Artikel
Pesta buku perlu dibaiki
oleh Helmi pada 12 Apr 2006
Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) yang berlangsung selama seminggu di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan berakhir 2 April lalu sememangnya mempunyai kelainan berbanding 24 pesta seumpama itu sebelum ini.
Bukan lokasi pesta sahaja berubah, waktu diadakan juga tidak sama di luar musim cuti persekolahan, mencetuskan suasana agak berlainan selain barangkali menggamit pengunjung yang bukan biasa jumlahnya.
KLIBF yang bermula 23 Mac itu adalah penganjuran kali ke-25, acara yang dianggap terbesar di Asia dan paling ditunggu-tunggu oleh penerbit, pustakawan dan pencinta buku dari seluruh negara.
Ia selesai penganjurannya dengan membawa matlamat dan mengusung tema sama tahun lalu iaitu Buku Memperkaya Minda’.
Dalam sebarang bentuk majlis atau acara sekalipun, apabila ia selesai diadakan, orang bercakap pula mengenai bagaimana prestasi, pencapaiannya serta apa boleh diperbaiki pada masa depan. Begitu juga dengan acara tahunan KLIBF ini. Ada cakap-cakap yang bukan sedikit mengenainya. Tulisan ini bukan untuk mengkritik atau menghentam penganjuran acara, sekadar coretan biasa pelbagai kisah di pesta buku.
Ilmu
Namanya ialah pesta buku, tetapi ia bukan sekadar mempamer atau menjual buku. Banyak juga bahan bukan buku turut dijual.
Sememangnya dapat difahami bahan-bahan bercetak lain seperti majalah dan komik pasti ada dalam pesta buku.
Tetapi bahan-bahan bukan bercetak yang ada kaitan dengan ilmu seperti kaset serta CD-Rom turut dipamer dan dijual.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahan-bahan bukan bercetak atau multimedia begitu banyak dipamer dan dijual.
Sehinggakan di gerai-gerai tertentu, pesta buku bagaikan pesta elektronik, bingit dengan bunyi dan meriah bersama gambar-gambar bergerak.
Dan ia masih tidak kurang di KLBIF kali ini.
Kegilaan terhadap teknologi maklumat (IT) masih tercermin dalam pesta buku kali ini apabila banyak syarikat penerbitan buku turut menjual CD-Rom dan buku-buku berkaitan IT.
Itu belum termasuk `gangguan’ promosi oleh penjual-penjual set buku sehingga menuntut masa pengunjung (khususnya ibu bapa) untuk mendengar cara mereka `mempromosi’ ilmu pengetahuan untuk disebarkan kepada anak-anak.
Pengunjung yang `terpedaya’ akan duduk mendengar barangkali sehingga sejam penerangan yang diberikan penjual set buku berkenaan.
Ini sebenarnya boleh sahaja menyekat niat asal’ pengunjung ke pesta mahu menikmati sepuas-puasnya buku, tidak kira yang tempatan atau luar negara atau membeli buku buat koleksi sendiri atau untuk anak-anak.
Keadaan menjadi buruk sekiranya kedudukan gerai mereka berhampiran pintu masuk utama. Lebih teruk jika ada sesetengahnya seolah-olah memaksa pengunjung duduk dan mendengar promosi’ mereka yang mirip jualan langsung itu.
Dalam hal ini, pihak penganjur sepatutnya lebih prihatin dan boleh mencari jalan wajar bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Kita menyedari bahawa ada beberapa komen daripada pengunjung yang kurang senang dengan jualan promosi’ set buku berkenaan ada di pesta. Kita akan lebih prihatin dengan masalah itu dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik tidak merugikan penjual dan memberi manfaat kepada pengunjung berhubung hal ini,’’ kata Setiausaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (NBCM), Roselan Zainal Abdidin kepada Utusan Malaysia.
Mengenai lebih banyak budaya IT’ di pesta, beliau berkata, sememangnya dengan adanya IT, maklumat kini bukan saja boleh disimpan dan dibaca daripada buku, tetapi juga lebih cekap apabila digunakan CD-Rom dan Internet.
Tetapi perlu juga diingatkan bahawa buku masih tetap menjadi wadah yang praktikal dan indah untuk menjunjung maklumat, pengetahuan dan kebijaksanaan.’‘
Mudah kata, walaupun CD-Rom lebih canggih, tetapi saat ini, percubaannya untuk menggantikan buku boleh sahaja dianggap tidak setanding.
Kelebihan utama buku daripada pencabar-pencabarnya yang lain kata Roselan, ialah formatnya yang memudahkan penumpuan.
Kalau dengan Internet, pembaca hanya mudah melayari bukannya membaca. Jadi kelebihan masih pada buku.’‘
Dalam pada itu, adalah dipercayai bahawa jumlah pengunjung ke pesta semakin bertambah berbanding tahun-tahun lalu walaupun ia diadakan di luar musim cuti persekolahan.
Ternyata benar apabila dua hari terakhir pesta buku (Sabtu dan Ahad), PWTC diserbu sehingga untuk memasuki Dewan Tun Razak II atau tepi sungai (tempat berlangsung pesta) pula terpaksa berasak-asak.
Mereka yang datang kebanyakannya ibu-bapa (tentunya bersama anak-anak), pelajar sekolah rendah dan menengah serta tidak ketinggalan para mahasiswa.
Masalahnya, pada hari Sabtu juga, bermula satu lagi acara yang menjadikan kumpulan sama sebagai sasaran mereka.
Memandangkan lokasi kedua-dua acara terletak bersebelahan, itu menjadikan keadaan lebih sesak dan keadaan menjadi kacau apabila aliran masuk ke pesta buku terpaksa ditahan oleh pengawal keselamatan.
Pendidikan
Sememangnya kita mengetahui bahawa pameran pendidikan untuk kanak-kanak turut penting kerana ia juga ada kaitan dengan ilmu.
Tetapi bayangkan senario ini. Sejak dari rumah, iltizam dan azam ibu bapa serta anak-anak adalah ke pesta buku. Apabila tiba di lokasi, keadaan sesak dan anak-anak mula membuat hal, akhirnya ibu bapa akur sebelum beralih niat ke pameran lain bukannya ke pesta buku (walau dari rumah beria-ia mahu ke pesta buku).
Dan apabila memasuki pameran pendidikan, bukannya buku yang dibeli kerana kebanyakan pengisiannya adalah makanan dan bukannya produk pendidikan.
Pengakhirannya, ramai ibu-bapa yang asalnya mahu ke pesta seolah-olah keluar dari gedung membeli-belah, bukannya membawa beg plastik dipenuhi buku sebaliknya susu, kek dan pizza.
Hal kesesakan dan cara pengurusan dua acara serentak ini barangkali dianggap remeh, tetapi ia memberi kesan kepada pengunjung.
Boleh dikatakan bahawa ribuan pengunjung yang datang ke PWTC dan bersesak itu adalah kerana mahu ke pesta buku, bukannya ke pameran pendidikan kanak-kanak.
Kalau itu kebenarannya, alangkah bagus untuk dunia atau industri perbukuan serta kesannya kepada minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Dalam perkembangan sama, KLBIF 2006 yang dirasmikan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mencatatkan sejarah tersendiri buat Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (UP&D) apabila anak syarikat Kumpulan Utusan itu mendapat tempat kedua gerai tercantik.
Sebanyak 300 gerai dibuka untuk penerbit-penerbit tempatan dan luar negara yang mana 10 daripadanya disewa oleh UP&D dan dua gerai oleh Utusan Melayu Berhad dan Utusan Karya Sdn. Bhd. sebanyak dua gerai.
Gerai UP&D mendapat sambutan ramai lebih-lebih dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, tokoh wartawan, Said Zahari dan seniwati Datuk Sarimah Ahmad di gerai.
Sementara itu, Roselan berkata, pesta buku akan datang bakal melibatkan lebih banyak penyertaan sama ada dari negara Asia atau tempatan.
Namun yang paling penting ialah azam menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ilmu dan pesta buku merupakan pemangkin ke arah itu.
Walau apa yang diperkatakan tentang KLIBF 2006, penulis tetap yakin penganjuran pesta buku seumpama ini amat penting kerana ia melambangkan kemajuan industri perbukuan negara yang menjadi asas terpenting kepada perkembangan ilmu dan maklumat.