Artikel

PTS Lancar Kempen Baca@Ramadan

oleh Roziyah pada 17 Jun 2010

PTS kini sedang giat menerbitkan lebih daripada 20 buku baru bersempena Ramadan yang akan menjelang melalui pelancaran Kempen Baca@Ramadan bagi memastikan semangat membaca diteruskan dari semasa ke semasa tanpa mengira bulan dan hari.

Pengurus Pemasaran PTS, Norhazizam Abdul Rahman berkata, Kempen Baca@Ramadan sudah menjadi budaya di Indonesia, bahkan mencatat jualan puncak untuk pelbagai jenis buku pada bulan terbabit dan perkara yang sama diharapkan akan berlaku di Malaysia.

PTS juga berharap melalui kempen ini menggalakkan budaya membaca menuju bulan Ramadan di kalangan pembaca. Menjadi harapan syarikat dapat menukar corak pemikiran lama pada Ramadan dan serentak itu dapat menjana jualan.

“Kami yakin bahawa sebahagian besar umat Islam melihat Ramadan sebagai bulan untuk beramal ibadah dalam perspektif terkurung sedangkan ia sepatutnya boleh turut dilihat sebagai bulan bersedekah ilmu melalui pembelian dan pemberian buku kerana ia aset yang mampu memberi pahala berterusan selagi buku dibaca.” jelas beliau.

Kempen terbabit dibahagikan mengikut kategori buku puasa, komik, kanak-kanak dan remaja, novel spiritual, umrah dan haji; resipi, Yaasin dan al-Quran dan tidak ketinggalan pembaca yang mahu membuat persiapan awal Syawal turut boleh mendapatkan bahan bacaan diperlukan pada kempen terbabit.

Sempena kempen terbabit PTS turut menjayakan pra promosi cuti sekolah dengan pelbagai jenis buku akan dijual pada harga istimewa dan maklumat lanjut berhubung segala kempen boleh diperoleh melalui web www.pts.com.my/ramadan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024