Artikel
Prinsip Kepimpinan Islam
oleh Helmi pada 18 Apr 2006
1. Berpandukan al-Quran dan al-Sunnah
Seperti yang kita semua ketahui, al-Quran adalah sumber pertama daripada sumber perundangan Islam dan keasliannya dijamin oleh Allah. Sementara itu, kata-kata Nabi Muhammad pula merupakan sumber kedua dalalm mengatur kehidupan manusia. Ia juga sebagai pelengkap kepada syariah Islam dan ada hadis yang merupakan penjelasan bagi Al-Quran. Hadis-hadis ini pula telah dihuraikan oleh ulama-ulama besar yang berwibawa seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan sebagainya. Berdasarkan huraian ini adalah jelas bahawa kita wajib mengambil ai-Quran dan al-Sunnah sebagai landasan dan panduan untuk sebarang aktiviti termasuklah dalam hal kepimpinan. Perkara ini jelas di terangkan dalam hadis Nabi Muhammad.
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang engkau tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya: al-Quran dan Sunnah Nabinya
2. Menegakkan kebenaran
Kebenaran atau pun al-Haq dalam bahasa Arab, adalah tunggak dalam ajaran Islam yang perlu dihayati dan diamalkan baik diperingkat pemimpin mahu pun kakitangan atau pun kakitangan. Ini sangat jelas diterangkan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud:
(Allah menyatakan kebenaran itu) Dialah yang mengutus rasulNya Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain: cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh rasulnya itu). ( al-Fath 48:28)
Pemimpin wajib menegakkan kebenaran terutama kebenaran yang berlandaskan syariat Islam. Ideologi-ideologi yang terpesong dari landasan Islam haruslah di tolak dari menjadi dasar-dasar kepimpinan. Oleh itu, pemimpin yang bertaqwa tidak akan meninggalkan kebenaran ini, semata-mata untuk menggembirakan hati manusia.
3. Mesyuarat
Mesyuarat adalah antara mercu tanda dalam kepimpinan Islam. Konsep ini di sokong di dalam al-Quran seperti mana maksudnya:
“Dan (bagi) orang-orang yang mematuhi (menerima) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yany kami berikan kepada mereka.(asy-Syura 42:38)
Suatu perkara yang harus di ambil kira ialah syura harus di adakan dengan orang yang mempunyai ilmu yang luas atau orang Islam yang dapat memberikan pandangan yang baik.
Kebaikan syura adalah ia membolehkan kakitangan atau pun pengikut didalam sesebuah organisasi melibatkan diri dalam proses membuat keputusan. Syura juga boleh dijadikan sebagai pentas untuk menyelia tindak tanduk pemimpin untuk menentukan bahawa pemimpin tersebut tidak terkeluar dari syariat Islam mahu pun matlamat utama organisasi.
Dua amalan syura yang dipraktikkan oleh Nabi Muhammad adalah seperti berikut (Ahmad Redzuwan, 2001):
a) Semasa perang Uhud, baginda telah bermesyuarat dengan kaum Islam bagi menentukan strategi yang terbaik dalam mepertahankan kota Madinah. Terdapat dua pilihan iaitu bertahan di Madinah atau pun meninggalkan kota Madinah dan menyerang pihak musuh. Baginda dan beberapa orang sahabat lebih suka untuk bertahan sahaja di Kota Madinah sementara suara ramai lebih suka keluar menyerang. Akhirnya baginda mengambil keputusan untuk keluar menyerang musuh di luar Kota Madinah.
b) Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah, baginda telah bermesyuarat dengan kaum Muslimin mengenai cara yang terbaik mengani kaum Musyrik Kota Mekah. Baginda berpendapat adalah lebih baik menawan golongan Musyrik ini. Sunnguh pun begitu Abu Bakar as-Sidiq berkata Kita datang bukan untuk membunuh seseorang tetapi untuk mengambil umrah. Akhirnya baginda bersetuju dengan pendapat Abu Bakar as-Siddiq.
4. Berlaku Adil
Sinar Islam datang kepada umat manusia sebagai stau sistem yang global, berperikemanusiaan; tidak taksub kepada sesuatu puak, umat atau pun bangsa. Hubungan sesama manusia haruslah didasarkan kepada dasar akidah yang menjadi ikatan dalam pertalian antara individu dan individu yang lain.
Berdasarkan konsep ini, maka al-Quran diturunkan bagi menjamin dasar yang menjamin keutuhan jemaah dan ketenteraman individu, umat dan bangsa. Oleh itu pemimpin hendaklah berurusan dengan orang ramai atau rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna kulit keturunan atau agama sehingga dengan kumpulan yang menentang dasar-dasar Islam.
Firman Allah bermaksud:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya). Dan apabila kamu menjalankan hukuman dikalangan manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (an-Nisaa 4: 58)
Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. (al-Maidah 5:8)
Di dalam kepimpinan Islam prinsip keadilan ini meliputi dan menguasai segala jenis perhubungan sesame manusa. Ia meliputi hubungan antara pasangan suami isteri, peguam dan anak guamnya, rakyat dan pemerintah, pemimpin dan yang dipimpin.
5. Kebebasan Mengeluarkan Pendapat
Secara umumnya tidak ada individu yang suka dikongkong dan dipaksa. Sebagai insan biasa, setiap pengikut harus di beri kebebasan untuk berfikir secara kreatif dan kritis mengikut saluran yang sesuai dan tidak mengeruhkan hubungan sesama manusia. Konsep nasihat menasihati akan dalam keadaan hormat-menghormati akan wujud sekiranya setiap pengikut itu diberikan ruang dan peluang untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas dan penuh hikmah. Ini penting sekiranya sikap berpasukan dan kekitaan hendak diterapkan dalam hidup bermasyarakat yang harmoni.
Oleh itu seorang pemimpin Islam hendaklah memberi galakkan, dorongan kepada pengikut mereka untuk memberikan pendapat yang bernas mahu pun kritikan yang membina yang dapat dikongsi bersam dengan ahli-ahli organisasi yang lain.
Pemimpin Islam juga sedia untuk melayan segala pendapat dan saranan pengikutnya. Disamping itu beliau juga rela diperbetulkan sekiranya beliau lari dari landasan Syariat Islam.
Konsep ini dijelmakan dengan begitu baik oleh Umar al-Khattab ketika beliau dilantik menjadi Khalifah Islam yang kedua. Umar telah bertanya kepada umat Islam ketika itu apakah yang akan dilakukan oleh mereka sekiranya beliau lari dari prinsip-prinsip Islam semasa pemerintahan beliau. Soalan ini disahut oleh seorang lelaki yang memberitahu Umar, bahawa sekiranya dia tidak pemimpin umat Islam berlandaskan prinsip-prinsip Islam, maka Umar akan di betulkan dengan pedang.
Ketokohan Umar terserlah, kerana beliau berasa syukur kerana ada umat Islam yang bersedia membetulkannya sekiranya beliau tidak mengikut prinsip-prinsip Islam ketika menjadi Khalifah Islam.