Artikel

Hamil luar rahim

oleh Helmi pada 02 Dec 2004

Soalan
Saya mengandungkan anak pertama selepas mengambil pil subur dan kini anak sudah berusia 20 bulan. Baru-baru ini saya ingin mengandung lagi dan terpaksa mengambil pil subur selepas 4 bulan mencuba. Selepas 3 kali mengambil pil subur, barulah saya disahkan mengandung. Walau bagaimanapun, ia kandungan luar rahim iaitu di dalam tiub Fallopio kiri. Akibatnya, saluran sebelah kiri terpaksa dibuang menerusi laparoskopi.

Soalan saya:
1.Adakah keadaan ini berkaitan dengan pengambilan pil subur?
2.Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengandung lagi. Kini saya berusia 34 tahun.
3.Bagaimanakah keadaan ini dapat dielakkan daripada berulang?

Jawapan
Kandungan luar rahim boleh berlaku pada beberapa organ seperti serviks dan kilang ovari. Tetapi, ia paling lazim berlaku pada tiub Fallopio (95%). Banyak faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada terjadinya kandungan luar rahim ataupun meninggikan risikonya. Semuanya berkait rapat dengan per-ubahan pengangkutan di dalam tiub. Perubahan pengangkutan di dalam tiub ini boleh disebabkan oleh jangkitan seperti kuman, virus ataupun clamydia, pembedahan pada saluran tiub ataupun organ berdekatan dan pertukaran hormon.

Persenyawaan antara benih wanita dan benih lelaki berlaku di dalam tiub Fallopio. Embrio yang terbentuk mengambil masa selama 4 hingga 5 hari untuk sampai ke dalam rahim. Apabila terdapat sebarang halangan dalam perjalanannya, embrio terhenti di tempat itu dan terus membesar. Oleh kerana otot dinding tiub tidak setebal rahim, lazimnya tiub akan pecah apabila janin berumur 7 hingga 8 minggu.

Sebab-sebab yang berkait rapat dengan fungsi tiub Fallopio

1.Jangkitan kuman pada bahagian pelvis
Oleh kerana kadar penyakit ini semakin meningkat, kadar kandungan luar rahim juga meningkat. Jangkitan kuman merosakkan selaput dinding tiub (tubal endothelium). Parut terbentuk selepas jangkitan dan ia menyekat perjalanan embrio ke dalam rahim.

Dengan meningkatnya kadar penyakit kelamin yang disebabkan oleh seks rambang dan bertukar pasangan, kadar jangkitan pelvis dan seterusnya kadar kandungan luar rahim juga meningkat. Perlu diingatkan bahawa wanita yang memakai alat di dalam rahim (IUD) sebagai cara merancang keluarga, mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti radang pelvis apabila dia ataupun suaminya mempunyai pasangan seks yang ramai jika dibandingkan dengan hubungan monogami.

2.Pembedahan pada tiub Fallopio
Pembedahan seperti pemandulan, pembedahan mikro bagi membetulkan tiub yang tersumbat meninggikan risiko kandungan luar rahim apabila wanita-wanita ini hamil selepas berjaya melalui pembedahan seperti di atas.

3.Melakukan pembedahan membuang janin
Pembedahan dilakukan bagi membuang janin apabila kandungan itu tidak diingini (TOP: Termination of Pregnancy). Di Malaysia, undang-undang tidak membenarkan pembedahan membuang janin tanpa sebab perubatan yang disahkan oleh dua orang doktor pakar. Islam mengharamkan pembuangan janin ini apabila tiada sebab yang boleh menggugat kesihatan dan keselamatan ibu.Menjalani pembedahan ini boleh meninggikan lagi risiko kandungan luar rahim. Lebih banyak pembedahan ini dilakukan, lebih tinggi risiko kandungan luar rahim.

Semua wanita diingatkan supaya menjaga maruah masing-masing supaya tidak terjebak dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral sehingga menyebabkan kehamilan di luar batas halal dalam Islam. Sabda nabi Muhammad dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Janganlah kamu bersendirian dengan seorang perempuan kecuali bersama muhrim.”

Bagi pasangan yang ingin menjarakkan kehamilan pula, perlu menggunakan cara-cara yang terbukti berjaya menghalang kehamilan supaya tidak timbul isu membuang kehamilan yang terjadi secara ‘tidak sengaja’ dan tidak diingini terutamanya apabila kehamilan ini berlaku sementara anak yang terakhir baru berumur beberapa bulan. Kedua-dua situasi ini adalah situasi lazim yang dikemukakan oleh wanita yang inginkan kandungannya digugurkan.

Sebab-sebab yang berkait rapat dengan embrio

1.Menggunakan ubat-ubatan bagi merangsang ovulasi
Kajian menunjukkan rangsangan proses ovulasi dengan menggunakan suntikan hormon gonadotrofin seperti FSH atau Follicular Stimulating Hormone meninggikan kadar kandungan luar rahim. Keadaan ini berlaku kerana rangsangan ini mengeluarkan kadar estrogen yang lebih tinggi dan ia memberi kesan kepada pengangkutan pada tiub Fallopio. Ubat yang diberi secara makan iaitu Clomiphene citrate tidak menunjukkan risiko ini.

2.Bayi tabung uji (IVF)
Prosedur ini dilakukan bagi membantu pasangan yang sukar hamil. Prosedur ini meninggikan risiko kandungan luar rahim. Penyebab risikonya yang tinggi masih belum diketahui. Tetapi dipercayai mungkin disebabkan oleh:

a.Embrio termasuk ke dalam tiub secara spontan ataupun semasa suntikan.

b.Otot rahim yang mengecut menyebabkan embrio termasuk ke dalam tiub.

Bagi kes puan, kemungkinan besar pengambilan pil subur tidak mempunyai kaitan dengan masalah kandungan luar rahim. Malah, kesukaran untuk hamil mungkin mempunyai kaitan dengan masalah tiub itu sendiri. Kewujudan masalah tiub menyebabkan puan hamil luar rahim semasa kandungan kedua.

Lazimnya, masalah tiub terdapat pada kedua-dua belah tiub. Oleh itu, risiko untuk hamil luar rahim bagi kandungan seterusnya adalah sebanyak 15 hingga 20%. Ramai wanita yang hamil dan melahirkan bayi yang sihat selepas dibedah kerana kandungan luar rahim. Banyakkan berdoa supaya mendapat anak yang sempurna lagi soleh.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024