Artikel

Bagaimana Fenomena Harry Potter Mengubah Dunia Penerbitan?

oleh Roziyah pada 20 Jul 2011

Sumber daripada http://io9.com/ dan diterjemahkan oleh Norhaslinda Abdul Razak, Editor Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn Bhd.


Fenomena Harry Potter yang menjadi bualan hangat di seluruh dunia kini memberi nafas baru dalam arena penerbitan dunia. Sejak awal lagi, malah sebelum diadaptasi ke layar perak dan menjadi antara filem yang mencatat pulangan tertinggi, buku-buku yang menampilkan Harry Potter sebagai watak utama ini berjaya memukau jutaan pembaca dari serata dunia tidak kira usia dan jantina. Harry Potter bukan sahaja mencetuskan fenomena baru dan mengubah industri penerbitan, ia turut mengubah persepsi kita terhadap buku buat selama-lamanya.

Berikut adalah perubahan-perubahan besar yang dicetuskan oleh fenomena Harry Potter terhadap industri penerbitan buku:

Potter menarik minat pembaca dewasa.

Antara topik bualan ramai kini adalah bagaimana Potter menarik minat kanak-kanak supaya membaca. Namun begitu, bagaimana pula dengan orang dewasa? Siri Potter sebenarnya berjaya menarik minat golongan dewasa yang tidak pernah membaca buku atau yang tidak menggemari buku-buku fiksyen. Topik berkenaan Potter menjadi bualan utama di mana-mana sahaja, membuatkan mereka yang tidak mahu dianggap ketinggalan zaman turut membeli dan membaca siri ini. Peminat dewasa yang membaca siri Potter juga sudah terbawa-bawa dengan pembacaan berbentuk fiksyen sebegini dengan turut membaca siri Hunger Games. A.S.

Potter mencipta kelompok baru novel kanak-kanak dan remaja

Pelbagai bahan bacaan menarik kini disasarkan kepada golongan pembaca remaja. Siri Potter membuktikan buku-buku yang dihasilkan bagi bacaan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mampu menghimpunkan koleksi peminat tersendiri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Memetik kata-kata Tamora Pierce, seorang penulis buku fantasi magik, beliau berpendapat bahawa berdasarkan fenomena Harry Potter, para penerbit kini membuka mata dalam penghasilan buku kanak-kanak dan remaja. Memandangkan kanak-kanak gemarkan buku bercorak fantasi, para penerbit buku mengambil peluang ini bagi menghasilkan buku-buku berunsurkan fantasi dan seumpamanya. Hakikatnya, kita kini sedang berada dalam fasa kebangkitan buku remaja dan kanak-kanak.

       Di samping itu, fanatinya orang ramai terhadap siri ini membuatkan New York Time terpaksa memperkenalkan kategori baru buku bestseller iaitu kategori buku kanak-kanak. Siri Potter merupakan pencetus sebenar era kebangkitan buku kanak-kanak. Masakan tidak, selepas ketegori baru ini diwujudkan, berpusu-pusu tajuk buku lain mula menduduki takhta buku bestseller.

Watak daripada buku dijadikan kostum pilihan

Kebiasaannya kostum yang sering digunakan akan diinspirasikan daripada watak-watak dalam filem, rancangan televisyen, komik, kartun dan bukannya watak daripada buku. Tetapi, itulah yang berjaya dicetuskan oleh Potter. Sekiranya kita menghadiri konvensyen sains dan melihat orang ramai memakai kostum watak daripada novel yang ditulis oleh Philip Jose Farmer, itu perkara biasa. Perkara yang luar biasa adalah apabila kita melihat kostum yang diinspirasikan daripada watak dalam buku bersiri dipakai di mana-mana jua, tidak kira di kedai buku mahupun parti Halloween! Semasa siri pertama Harry Porter sebelum difilemkan, kostum ahli sihir ini sudah digayakan di mana-mana sahaja.

Majlis Pelancaran Buku yang Hebat!

Lazimnya, ketika suatu majlis pelancaran filem diadakan, pelbagai kemeriahan dapat dilihat seperti parti besar-besaran sehingga ada yang membentangkan karpet merah untuk para pelakon. Berbeza pula dengan dunia buku, sebarang pelancaran buku yang diadakan tidaklah sebegitu gah dan menonjol.

       Idea bagi mengadakan majlis pelancaran buku dalam acara yang meriah di semua cawangan kedai buku di seluruh dunia, dan membuka kedai buku semalaman sebelum tarikh pelancaran buku bagi membolehkan orang ramai mendapatkan buku tersebut lebih awal adalah suatu revolusi baru. Perkembangan sihat seumpama ini menggalakkan orang ramai mengangkat martabat buku sama seperti mereka mengangungkan bintang filem.

      Melalui evolusi ini, peniaga buku berskala kecil tidak lagi terkial-kial bersaing dengan kedai buku maya berskala gergasi seperti Amazon yang mampu menawarkan diskaun yang tinggi. Di samping itu, para peniaga kedai buku kecil-kecilan ini juga mampu mengadakan sesuatu yang tidak dapat disediakan oleh Amazon iaitu majlis pelancaran buku yang meriah dan gilang-gemilang!

Harry Porter melahirkan kelompok peminat fiksyen yang tersendiri

Kesan daripada aura siri hebat ini, ramai yang berangan-angan mahu menghasilkan karya fiksyen seumpamanya. Penulis berlumba-lumba mencipta dunia Hogwarts masing-masing dan cuba melahirkan watak-watak yang berinspirasikan Snape dan Draco Malfoy.

         Ramai penulis mengambil inisiatif melahirkan produk best seller masing-masing berasaskan penulisan ala-ala siri Harry Potter, membuatkan kelompok peminat buku-buku fiskyen fantasi semakin berkembang. Dana Gioia, juga seorang penulis terkenal pernah menyuarakan pendapatnya dalam Newshour yang berbunyi:

        “Bagi saya, apa yang uniknya berkenaan siri ini adalah kekreatifan penulis buku ini mencipta watak yang umurnya seiring dengan umur para pembaca. Seiring dengan kedewasaan pembaca, watak-watak ini juga semakin dewasa. Plotnya juga berkembang dengan baik dan bersesuaian dengan kelompok pembaca sasaran. Oleh kerana itu, setiap siri Potter yang diterbitkan sentiasa mendapat sambutan kerana ia mempunyai kelompok pembaca setia sejak daripada awal lagi.

        Bersesuaian dengan konflik jalan cerita yang semakin meruncing, sisi gelap watak juga ditekankan dengan lebih mendalam. Idea mendewasakan watak ini adalah sesuatu yang baru. Oleh itu, ramai penulis yang cuba meniru konsep ini bagi melahirkan kelompok peminat setia yang tersendiri.

Pottermore mencipta konsep baru iaitu pemasaran buku secara e-book

Sebagai maklumat tambahan, Pottermore adalah nama laman web rasmi penulis siri Harry Potter iaitu J.K. Rowling. Laman web ini menjadi landasan bagi menjual buku-buku Harry Potter dalam versi e-book dengan disertakan ‘watermark’ bagi mengelakkan ia dicetak rompak.

        Bagi menarik minat pembeli, Rowling menawarkan pelbagi keistimewaan baru dalam versi e-book seperti Sorting Hand dan Wand Chooser dalam bentuk digital serta pelbagai kandungan terkini berkenaan Hogwarts. Para pembaca dapat mengikuti perkembangan Harry bermula daripada siri pertama sehingga terakhir berserta himpunan ilustrasi digital yang pastinya menarik. Walaupun perkhidmatan laman web ini adakalanya mengecewakan, namun ia pasti mampu menjual beribu-ribu naskah e-book dan membolehkan penerbit tidak perlu lagi berurusan dengan kedai-kedai buku sedia ada.

Sumber daripada http://io9.com/ dan diterjemahkan oleh Norhaslinda Abdul Razak, Editor Terjemahan, PTS Litera Utama Sdn Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024