Artikel

Petikan Berita Harian: Wakaf Buku PTS 2010

oleh Roziyah pada 23 Aug 2010

Dermawan Malaysia yang berminat bagi mewakafkan buku kepada institut dan tempat seperti masjid, perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah, sudut bacaan pejabat dan rumah anak yatim boleh berbuat demikian melalui program wakaf buku PTS 2010.

Eksekutif perhubungan Awam PTS Publication dan Distibutions Sdn Bhd (PTS), Mohd Roslan Md Isa berkata, PTS sengaja mengatur program berkenaan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan buku sebagai satu bentuk sumbangan yang mampu memberi manfaat kepada pembaca.

"Program yang berlangsung dari 17 Ogos lalu hingga 31 Disember ini menggalakkan masyarakat Malaysia beramal soleh dengan mewakafkan buku serta memberi peluang membaca tanpa mengira status sosial pada kadar jumlah lebih tinggi," katanya.

Justeru, PTS memberi potongan harga 25 peratus kepada individu yang berminat untuk mewakafkan buku yang mereka beli daripada syarikat terbabit dan kos penghantaran sifat untuk semua institusi dalam Malaysia.

Mereka tang berminat berbuat demikian perlu membuat pembelian RM200 dan uruskan pengiriman dilakukan PTS dan sekiranya belum lagi mempunyai nama institusi yang ingin diwakafkan, syarikat terbabit bersedia membantu.

Roslan berkata, kakitangan PTS akan menghantar sendiri buku yang diwakafkan sebelum 1 September ini kepada institusi atau organisasi penerima wakaf buku melalui program Infaq Ramadan PTS.

"Buku yang dihantar selepas 1 September akan diserahkan kepada Islamic Relief Malaysia(IRM) iaitu badan bukan kerajaan (NGO) bagi memilih dan menghantar buku wakaf kepada organisasi atau institusi yang sesuai sebagai penerima wakaf buku," katanya.

Bagi memudahkan proses mewakafkan buku, PTS melalui kedai buku dalam talian, http://www.bookcafe.com.my/, akan memproses pembelian bagi tujuan wakaf untuk diserahkan kepada penerima wakaf.

Beliau berkata, program berkenaan secara tidak langsung memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia membaca bahan bahan bacaan berkualiti, seterusnya menggalakkan budaya membaca di kalangan rakyat di negara ini.

"Semoga program wakaf buku ini menjadi antara cara umat Islam beramal soleh dan meraih ganjaran pahala yang tidak putus daripada Allah SWT serta memberi ganjaran kepada pewakaf, selagi harta yang diwakafkan itu masih kekal dimanfaatkan," ujarnya.

Individu yang berminat mewakafkan buku boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari http://www.bookcafe.com.my/my/senarai-wakaf-ramadan-2010-my/

 

 

Berita dipetik daripada Akhbar Berita Harian edisi isnin, 23 Ogos 2010

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025