Artikel

PTS Gabung Tenaga dengan SIGMA : Sumbang Bahan Bacaan ke Sabah

oleh Roziyah pada 22 Jul 2011

Selain menghasilkan buku-buku berilmu dan memandaikan bangsa, PTS juga sering menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan membantu golongan yang kurang berkemampuan walau di mana juga mereka berada.

Terbaru, PTS Islamika Sdn Bhd bergabung tenaga dengan Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) bagi menganjurkan komuniti SIGMA bersama Anak Sabah 2011. Program ini diadakan bertujuan bagi menyokong permintaan penduduk Putatan, Sabah yang memerlukan bahan bacaan khususnya buku-buku Islam dan kerohanian.

Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Tuan Imran Azmi dalam kenyataan medianya menjelaskan  PTS Islamika melalui pegawainya Cik Puan Nazirah Binti Abu Bakar juga membawa sejumlah buku untuk disumbangkan di perpustakaan sekolah dan desa di sana.

“Program ini bertujuan bagi menyokong permintaan penduduk Putatan, Sabah yang memerlukan bahan bacaan khususnya buku-buku Islam. Pada masa yang sama, beliau akan mempromosikan produk-produk terbitan PTS di sekolah-sekolah sekitar Putatan, Sabah. Pada akhir program, satu Forum Masyarakat Bersama PTS Islamika akan diadakan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung. Semoga program ini membawa keceriaan seterusnya membantu meningkatkan minat membaca di kalangan penduduk Putatan, Sabah,” ujar Tuan Imran lanjut.

Sebagai maklumat, program ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 21 hingga 24 Julai dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Y.A.B Datuk Musa bin Haji Aman. Semoga program yang diadakan ini dapat memberikan keceriaan seterusnya membantu meningkatkan minat membaca di kalangan penduduk Putatan, Sabah.



Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024