Artikel
Menjadikan Kuala Lumpur Banda Raya Buku
oleh Helmi pada 12 Apr 2006
MENJADIKAN KUALA LUMPUR BANDAR RAYA BUKU
Oleh DATUK ZAWIYAH BABA
Baru-baru ini ada disiarkan dalam surat khabar tempatan pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak mengenai penubuhan Book City atau Bandar Buku di Kuala Lumpur. Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) telah diminta mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk kompleks ini.
Bandar Raya Buku ini akan menjadi saluran utama bagi promosi dan jualan buku tempatan, tempat pelancaran buku, tempat rundingan hak untuk terbitan serta terjemahan buku dan pameran buku-buku baru. Walaupun matlamat atau konsep sebenar projek ini belum begitu jelas lagi saya percaya semua pihak yang berkaitan dengan industri buku mengalu-alukan langkah yang memberansangkan ini.
Kompleks Bandar Raya Buku di Tehran, Iran dan Shenzhen Book City di China merupakan contoh gergasi konsep Bandar raya Buku ini. Walau bagaimana pun nama Book City juga popular dikalangan pembekal-pembekal buku yang menawarkan buku-buku baru dan buku-buku terpakai melalui internet.
Selain daripada itu, yang menarik perhatian saya ialah Hollywood Book City yang terletak di Hollywood Walk of Fame di Hollywood, Los Angeles. Kedai buku ini mengkhusus dalam penjualan skrip filem dan television. Kini terdapat pilihan 3,300 skrip filem klasik dan moden dan berjuta-juta (303,332,929) skrip dari 169983 program television klasik dan moden! Kedai buku ini juga membekalkan buku-buku mengenai segala aspek industri filem dan biografi baru, lama dan nadir mengenai bintang-bintang filem Amerika dan negara-negara lain.
Pekan buku terpakai juga memang telah lama wujud dan dikenali ramai seperti Hay-on-Wye yang terletak di sempadan England dan Wales di Britain. Terdapat banyak bandar-bandar yang juga terkenal dengan kedai buku terpakai atau kedai buku lama. Kedai buku yang memainkan dwiperanan sebagai kedai buku biasa dan kedai buku terpakai juga semakin bertambah di Britain. Saya pernah bekerja sambilan di kedai buku seperti ini semasa belajar di Aberystwyth, Wales, United Kingdom.
Saya perhatikan buku-buku terpakai memang popular di kalangan pengunjung kedai itu, terutama buku-buku sejarah, kamus, novel dan buku-buku mengeni Wales dan dalam bahasa Welsh.
Satu ketika dahulu konsep Kampung Buku telah diperkenalkan di Langkawi sebagai salah satu tarikan pelancong. Akan tetapi tanpa minat, sambutan dan sokongan masyarakat setempat dan tempatan amat sukar untuk memajukan usaha seperti ini. Mungkin Banda Raya Buku ini boleh juga memikirkan cara memajukan perniagaan buku-buku terpakai kerana memang popular dikalangan masyarakat membaca di Malaysia.
Pengalaman saya dan rakan-rakan pustakawan mengadakan jualan buku-buku terpakai atau Book Bang setiap tahun untuk memungut derma bagi Persatuan Perpustakaan Malaysia pada tahun 70-an dan awal 80-an sentiasa mendapatkan sambutan yang amat baik dari penduduk setempat. Di syorkan di antara aktiviti yang dianjurkan Bandaraya Buku ini kelak termasuk festival buku-buku terpakai setiap tahun. Ramai yang suka membaca tetapi tidak mampu membeli buku baru akan mengalu-alukan nya.
Diterbitkan
Satu lagi projek yang mungkin boleh di anjurkan oleh Bandar raya Buku dengan kerjasama Perpustakaan dan Penerbit buku ialah projek kempen membaca One Book One City. Program ini bermula di Seattle, America Syarikat, kemudian dipopularkan di Chicago dengan buku To Kill A Mocking Bird oleh Harper Lee. Buku ini mengkisahkan prejudis terhadap orang kulit hitam di Alabama dan diterbitkan pada tahun 1960, semasa pergerakan hak sivil sedang memuncak di Amerika Syarikat. Pengarangnya telah memenangi hadiah Pulitzer pada tahun 1961 dan menjual 15 juta naskah judul tersebut. Kini projek One Book One City di laksanakan di Britain dan lain-lain negara. Projek ini bukan untuk tujuan jualan buku tetapi menggalakkan pembacaan judul-judul yang mempunyai mesej penting di kalangan masyarakat. Namun, terdapat peningkatan jualan purata 38 peratus bagi judul-judul yang terpilih. Setiap bandar memilih satu judul pada satu-satu masa untuk dibaca oleh penduduk bandar itu dan dibicarakan di radio, televisyen dan surat khabar serta majlis bicara buku di perpustakaan, sekolah, organisasi dan jabatan, persatuan dan institusi pengajian tinggi.
Perpustakaan Negara pernah merancang untuk mengadakan projek ini sebagai sambutan Bulan Membaca Kebangsaan, tetapi belum dapat menjayakannya. Buku-buku untuk projek ini telah dikenal pasti dengan mendapatkan pandangan dan input dari pelbagai pihak termasuk perpustakaan awam, persatuan penulis dan penerbit. Judul buku tempatan yang telah dicadangkan untuk projek ini termasuklah Sejarah Melayu, Salina, Green is the Colour , Ranjau Sepanjang Jalan dan Seroja Masih di Kolam.
Dengan tertubuhnya Bandar Raya Buku ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Bulan Membaca Kebangsaan dan Kempen Membaca Kebangsaan yang menyeluruh seperti mana diuar-uarkan oleh Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim, di Majlis pelancaran sambutan 100 Tahun MPH baru-baru ini, nampaknya Kuala Lumpur semakin menempatkan diri untuk dipilih sebagai Bandar Raya Ibu Kota Buku Dunia (WBCC). WBCC dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Antarabangsa (IPA) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangssa Bersatu (UNESCO) setiap tahun.
Kriteria pemilihan termasuk inisiatif dan program promosi buku dan pembacaan yang terbaik sesebuah bandar raya dalam tahun penilaian iaitu di antara tarikh sambutan Hari Hak Cipta dan Buku Sedunia pada 23 April 2008 hingga 23 April 2009.
Program-program yang diadakan hendaklah disertai oleh semua pihak yang berkaitan dengan industri buku, termasuk penulis, penerbit, penjual buku dan pustakawan. Sebelum ini Madrid telah dipilih untuk tahun 2001, Iskandariah 2002, New Delhi 2003, Antwerp, Belgium 2004, Montreal 2005, Turin 2007 dan Bogota 2008.
Pencalonan bagi 2009 perlu dikemukakan sebelum 31 Mac 2007 dan ditandatangani oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tahun permulaan Rancangan Malaysia Ke-9 ini merupakan tahun yang amat sesuai untuk semua pihak berkenaan bergabung usaha dalam penyediaan bida Kuala Lumpur untuk dinobatkan sebagai Bandar Raya Ibu Kota Buku Dunia World tahun 2009.