Artikel
PTS Hantar Wakil ke Pesta Buku Frankfurt, Jerman
oleh Roziyah pada 04 Oct 2010
PTS, syarikat penerbitan bahasa Melayu nombor satu di dunia buat pertama kalinya menghantar 4 orang pegawainya ke Pesta Buku Terbesar Dunia di Frankfurt Jerman.
Pesta buku yang menjadi lubuk pertemuan semua penerbit terbaik dunia menjadi medan terbaik PTS melabuhkan buku-buku terbitannya ke pasaran dunia.
Setelah 10 tahun bertapak dalam industri penerbitan, PTS juga mengambil langkah meneroka pasaran yang lebih besar.
Melalui Pesta Buku Frankfurt yang bermula dari 5 hingga 12 Oktober ini juga memberi peluang kepada PTS mendapatkan lesen buku-buku terbaik di setiap pelusok dunia bagi diterjemahkan.
PTS juga bertuah apabila 4 wakilnya berpeluang mengadakan temujanji bersama-sama 26 penerbit hebat dunia. Antara penerbit yang bakal bertemu muka dengan PTS adalah Nickelodeon Global Publishing (US), Simon & Schuster US, Harper Collins Children (US) dan banyak lagi.
Pengurus Penerbitan PTS Millennia Sdn bhd, Tuan Mohd Ikhram Mohamad Nor Wazir berkata, PTS juga turut membawa buku-buku terbitan PTS bagi dipromosikan kepada penerbit-penerbit antarabangsa yang lain.
"Sekembalinya mereka dari Frankfurt ini, kita berharap PTS boleh mendapatkan lebih banyak lesen terjemahan bagi buku-buku terbaik dunia," jelas Tuan Ikhram lagi.
Antara wakil PTS yang bergerak ke Pesta Buku Frankfurt ini termasuklah Pengarah Urusan PTS, Tuan Arief Hakim Sani Rahmat, Pengurus Besar Penerbitan, Tuan Fauzul Naim Ishak, Pengurus Pemasaran, Puan Nor Hazizam Ab Rahman dan Pengurus Jualan, Tuan Zaharin Mohamad Zain.
PTS dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) diharapkan dapat menyemarakkan lagi industri buku Malaysia di mata dunia.