Artikel

PTS Islamika Lesenkan Buku Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

oleh Roziyah pada 01 Apr 2011

Selepas setahun berusaha, akhirnya PTS Islamika Sdn. Bhd. berjaya melesenkan buku Fikah Jihad karangan ulama terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Usaha ini bermula apabila Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menerbitkan buku Fikah Jihad dan diterbitkan pada tahun 2009 oleh Maktabah Wahbah di Mesir. Buku ini mendapat sambutan yang hangat apabila dalam masa yang tidak lama buku ini diulang cetak untuk kali kedua. Maktabah Wahbah yang menyedari sambutan buku ini memperketatkan perlesenan dengan syarat-syarat yang ketat. Seterusnya pada tahun 2010, penerbit buku di Indonesia, Mizan Publishing berjaya mendapatkan lesen ini lalu menerbitkannya dalam Bahasa Indonesia.

PTS Islamika berjaya mendapatkan hak menterjemahkan buku ini pada tahun 2011. Menariknya, hak penterjemahan ini diberikan bagi buku cetakan ketiga, 2010 yang mana isi kandungan ditambah daripada 1297 mukasurat kepada 1644 mukasurat.

“Setakat ini, kita mendapat maklum balas positif daripada beberapa pembaca yang kita temui malah kita percaya buku ini boleh dijadikan rujukan penting di institusi-institusi pengajian tinggi, ” kata Imran bin Azmi, Editor Kanan, PTS Islamika Sdn. Bhd.

Buku Fikah Jihad membahaskan kajian yang cukup mendalam dan menyeluruh mengenai jihad. Apabila menyebut tentang jihad, ramai umat Islam tahu ia adalah martabat tertinggi dalam agama Islam dan tidak mahu ketinggalan menyertainya. Namun, perbahasan mengenainya adakala mengundang kekeliruan apabila melibatkan orang bukan Islam sama ada mereka musuh Islam ataupun orang awam.

Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi menghurai persoalan jihad dengan membariskan pandangan sederhana sederhana, hujah-hujah yang konkrit, malah mampu memurnikan hubungan keruh antara umat Islam dengan bukan Islam selepas peristiwa 11 September 2001.

Beliau turut menyanggah pandangan sebahagian sarjana Islam yang menjadikan jihad sebagai ‘lesen’ yang boleh menyakitkan orang bukan Islam. Syeikh Dr. Yusuf Qaradhawi berpandangan jihad perlu dilihat dengan lebih meluas tanpa membawa kesan negatif ke atas umat Islam yang berjumlah minoriti di negara-negara bukan Islam.

“Insya Allah, kita mensasarkan buku ini terbit pada penghujung tahun ini dan menawarkan harga yang mesra dengan pembaca.” kata Imran menamatkan sesi temubual.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024