Artikel
Penyelidikan makmurkan penerbitan
oleh Helmi pada 18 Apr 2006
Oleh SATAPAH AHMAD
DALAM usaha mencapai negara maju berteraskan modal insan yang kaya dengan sifat terpuji iaitu berilmu, kreatif, inovatif dan berakhlak mulia, sistem pendidikan yang mantap dan dinamik menjadi tunggak pelaksanaan.
Ini mesti disokong dengan pelbagai persiapan, khususnya tenaga pengajar terlatih, prasarana dan peralatan.
Ini merangkumi aspek penerbitan buku ilmiah peringkat tinggi, khususnya bidang sains dan teknologi yang menjadi tumpuan pembangunan kini dan akan datang.
Ia adalah sokongan asas yang sangat penting selain memerlukan penelitian dinamik dan berterusan bagi mengejar perkembangan ilmu yang berubah dengan begitu pantas sama ada dari segi asas atau penggunaan.
Selama beberapa dekad berlalu, situasi penerbitan ilmiah peringkat tinggi ini menjalani zaman yang malap dari segi kualiti dan kuantiti.
Keadaan sukar berubah kecuali pihak yang terlibat di peringkat akar umbi berjaya mengenal pasti dan seterusnya menyusun strategi dan mengambil langkah yang tepat, drastik dan berterusan bagi menangani kelesuan ini.
Keadaan ini berlawanan dengan sejarah perkembangan dan pembangunan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia, kerana pada masa sama, bilangan IPT bertambah dengan begitu banyak.
Kini IPTA sudah mencapai 17 buah dan mungkin bertambah sedikit masa lagi, manakala IPTS sudah melebihi 300 buah.
Justeru, bilangan kakitangan akademik dan penyelidik juga bertambah dan bilangan yang aktif menghampiri 20,000 orang dengan sebahagian berkelulusan pascaijazah khususnya Doktor Falsafah (Ph.D).
Memandangkan perkembangan positif ini, pembangunan penerbitan ilmiah peringkat tinggi mempunyai peluang yang besar untuk membangun dengan kukuh, namun pelbagai usaha dan perubahan perlu dilakukan, khusus bagi menggembleng tenaga pakar yang banyak ini untuk melibatkan diri secara terancang dan terurus dalam penulisan dan penerbitan buku.
Meninjau ke hadapan, penerbitan buku ilmiah peringkat tinggi, terutamanya buku bidang sains dan teknologi menghadapi pelbagai cabaran baru, di samping menanggung masalah lama yang belum selesai.
Kos penerbitan yang tinggi dan pasaran yang sangat terhad sudah sekian lama menjadi dilema yang menggagalkan Penerbit IPT berdikari dari segi kewangan, apa lagi menjana keuntungan.
Kini Penerbit IPT seolah-olah menghadapi dilema baru apabila pengajaran-pembelajaran di IPT bidang sains dan teknologi mula beralih kepada bahasa Inggeris.
Buku yang bakal diterbitkan akan berlarutan dengan masalah tambahan.
Saingan terhadap buku bahasa Melayu akan bertambah manakala buku bahasa Inggeris yang bakal diterbitkan oleh Penerbit IPT sudah pasti menghadapi persaingan yang lebih hebat dengan buku terbitan antarabangsa sehingga pasaran yang sedia terhad itu menjadi semakin kecil.
Secara ringkas, kualiti, kuantiti dan penerimaan perlu meningkat secara berterusan, sesuai dengan misi dan visi negara.
Berikutan itu, setiap pihak, khususnya penerbit buku pengajian tinggi perlu mengenal pasti penyumbang utama dalam merangka pelan jangka panjang ke arah pencapaian matlamat tersebut.
Dalam usaha meningkatkan penerbitan, langkah berterusan yang perlu diberi perhatian ialah perancangan tajuk yang kemas, kukuh dan menyeluruh.
Selebihnya, di peringkat perolehan dan penulisan, tumpuan perlu diberi kepada mutu dan peluasan penerimaan masyarakat pembaca terhadap buku yang bakal dihasilkan.
Bilangan penerbit di Malaysia yang memberi tumpuan kepada penerbitan ilmiah bidang sains dan teknologi begitu banyak. Ini merangkumi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penerbit di IPTA dan IPTS dan penerbit di pelbagai pusat penyelidikan, yang hampir semuanya memberi tumpuan kepada bidang sains dan teknologi.
Semua penerbit ini bergerak aktif menerbitkan buku baru dan disebabkan bidang tumpuan yang serupa ini, maka sudah pasti terdapat beberapa tajuk yang mempunyai pertindihan.
Sekiranya usaha penyelarasan melalui kerjasama antara penerbit IPT tidak dilakukan, sudah tentu nasib buku yang begini semakin tidak terjamin. Oleh sebab itu satu cara yang baik ialah mengambil langkah kerjasama dengan melakukan penerbitan secara bersama dengan IPT yang berkenaan bagi beberapa tajuk pilihan yang ada pertindihan dan ada kepentingan bersama.
Dalam menghadapi suasana ini, perhatian penerbit IPT sudah pasti tertumpu kepada tajuk-tajuk baru yang sangat diperlukan pada masa hadapan. Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi menentukan tajuk-tajuk ini, penulis pula perlu dikenal pasti dan mereka ini sudah pasti terdiri daripada berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Persoalannya, bagai-mana penerbit berurusan secara cekap dan berkesan dengan pakar-pakar ini sedangkan mereka semua berada di IPT atau di pusat-pusat penyelidikan, bertugas sebagai pensyarah atau penyelidik.
Tugas-tugas mereka pula dirancang secara khusus untuk mencapai objektif khusus sama ada pengajaran atau penyelidikan, dan biasanya tidak menjurus kepada penghasilan buku secara yang bersepadu.
Kalaupun ada, bilangannya adalah sangat terhad dan rata-rata terhasil daripada minat penulis sendiri, tanpa perancangan yang lebih menyeluruh.
Memandangkan hampir semua pakar bidang tadi berada di IPT dan pusat penyelidikan, maka penerbit mempunyai peluang yang luas untuk menimba kepakaran di sana.
Namun perhatian dan sokongan pihak pentadbir dan pengurus kedua-dua pusat ilmiah ini sangat diperlukan.
Peranan kedua-dua pihak ini sangat penting kerana rata-rata semua penerbit lebih bersifat pengurus kepada manuskrip yang dikemukakan untuk penerbitan.
Sekiranya langkah asas perancangan, penyelarasan dan penulisan tidak berjalan lancar di peringkat institusi, maka dikhuatiri tenaga penulis tidak digembleng secara optimum dan usaha penerbit, bahkan hasrat negara untuk menjadi negara maju sedikit sebanyak akan terjejas disebabkan kekurangan penerbitan ilmiah untuk dijadikan bahan pengajaran dan rujukan.
Sementara itu, perkongsian antara IPT bagi menjayakan sebarang kerjasama misalnya boleh dilakukan melalui gabungan penerbit IPT dan pusat penyelidikan yang sedia terjalin melalui Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Gabungan ini merangkumi 25 penerbit terdiri daripada penerbit IPTA, beberapa kolej universiti, DBP dan beberapa pusat penyelidikan. Langkah ke arah kerjasama ini sangat perlu bagi mengelak persaingan yang tidak menguntungkan, sebaliknya mampu meningkatkan mutu penerbitan dan meluaskan penerimaan atau pasaran.
Ini adalah perkongsian bijak yang menghasilkan keuntungan bersama.