Artikel

PTS Hantar Wakil ke Cairo International Book Fair

oleh Roziyah pada 25 Jan 2011

Bagi memperkenalkan buku-buku terbitan Malaysia ke peringkat antarabangsa, PTS mengambil langkah menghantar wakilnya ke Cairo International Book Fair.

Cairo International Book Fair (CIBF) adalah pameran terbesar bagi masyarakat Arab. Pameran ini menjadi tempat pertemuan penting bagi golongan penerbit, penulis, penterjemah serta pengedar buku yang datang dari negara-negara Arab.
Tuan Rohidzir Rais selaku editor senior dari unit PTS Islamika diberi peluang bagi membawa buku-buku PTS ke peringkat antarabangsa.

“Melalui pameran di CIBF ini, kita akan bertemu dengan penerbit-penerbit antarabangsa bagi menjalin kerjasama dalam bidang penerbitan buku. Selain memperkenalkan PTS sebagai penerbitan berbahasa Melayu kepada penerbit antarabangsa, kita juga cuba mendapatkan buku-buku terbaik dari negara Arab bagi diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu,” jelas Tuan Rohidzir.

Menurut Tuan Rohidzir, kesempatan berada di CIBF juga digunakan bagi membawa dan menterjemahkan buku PTS ke peringkat antarabangsa.

“Selain mencari buku menarik bagi diterjemahkan, kita juga mahu buku kita diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Ini bukan sahaja soal pertukaran bahasa semata-mata. Ia juga memperkenalkan budaya yang jelas berbeza,” ujar Tuan Rohidzir lagi.

Selain bertemu dengan penerbit-penerbit terkemuka, PTS juga mengadakan bengkel penulisan bersama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir. Bengkel ini dilaksanakan dengan kerjasama Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Bengkel yang diadakan pada 29 Januari ini memberi peluang kepada pelajar Mesir yang terlibat dalam bidang penulisan mendapatkan maklumat perihal bidang penerbitan di Malaysia.

“Mahasiswa yang terlibat dalam bengkel ini berpengalaman menghasilkan penulisan untuk majalah, komik dan sebagainya. Kepada mahasiswa mesir yang berminat dalam bengkel ini juga dijemput hadir dalam bengkel penulisan ini yang diadakan di Rumah Pulau Pinang pada 29 Januari ini,” jelas beliau lanjut.

CIBF ini diadakan di Cairo International Conference Centre (CICC) Kaherah, Mesir bermula dari 29 Januari 2011 hingga 8 Febuari 2011. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web Cairo Book Fair. 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024