Artikel

Skrip Baik Mampu Jadikan Komik Hebat

oleh Roziyah pada 26 Jan 2011

Selain menghasilkan ilustrasi yang menarik minat pembaca, skrip dalam komik juga penting dalam memberi impak yang besar kepada pembaca. Penulis perlu memberi jiwa dalam menghasilkan komik agar komik yang terhasil nanti mampu memberi kesan kepada pembaca.

Menurut Tuan Zul Fadhli Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Tuan Lobak, selain ilustrasi yang menarik, skrip cerita juga menjadi faktor penting dalam menghasilkan komik yang baik dan diminati ramai.

Komik menjadi medium yang mampu mendidik generasi baru selaras dengan konsep PTS dalam memandaikan bangsa. Penyampaian yang ringkas dalam komik mampu memberi mesej kepada semua golongan pembaca.

Beliau dalam temubual bersama wakil media PTS menjelaskan PTS menekankan aspek penggunaan bahasa yang betul dalam menghasilkan karya.

“Setiap hari pihak pengurusan Komik-M menerima banyak hasil karya daripada pekomik baru namun karya yang dihantar tidak mematuhi format yang ditetapkan PTS,” kata Tuan Lobak.

Beliau berkata, penulis yang berminat menghantar karya kepada PTS harus mengikut format penghantaran karya yang ditetapkan PTS agar lebih memudahkan pemilihan karya.

“Penulis yang berminat menghantar karya perlulah memberikan proposal yang mengandungi sinopsis, contoh rekaan karekter dan latar cerita yang ingin dihasilkan. Pihak pengurusan Komik-M akan menilai karya yang sesuai bagi diterbitkan melalui proposal yang dihantar,” ujar Tuan Lobak lanjut.

Lebih menarik, penulis terpilih dapat mengikuti bengkel penghasilan Komik-M yang dianjurkan oleh Komik-M sendiri.

“Kita bersedia mengadakan bengkel bagi melatih mereka yang benar-benar berminat dalam menghasilkan komik ini agar dapat melahirkan lebih ramai pekomik yang hebat,” ujar Tuan Lobak lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024