Artikel

Kreativiti dan kejayaan

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Kreativiti ialah suatu potensi. Potensi itu ada pada setiap individu. Individu-individu yang kreatif menggunakan potensi yang ada pada mereka. Individu-individu yang berlainan mempunyai potensi kreativiti dalam bidang masing-masing. 

Bakat kreativiti seseorang tidak dapat diukur dengan menyuruhnya menjawab soalan-soalan bertulis ataupun soalan-soalan lisan. Kajian-kajian menunjukkan hasil ujian-ujian seperti itu tidak mempunyai kaitan dengan tingkah laku kreatif dalam kehidupan sebenar. Dalam erti kata lain, ramai individu yang mendapat markah tinggi dalam ujian kreativiti tidak pula menunjukkan pencapaian kreativiti yang tinggi dalam kehidupan mereka. Ramai pula individu yang sangat kreatif tetapi mereka mendapat markah rendah dalam ujian-ujian tersebut.

Bagi mengukur kreativiti dengan cara yang lebih tepat,  Gardner mengemukakan kaedah langsung.  Menurut beliau, untuk mengetahui sama ada seseorang itu kreatif ataupun tidak, caranya ialah dengan memerhatikan individu itu selama beberapa waktu. Dia mungkin bermain piano, bertukang kayu, membuat program komputer, melukis, melayan pelanggan di kedai ataupun lain-lain aktiviti dalam kehidupan sebenar. Perhatikan cara-cara dia menghadapi masalah, dan apakah penyelesaian yang diciptanya, daripada situ kreativitinya dapat dikenal pasti.

Individu yang kreatif ialah individu yang dari masa ke masa berupaya menyelesaikan masalah demi masalah, ataupun berupaya menghasilkan sesuatu yang baru yang berguna dalam bidang tertentu. Definisi ini berbeza daripada definisi tradi-sional yang menganggap kreativiti ialah sejenis bakat am. Menurut Gardner, orang yang kreatif tidak putus-putus kreatif. Mereka sentiasa berfikir secara kreatif dalam bidangnya. Dengan pandangan seperti itu, individu yang sekali-sekala kreatif tidak dianggap kreatif kerana kreativiti ialah ciri sepanjang hayat.
Teresa Amabile, seorang lagi pakar kreativiti yang terkenal mengatakan untuk berkreatif seseorang itu memerlukan tiga faktor. Pertama ialah kepakaran dalam bidang spesifik; untuk menjadi kreatif dalam bidang muzik, seseorang itu perlu mempunyai kemahiran membaca dan menulis nota muzik, atau-pun untuk menjadi kreatif dalam bidang sains,  seseorang itu perlu mempunyai kemahiran dalam kaedah-kaedah penyelidikan sains. Seseorang tidak mungkin menjadi kreatif dalam bidang kejuruteraan genetik melainkan dia mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang tersebut. Begitu juga bagi bidang-bidang lain seperti fizik nuklear, sains perubatan dan lain-lain.

Faktor kedua ialah latihan. Ramai orang memiliki bakat semula jadi di dalam sesuatu bidang. Bakat ialah modal utama bagi kreativiti. Kalau P. Ramlee tidak mempunyai bakat semula jadi dalam seni muzik, latihan yang baik pun tidak dapat membantu dia menghasilkan lagu seperti ‘Getaran Jiwa’. Tetapi, tanpa latihan, bakat semula jadi yang baik pun tidak dapat berkembang dan mencapai kecemerlangan.  Sebaliknya, dengan latihan yang baik, bakat semula jadi yang sederhana pun dapat berkembang dan menghasilkan kreativiti. 

Faktor ketiga ialah kecintaan, atau motivasi dalaman, iaitu dorongan mahu melakukan sesuatu yang baru demi kepuasan semata-mata, bukan disebabkan adanya ganjaran daripada luar seperti hadiah dan arahan. Dengan lain perkataan, kreativiti mula timbul apabila ada orang yang melakukan sesuatu disebabkan cintanya kepada apa yang dikerjakannya.

Broadly dalam bukunya Your Natural Gifts mengatakan untuk berjaya, sekadar sikap yang betul dan persepsi yang betul sahaja belum mencukupi. Satu lagi faktor yang mesti ada ialah atitud, atau bakat semula jadi. Bakat-bakat semula jadi adalah salah satu daripada faktor yang memainkan peranan penting dalam kejayaan selepas keluar dari sekolah.

Howard Gardner ialah seorang profesor psikologi di Universiti Havard. Beliau adalah antara pakar psikologi yang berpengaruh dalam bidang kepintaran pada masa ini.  Beliau menjadi popular apabila beliau mengemukakan teorinya yang mengatakan manusia memiliki tujuh jenis kepintaran utama.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024