Artikel

Pilihan Terbaik PTS @ PBAKL 2013: Ajaibnya Solat Subuh

oleh Hairul Faizal Adli pada 11 Mar 2013

Arena Buku PTS akan tampil di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada 26 April hingga 5 Mei 2013. Bertempat di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC dengan slogan “Kita Pasti Datang @PTS”. PTS menyediakan buku-buku pilihan terbaik buat para pengunjung.

Sekiranya jumlah orang Islam yang hadir ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sama banyaknya dengan jumlah jemaah solat Jumaat, ketika itulah saat kehancuran Israel semakin hampir.

Tiada dalil daripada Al-Quran atau hadis yang menyebut tentang perkara ini, namun ia adalah bukti kepada semangat perjuangan dan kesungguhan umat Islam untuk memenangkan Islam.

Bantuan Allah tidak akan datang kepada umat Islam jika masing-masing hanya sibuk mencipta senjata canggih tetapi lupa menyediakan senjata iman.

Islam pasti dapat menguasai dunia dan berada di kemuncak kegemilangan apabila majoriti umat Islam mampu untuk solat Subuh secara berjemaah.

Jihad yang paling utama adalah melawan nafsu. Perjuangan untuk solat Subuh secara berjemaah sangat sukar.

Nafsu ingin menyambung tidur dan dibuai oleh mimpi yang indah sangat sukar diatasi. Syaitan pula membisikkan pujuk rayu supaya kita terus lena sehingga mengabaikan solat Subuh.

Sekiranya solat Subuh yang paling mencabar ini dapat dibuat secara berjemaah, pastinya solat-solat yang lain mudah untuk dilaksanakan.

Lebih indah lagi sekiranya solat Subuh berjemaah ini disempurnakan dengan qiamullail. Hati manusia yang cintakan masjid dan gemar beribadah seperti ini pasti akan dikurniakan dengan nikmat kemanisan iman.

Betapa ajaibnya solat Subuh. Hari yang dimulakan dengan solat Subuh akan diberkati oleh Allah.

Sungguh beruntung orang yang bersolat Subuh kerana didoakan oleh Rasulullah, “Ya Allah, berkatilah umatku selama mana mereka suka bangun Subuh.” Hadis ini direkodkan oleh Tirmizi, Abu Daud, Ahmad, dan Ibnu Majah.

Beruntunglah orang yang bersolat Subuh, namun celakalah orang yang mengabaikannya, “Solat yang berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh.

Sekiranya mereka tahu perkara yang terkandung dalam solat ini, tentu mereka datang bersolat walaupun terpaksa merangkak.” Hadis ini direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Jika kita berangan-angan mahu masuk ke syurga, sedarlah yang syurga ini diharamkan bagi orang yang munafik. Audit diri dan iman kita, adakah solat Subuh kita sentiasa terjaga? Mudah-mudahan iman kita tidak dicemari dengan titik kemunafikan.

Untuk menyedarkan kita daripada tidur yang lena, seorang hamba Allah yang bernama Fahrur Mu’is dikurniakan ilham bagi menulis buku yang bertajuk “Ajaibnya Solat Subuh”. Tulisannya begitu tulus dan halus.

Tulisannya amat menyentuh hati dan mampu menyuntik kekuatan untuk kita menyahut seruan “Hayya ‘alassolah” pada dinihari yang sejuk dan mencabar bagi orang yang lena diulit mimpi.

Ajaibnya Solat Subuh dan beruntunglah orang yang bersolat Subuh. Lebih banyak lagi keajaiban solat Subuh yang dikupas dalam buku Ajaibnya Solat Subuh terbitan PTS Millennia ini.

Mari datang beramai-ramai ke PBAKL 2013. Jangan lupa mengunjungi Arena Buku PTS dan mendapatkan buku-buku menarik yang disediakan.

Anda juga boleh mendapatkan di kedai-kedai buku yang berhampiran, atau beli secara online dengan diskaun istimewa di PTS Bookcafe, www.bookcafe.com.my

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024