Artikel

Psikologi orang yang berjaya

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Memiliki ciri-ciri pejaya tidak menjamin seseorang itu akan berjaya, disebabkan untuk berjaya seseorang itu bukan setakat perlu memiliki ciri-ciri itu tetapi dia juga memerlukan faktor-faktor kejayaan yang lain. Sebagai contoh, seseorang itu perlu bertugas dalam persekitaran yang membolehkan dia mencapai kejayaan, umpamanya organisasi swasta adalah lebih kompetitif dan menghendaki kejayaan dibandingkan dengan organisasi kerajaan.

Dorongan kejayaan ialah keinginan untuk berjaya, untuk memberi galakan kepada orang-orang lain supaya mereka berjaya, dan kesanggupan melaksanakan tugas yang susah. Setiap individu memiliki dorongan untuk berjaya, bezanya ialah sama ada dorongan itu tinggi ataupun rendah, oleh itu sesetengah individu sangat mahukan kejayaan demi kejayaan, manakala sesetengah individu mudah berpuas hati dengan apa yang sudah ada.

Bidang psikologi di Amerika sudah banyak menjalankan kajian bagi mengenal pasti faktor-faktor yang dapat mendorong seseorang itu berjaya. Bidang ini mendapat tumpuan disebabkan masyarakat Amerika amat menghargai kejayaan. Dalam budaya itu mereka menyamakan kejayaan dengan pencapaian tinggi, keternamaan, serta kekayaan material. Adalah menjadi tujuan pakar-pakar itu apabila mereka sudah memahami faktor-faktor yang mendorong kejayaan maka dapatlah mereka menggunakan pengetahuan tersebut bagi melahirkan lebih ramai individu yang berjaya.

Para pengkaji mendapati individu-individu yang amat berjaya di dalam bidang yang mereka ceburi mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza daripada orang lain. Mereka dapati sesetengah individu memang mempunyai hasrat yang kuat mahu menjadi orang yang berjaya. Orang-orang yang memliki ciri psikologi seperti itu dipanggil ‘pejaya.’ Sebaliknya memang terdapat individu-individu yang tidak berapa kisah hendak menjadi orang yang berjaya. Mereka itu mudah berpuas hati dengan apa yang sudah ada.

Salah satu persoalan yang cuba dijawab oleh para penyelidik ialah apakah seseorang itu dilahirkan dengan sifat-sifat pejaya, ataupun apakah sifat-sifat pejaya itu dapat diasuhkan dan ditanamkan kepada mana-mana individu. Dalam erti kata yang lain, apakah sifat-sifat pejaya itu suatu anugerah Tuhan kepada individu-individu yang terpilih. Jikalau ia anugerah Tuhan bererti ciri-ciri pejaya adalah serupa seperti halnya dengan bakat muzik ataupun bakat matematik. Jikalau ia bukan anugerah Tuhan bermakna ciri-ciri itu diperoleh daripada hasil asuhan ibu bapa dan daripada pengaruh alam persekitaran.

Pakar yang mempelopori dan paling banyak menjalankan kajian ke atas psikologi kejayaan ialah Prof. McClelland. Pada tahun 1958, beliau menerangkan sejenis personaliti yang mempunyai ciri-ciri ‘kehendak untuk berjaya’ atau dalam istilah yang beliau gunakan need for achievement atau n-achievement. Beliau mencipta suatu kaedah bagi mengukur setinggi mana kehendak seseorang itu untuk berjaya. Menurut kaedah beliau, seseorang itu diberi suatu gambar lukisan sekumpulan orang yang sedang berkerja dan bercakap-cakap. Kemudian dia diminta menulis sebuah karangan pendek berdasarkan gambar itu. Karangan itu kemudian dibaca dan dianalisa, lalu markah diberi berdasarkan berapa jumlah tema-tema kejayaan yang terkandung di dalam karangan itu. Semakin banyak jumlah tema kejayaan yang terdapat di dalam karangan seseorang, semakin tinggi dorongan kejayaan yang ada dalam diri individu itu.

Teori McClelland sudah digunakan dengan meluasnya oleh ahli-ahli psikologi lain untuk mengkaji ciri-ciri personaliti pejaya, iaitu individu-individu yang sangat berkehendak kepada kejayaan. Individu-individu yang amat inginkan kejayaan se-ngaja mencari tugas-tugas yang banyak memberi cabaran. Ertinya mereka tidak berminat dengan tugas-tugas yang rutin dan ‘selamat’. Mereka tidak takut menghadapi risiko di mana mereka mungkin gagal dalam melaksanakan tugas-tugas itu. Ciri ini mendorong mereka mencari pekerjaan dalam bidang-bidang yang sukar tetapi menjanjikan pendapatan yang tinggi. Contoh bidang pekerjaan yang tidak berisiko dan selamat ialah perkhidmatan kerajaan manakala contohpekerjaan yang be-risiko tinggi ialah perniagaan, keusahawanan dan kejurujualan.

Mereka mahu supaya diberikan tanggungjawab yang menghendaki mereka membuat pelbagai keputusan sendiri. Ciri inilah mendorong mereka menjadi usahawan disebabkan bidang itu memberikan peluang mereka mengambil keputusan sendiri. Ciri ini juga mencerminkan sifat mereka yang tidak takut pada risiko dan cabaran.

Mereka mahu supaya tugas-tugas yang mereka jalankan itu diberi penilaian demi mencapai kemajuan. Sesetengah individu takut dirinya dan hasil kerjanya dinilai oleh itu mereka mengelak daripada menerima tugas-tugas yang prestasinya mudah dinilai. Contoh tugas yang amat mudah dinilai hasilnya ialah tugas kejurujualan. Hanya dengan melihat rekod jualan sudah cukup bagi menilai kejayaan ataupun kegagalan seseorang jurujual itu. Begitu juga dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Mereka yang berpersonaliti pejaya mahu supaya diri dan hasil kerja mereka dinilai secara objektif kerana dengan cara itu mereka mendapat maklum balas yang berguna bagi meningkatkan lagi prestasi mereka. Inilah faktor yang menyebabkan mereka mahukan jadual penilaian kemajuan bagi tugas-tugas yang mereka laksanakan.
Mereka melaksanakan tugas-tugas mereka dengan lebih baik lagi apabila tugas-tugas itu penuh dengan tanggungjawab, mengandungi kepelbagaian, diberi penilaian, dan mereka diberi kebebasan bagi memikirkan bagaimana tugas-tugas itu se-baiknya dijalankan dan bagaimana masalah-masalah yang timbul sepatutnya diselesaikan. Kajian mendapati individu-individu yang bukan pejaya tidak menunjukkan hasil yang lebih baik apabila mereka diberi tugas-tugas yang memiliki ciri-ciri seperti itu.

Mereka memiliki dorongan yang kuat mahu memajukan diri mereka dengan daya usaha sendiri. Ertinya, mereka tidak menunggu adanya orang-orang lain, seperti ibu bapa, guru, pasangan ataupun ketua-ketua, bagi mendorong dan membantu mereka mengambil tindakan untuk memperbaiki nasib mereka. Individu-individu pejaya cenderung menjadi usahawan disebabkan bidang keusahawanan memberikan semua ciri-ciri tugas sebagaimana yang mereka kehendaki.

Salah satu tingkah laku menonjol personaliti pejaya ialah mereka itu berminat mendengar percakapan dan mendengar perbincangan-perbincangan yang mengandungi topik-topik tertentu sahaja, seperti topik-topik yang menggambarkan peluang-peluang kemajuan kepada status mereka, keuntungan ekonomi, ataupun peningkatan pada kuasa yang mereka miliki.

Kajian di Amerika mendapati ciri-ciri personaliti pejaya lebih kerap terdapat di kalangan keluarga-keluarga kelas menengah, di mana baik ibu bapa mahupun anak-anak mereka sama-sama memiliki ciri-ciri itu. Di Amerika, mereka yang ter-golong dalam kelas menengah adalah ahli-ahli profesional, dan biasanya mereka tinggal dalam kawasan perumahan banglo. Nampaknya anggota kelas menengah lebih kuat berusaha hendak mencapai kejayaan yang lebih tinggi lagi dengan harapan mereka dapat menembusi kelas sosioekonomi atasan. Kajian menunjukkan keluarga-keluarga daripada kelas bawahan dan juga kelas atasan melahirkan lebih ramai anak-anak yang tidak memiliki ciri-ciri pejaya, iaitu anak-anak mereka tidak sangat berkehendak kepada kejayaan. Mereka yang tergolong dalam kelas atasan adalah mereka yang amat kaya-raya dan golongan aristokrat.

McClelland mengatakan sesetengah individu mempunyai keperluan yang tinggi untuk berjaya. Menurut beliau keperluan-keperluan manusia tidak bersifat semula jadi atau fitrah. Sebaliknya, apa yang lazimnya dianggap sebagai ‘keperluan’ adalah sebenarnya tingkah laku yang dipelajari melalui perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang dialami oleh seseorang individu itu sepanjang hidupnya. Segala tingkah laku seseorang individu itu mencerminkan bagaimana individu berkenaan mempersepsi segala situasi yang dialami dan juga mencerminkan perkara-perkara yang mendorongnya melakukan apa yang dilakukannya.

Disebabkan keperluan setiap individu berbeza-beza maka itulah sebabnya setiap individu mempunyai tingkah laku yang berbeza-beza, sebagai contoh, orang-orang yang memerlukan status dan nama mempunyai tingkah laku yang berbeza daripada orang-orang yang tidak memerlukan status dan nama. Dalam erti kata lain, sebagai contoh, individu-individu yang mengingini kuasa mempunyai tingkah laku yang amat berbeza daripada mereka yang mengingini syurga.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024