Artikel

Prosedur bersalin

oleh Helmi pada 02 Dec 2004

Soalan
Saya bakal ibu muda yang dijangka melahirkan bayi sulung pada awal bulan depan. Semakin hampir dengan tarikh jangkaan bersalin, semakin banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya berkenaan dengan proses kelahiran yang bakal dilalui nanti.

Soalan saya adalah:
1.Apakah prosedur yang akan dilakukan oleh doktor dan jururawat terhadap saya apabila timbul sakit bersalin jika saya bersalin secara normal?

2.Adakah suami boleh menemani saya di bilik bersalin jika saya bersalin di hospital kerajaan?

3.Adakah episiotomi boleh dielakkan dan bagaimanakah caranya? Adakah saya mesti dijahit walaupun tidak berlaku episiotomi?

4.Tekanan darah saya kadangkala meningkat. Adakah ia akan membahayakan diri saya dan bayi di dalam kandungan jika ia berlaku semasa proses kelahiran?

5.Saya terbaca berkenaan pelan kelahiran. Adakah semua doktor menerimanya jika saya membuat pelan kelahiran sendiri?

Jawapan
1.Setiap hospital mempunyai prosedur tersendiri bagi kemasukan ibu yang sedang sakit untuk bersalin. Puan dinasihatkan bertanya kepada doktor dan kakitangan hospital yang puan pilih bagi melahirkan bayi berkaitan dengan prosedur ini sebelum puan sakit untuk bersalin.

Lazimnya, doktor akan menerangkan prosedur ini semasa lawatan antenatal. Apabila puan mempunyai tanda-tanda labour atau proses kelahiran seperti kesakitan, kebocoran air ketuban ataupun pendarahan, puan perlu segera ke hospital yang dipilih.

Selepas sampai ke tempat masuk pesakit, lazimnya puan diberikan kerusi roda untuk dihantar ke bilik bersalin. Beberapa soalan akan ditanya oleh jururawat perbidanan seperti bila sakit bermula, apakah tanda-tanda yang berlaku dan kekerapan sakit. Perut puan akan diperiksa bagi memastikan kedudukan bayi adalah normal. Jantung bayi akan dikesan melalui alat pinnard, kardiotokograf (CTG) ataupun daptone. Tekanan darah, suhu badan dan kadar nadi diambil.

Pemeriksaan dalaman pada faraj juga dilakukan bagi mengetahui tahap proses bersalin. Dengan pemeriksaan dalaman, tahap penipisan serviks, pembesaran bukaan serviks, penurunan kepala bayi dan status membran ketuban dapat dinilai. Maklumat ini dicatatkan pada carta `partogram’ bagi mengawasi perkembangan proses bersalin.

Kebanyakan hospital masih memberikan ubat bagi membersihkan usus supaya tiada najis yang keluar semasa kelahiran bayi. Puan dikehendaki menyalin pakaian yang diberikan oleh pihak hospital. Tujuannya supaya baju puan tidak kotor berlumuran darah, air ketuban dan memudahkan apabila ada kecemasan yang memerlukan pembedahan ataupun prosedur lain. Baju hospital tidak menghalang proses menangani kecemasan itu berbanding dengan pakaian sendiri.

Puan dan bayi diawasi secara berkala. Ada sesetengah hospital menggunakan CTG bagi pemantauan jantung bayi secara berterusan. Jika tidak, pemantauan ini dilakukan setiap 15 hingga 30 minit. Pemeriksaan dalaman lazimnya dilakukan secara berkala (setiap empat jam), bergantung pada keadaan ibu. Biasanya, puan ditawarkan kaedah penahan sakit yang ada di hospital berkenaan. Jenis yang ada adalah seperti berikut:
a.Kaedah pernafasan: Teknik deep breathing.
b.Penggunaan Entonox: Menghidu gas ini semasa sakit.
c.Suntikan ubat bagi menghilangkan kesakitan.
d.Epidural: Menggunakan ubat-ubatan bagi mengebaskan separuh badan dari pinggang ke bawah.

2.Hospital kerajaan juga menggalakkan kehadiran suami di bilik bersalin supaya dapat memberi sokongan kepada isteri yang sedang sakit melahirkan bayi. Tidak semua hospital kerajaan mempunyai kemudahan yang membolehkan keadaan ini dilaksanakan.

3.Episiotomi adalah pemotongan yang sengaja dilakukan pada perineum bagi membesarkan laluan tempat kelahiran kepala bayi. Episiotomi lazimnya dilakukan apabila kelahiran men-jadi rumit dan memerlukan kelahiran secara vakum ataupun forsep. Ia juga dilakukan apabila diramalkan akan berlaku koyak yang teruk semasa laluan kepala bayi.

Episiotomi dapat mengelak daripada luka yang bergerigi (ragged) dan tidak teratur. Tidak semua kelahiran memerlukan episiotomi, tetapi lazimnya kelahiran anak pertama memerlukannya kerana perineum belum lagi regang. Jika ia koyak semasa kelahiran, luka ini dijahit bagi memastikan penyembuhannya berlaku dengan baik. Jika tiada kesan luka, ia tidak perlu dijahit.

4.Tekanan darah ibu diawasi secara berkala semasa dalam proses kelahiran. Keadaan ini dilakukan kerana darah tinggi boleh berlaku sebelum, semasa dan selepas kelahiran bayi. Darah tinggi semasa hamil dan semasa proses bersalin boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi. Antara komplikasi yang boleh berlaku apabila tekanan darah terlalu tinggi adalah ibu sawan dan placental abruption iaitu pemisahan uri sebelum kelahiran bayi.

5.Sepatutnya, ibu perlu mempunyai pelan kelahiran. Pelan kelahiran ini sepatutnya dianggap sebagai panduan kehendak ibu itu tetapi tidak semestinya diikuti secara tepat. Kadang-kala, keadaan tidak membenarkannya terutamanya apabila berlaku komplikasi. Oleh itu, setiap ibu mungkin perlu mempunyai pelan alternatif apabila proses bersalin tidak berlaku sebagaimana yang dijangka. Pelan kelahiran ini dapat diterima apabila doktor dan kakitangan hospital diberitahu berkenaan perkara itu terlebih dulu dan apabila prasarana hospital memungkinkannya berlaku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024