Artikel

PTS Perjuang Buku Bahasa Melayu

oleh Helmi pada 10 Jun 2010

Menyedari kekurangan bahan bacaan dalam pasaran buku negara, bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Puan Ainon Mohd tekad melepaskan jawatannya kira-kira 22 tahun yang lalu untuk menubuhkan syarikat penerbitan dan pengedaran buku, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd (PTS).

Puan Ainon yang juga Pengerusi Kumpulan PTS berkata, 10 tahun lalu, beliau mengambil keputusan berhenti dari DBP dengan notis 24 jam kerana mahu berjuang memartabatkan bahasa Melayu. Perniagaan ini bermula di rumah, kemudian menyewa kedai di Bukit Tinggi di Janda Baik, seterusnya menyewa kilang di Batu Caves dan sejak tahun lalu PTS mempunyai bangunan sendiri.

 “Dalam tempoh 10 tahun itu, sebanyak 2000 judul buku berjaya diterbitkan,” katanya yang mengasaskan syarikat itu bersama Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan selaku Penasihat Editorial. Puan Ainon yang menggelarkan dirinya sebagai ‘orang buku’ berkata keistimewaan buku PTS ialah kandungannya yang menepati syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi walaupun untuk komik.

 “Semua penulis kami latih sendiri. PTS mengadakan kursus penulisan percuma dalam dua hingga tiga kali sebulan. Dengan cara ini, penulis kami dapat memahami apa yang dikehendaki pasaran dan penerbit dengan menghasilkan penulisan yang berkualiti tinggi,” katanya.

PTS bukan hanya menerbit dan pengedaran buku yang mahal tetapi turut menerbit buku lebih murah dan nipis terutama buku resipi dan kanak-kanak. Ketika ini, PTS menerbitkan 400 judul baru setahun dan dengan lebih 100 judul buku terbitan syarikat itu sudah diterbitkan semula dalam bahasa Indonesia. Beliau turut mensasarkan penerbitan 1000 judul buku baru setahun dalam tempoh lima tahun ini bagi memartabatkan Bahasa Melayu.

Menyingkap sejarah syarikat yang mempunyai pelbagai rangkaian daripada segi penulis, kedai buku, pemasaran, jualan di Malaysia hingga ke Brunei, ia bermula sekitar 1988 dengan penubuhan PTS Consultants Sdn Bhd yang berfungsi sebagai perkhidmatan perundingan dan kejurulatihan dalam bidang penyuntingan dan susun atur huruf. Pada tahun 2000, PTS Publications & Distributors Sdn Bhd diwujudkan berfungsi menerbitkan dan mengedarkan buku ilmu dalam Bahasa Melayu yang ditulis oleh pelbagai penulis yang pakar dan terlatih dalam bidang penulisan masing-masing.

Hingga kini, PTS mempunyai enam anak syarikat yang mempunyai fokus penerbitan berbeza. Aktiviti penerbitan PTS dijalankan PTS Millennia Sdn Bhd yang menerbitkan buku popular seperti motivasi, rohani dan komik. Buku bukan fiksyen seperti buku akademik, bisnes, pengurusan dan pendidikan diterbitkan oleh PTS Profesional Publishing Sdn Bhd, manakala PTS One Sdn Bhd, menerbitkan novel kanak-kanak dan remaja.

Bagi memberi variasi bacaan novel dewasa, cinta berasaskan Islam, dan novel sosial, PTS Litera Utama Sdn Bhd, menggalas tugas menerbitkan novel dewasa, sejarah, sastera dan karya terjemahan antarabangsa. Menyedari pentingnya unsur rohani dan memahami agama Islam, PTS Islamika Sdn Bhd, menerbitkan buku dan novel agama serta falsafah untuk remaja. PTS Fortuna Sdn Bhd, pula diwujudkan bagi menerbitkan buku fiksyen tempatan seperti sai-fai dan novel jantan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PTS boleh layari laman web di alamat www.pts.com.my atau berkunjung ke galeri PTS di alamat No.12, Jalan DBP, Dolomite Business Park, Batu Caves, Selangor.

 

(Berita ini sudah disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Hari Sabtu, 29 Mei 2010, dalam Keluaran Khas, Variasi Perniagaan)

PTS perjuang bahasa Melayu

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024