Artikel

Bazar Baca Meriahkan Pesta Pulau Pinang

oleh Roziyah pada 24 Nov 2010

Buat pertama kalinya Pesta Pulau Pinang 2010 dimeriahkan dengan bazar buku yang pastinya menarik lebih ramai ‘ulat buku’ di sekitar utara.

Bazar Baca yang diadakan di Tapak Pesta, Sungai nibong, Pulau Pinang ini merupakan salah satu kempen membaca yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menurut Pengarah Projek Bazar Baca@Pesta Pulau Pinang, Tuan Syed Ibrahim, ini merupakan kali pertama jualan buku-buku diadakan di pesta Pulau Pinang.

“Kita percaya Bazar Baca ini bukan sahaja dapat menarik ulat buku di sekitar Pulau Pinang, tetapi juga dapat memberi peluang kepada peminat buku yang tinggal di sekitar utara bagi mendapatkan buku-buku hebat dengan diskaun-diskaun yang menarik,” jelas Tuan Syed.

Bazar Baca yang diadakan selama 33 hari ini menawarkan diskaun-diskaun yang hebat dan menarik sehingga 70 peratus.

Selain itu, melalui pembelian 50 ringgit ke atas, pembeli juga dapat menyertai cabutan bertuah yang disediakan oleh pengajur Bazar Baca. Hadiah-hadiah menarik seperti barangan elektrik dan buku-buku menarik disediakan khas kepada pembeli bertuah.

Bazar Baca juga menawarkan diskaun hebat sehingga 25 peratus bagi buku-buku terpilih terbitan PTS yang pastinya dinanti-nantikan oleh peminat buku keluaran PTS.

Bazar Baca ini diadakan di Tapak Pesta, Sungai Nibong, Pulau Pinang bermula dari 1 Disember 2010 hingga 2 Januari 2011. Maklumat lanjut dan berita terkini boleh diperolehi melalui laman sosial Facebook Pesta Pulau Pinang atau terus melayari laman web Pesta Pulau Pinang di sini bagi maklumat yang lebih lengkap.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024