berubah walaupun seseorang itu berubah daripada segi penampilan dan aktivitinya.

Stereotaip Jantina ke atas kanak-kanak

Mempercayai apa yang dikongsi oleh ciri-ciri tertentu pada lelaki dan perempuan. Kanak-kanak mengetahui mereka lelaki ataupun perempuan bermula sejak mereka berumur dua setengah tahun. Pada akhir prapersekolahan, mereka mengetahui jantina adalah sesuatu yang stabil dan konsisten atau terus-menerus. Tetapi, mereka masih tidak memahami dengan jelas identiti jantina mereka sehingga umur 4-5 tahun.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024