Artikel

Petikan Buku : Rangsang Anak Suka Membaca

oleh Roziyah pada 24 Nov 2010

Artikel dipetik daripada buku Petua Membantu Anak Berjaya oleh Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin dan Nurul Aida Abdul Ghani.

Petikan Buku : Rangsang Anak Suka Membaca

Orang yang kurang membaca, sukar berjaya. Jarang orang yang tidak suka membaca, boleh berjaya di dunia. Memang ada seorang dua yang tidak suka membaca hidupnya cemerlang, tetapi ini adalah kes terpencil. Tuhan aturkan begitu bagi menunjukkan kekuasaannya. Lumrahnya, orang yang suka membaca pasti cemerlang.

Membaca adalah pintu untuk ilmu. Membaca dapat menjana pemikiran dan tindakan. Membaca adalah pintu untuk ilmu. Membaca dapat menjana pemikiran dan tindakan. Membaca membentuk dan mengarahkan masyarakat ke arah kehidupan yang sempurna dan seimbang. Kejayaan cemerlang tidak wujud dalam masyarakat jahiliah, iaitu masyarakat yang ketandusan ilmu dan peradaban.

Bentukkan budaya membaca di rumah. Beri ganjaran dan dorongan seperti puji-pujian dan hadiah kepada anak-anak yang rajin membaca. Sebagai contoh, setiap kali membaca, anak mendapat markah. Sebuah buku bagi 100 markah, jadi 10 buah buku markahnya 1000. Mungkin apabila mececah 2000 markah, anak-anak boleh dapat basikal baru. Ibu bapa meletakkan ganjaran yang mampu dicapai oleh anak-anak, di samping menyemak kembali kefahaman dan ilmu-ilmu yang digarap melalui pembacaan.

Pastikan ibu bapa di rumah menyediakan bilik bacaan, perpustakaan ataupun satu almari besar yang dipenuhi dengan buku-buku dan bahan bacaan. Sayangnya apabila sesebuah rumah itu memiliki bilik makan, bilik tidur dan bilik air yang besar, tetapi tidak mempunyai bilik bacaan dan ruang bacaan yang selesa. Sediakan tempat bacaan itu demi membudayakan cinta membaca di rumah anda.

Selain itu, beli buku-buku yang anak minati. Bawa anak ke kedai-kedai dan pameran-pameran buku, dan belikan mereka bahan bacaan yang pelbagai. Komik dan majalah ringan boleh dibaca, tetapi jangan kerap. Terdapat pelbagai bahan bacaan lain yang perlu didedahkan kepada anak-anak, contohnya seperti ensiklopedia, kamus, tesaurus, jurnal, surat khabar, nota poket, dan sebagainya.

Perlu diingatkan, jangan memaksa anak membaca buku. Jadikan membaca sebagai satu rutin ataupun tabiat yang dibina secara perlahan-lahan. Sejak umur beberapa bulan lagi, anak-anak boleh dibiasakan dengan bahan bacaan ringan seperti Flash Card dan buku ABC, 123 serta Alif, Ba, Ta. Apabila anak besar sedikit, dan didapati mereka lebih suka bermain daripada membaca, pujuk dan nasihatlah mereka supaya kembali suka pada membaca. Berikan ganjaran yang sesuai supaya mereka terdorong membaca dan merasa seronok melakukannya.

Ibu bapa juga perlu membelek diri sama ada mereka rajin membaca ataupun tidak. Takut-takut ibu bapa hanya rajin melayari internet dan menonton VCD, tetapi tidak berminat membaca. Anak-anak mudah terdorong mengikut tingkah laku ibu bapa. Bentuk suasana yang boleh merangsang anak-anak supaya seronok membaca.

Kekuatan fizikal yang terpenting bagi manusia adalah keupayaan otaknya berfikir. Apabila diteliti kehebatan otak, individu itu mampu melakukan apa sahaja di dunia ini sekiranya mempunyai keazaman yang kuat. Keupayaan otak ini dapat dirangsang dengan banyak membaca. Melalui pembacaan, individu itu dapat mempelajari pelbagai ilmu, teknik-teknik, cara-cara dan kaedah-kaedah mempertingkatkan potensi diri dan kemampuan cemerlang di dunia dan di akhirat. Rangsang anak suka membaca dan cinta membaca supaya mereka pandai membaca buku dan membaca kehidupan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024