Artikel

Promosi ‘Salam Maulidur Rasul’ Hapuskan Semangat Valentine

oleh Roziyah pada 27 Jan 2011

Sambutan Maulidur Rasul yang disambut seluruh umat Islam di dunia mampu menghapuskan semangat Valentine yang mempengaruhi masyarakat terutamanya golongan remaja di Malaysia.

PTS, Selaku penerbit buku berbahasa Melayu dan menerbitkan buku-buku berbentuk kerohanian menjalankan tangungjawab sosialnya dengan memeriahkan sambutan Maulidur Rasul yang akan tiba tidak lama lagi.

Kempen 'Salam Maulidur Rasul' yang bermula dari 1 hingga 28 Februari ini dilaksanakan agar masyarakat Islam di Malaysia lebih mengenali Rasulullah yang menjadi pembimbing terbaik bagi umat manusia.

Menurut Eksekutif Hubungan Media PTS, Tuan Roslan Md Isa, pelancaran promosi 'Salam Maulidur Rasul ini menjadi landasan kepada masyarakat di Malaysia agar lebih mendekati dan mengetahui lebih mendalam mengenai Rasulullah.

"Sambutan Maulidur Rasul bertujuan mengembalikan ingatan Ummat Islam kepada Nabi Muhammad. Terbitnya perasaan cinta kasih kepada Nabi Muhammad dengan mengenang, menghargai dan mengambil iktibar kisah suka duka perjuangan beliau.

Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini bersifat adat namun ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan," jelas Tuan Roslan lagi.

Melalui sambutan meriah terhadap Maulidur Rasul, Ummat Islam dapat mengetahui cara mentaati sunnah Rasulullah sekaligus mengikut segala arahan dan meninggalkan segala larangannya.

"Sambutan Maulidur Rasul perlu diutamakan berbanding Hari Kekasih atau Hari Valentine. Sambutan Hari Kekasih yang disambut oleh pasangan remaja dan mereka yang berkasih lebih menjurus kepada meraikan nafsu yang salah," ujar Tuan Roslan lagi.

Sambutan Maulidur Rasul perlu disokong dan dimeriahkan oleh pelbagai pihak terutamanya media cetak dan elektronik agar hari sambutan Maulidur rasul ini terus diingati dan dikenang oleh seluruh umat Islam terutamanya remaja.

PTS juga menerbitkan buku-buku menarik berkaitan Rasulullah bagi memberi kefahaman dan mendekatkan masyarakat kepada Rasulullah yang menjadi contoh terbaik ummat manusia.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025