Artikel

Ramadan dorong budaya membaca

oleh Helmi pada 12 Oct 2005

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Namun begitu, bulan Ramadan bukan sekadar hanya untuk mengisi ibadah spiritual kita, malah untuk mempertingkatkan ibadah mental yang perlu dibajai kerana kefahaman ilmulah yang akan menjelaskan hakikat puasa.

Bukankah dalam Ramadan, kita dituntut untuk membaca al-Quran, bukankah al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan? Kesemuanya ini tentu memberi konotasi bahawa ibadah puasa adalah pembebasan diri daripada amarah, dari `dunia’, daripada segala yang menghalang jalan pendakian yang lebih tinggi dan tenang untuk melihat rahsia semesta manakala membaca al-Quran dengan penuh kefahaman ilmu `memerdekakan’ minda kita daripada segala kebelengguan kejahilan.

Bukankan Rasulullah s.a.w pernah bersabda: ``Umatku yang paling mulia adalah yang memahami al-Quran dan beribadah di malam hari.’‘

Tentunya seruan Nabi besar ini menyeru membaca al-Quran dengan penuh kefahaman dan bukan sekadar bacaan dalam konteks literal semata-mata. Kita tentu memerlukan kitab-kitab tafsir bahkan tafsiran hermeneutik (tafsir dan takwil) daripada pelbagai kitab tafsir.

Ada `bermacam-macam’ kitab tafsir sama ada yang klasik atau kontemporari. Ada tafsir Jalalain, tafsir Ibn Katsir, tafsir Al-Kabir Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha, tafsir Al-Azhar karya Buya Hamka, tafsir Al-Mizan karya Hussein Thabatabai’ dan pelbagai kitab tafsir lain lagi.

Kesemuanya ini memberi indikasi bahawa al-Quran perlu difahami dengan sedalam-dalamnya sesuai dengan dinamisme al-Quran sebagai kalam Allah dan kitab induk ilmu pengetahuan.

Gesaan ini juga memberi gambaran bahawa detik awal sinar Islam ke dunia ini bermula dengan pancaran cahaya wahyu Ilahi melalui kalimah `Iqra yang melambangkan `ilmu’, yang terangkum di dalamnya makna membaca, mengkaji, menyelidik, berfikir (tafakur). Memahami kalimah `Bismi Rabbika’ pula melambangkan kemuncak keikhlasan.

Bukankah Allah sendiri menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya berdoa untuk menambahkan ilmu seperti maksud firman-Nya dalam Surah Thaha:114; ``Katakanlah! (Pohonlah, Wahai Muhammad) Ya Tuhanku! Tambahkanlah ilmu pengetahuan’‘.

Di antara pengajaran ayat ini memberitahu kepada kita bahawa ilmu adalah dipinta dan dipohon (doa) dan usaha manusia mencapainya adalah melalui pembacaan, pengkajian, penyelidikan, berfikir dan lain-lain usaha keilmuan.

Bertambah

Ia juga menerangkan ilmu tidak ada batas penghabisannya. Penemuan satu ilmu akan membuka banyak pintu ilmu yang lain. Semakin ilmu bertambah semakin luas daerah kejahilan. Dan paling penting lagi bahawa pertambahan ilmu adalah untuk menambahkan ketakwaan.

Seharusnya slogan ``sehari daripada usia hidupku berlalu tanpa bertambah ilmuku, aku tidak diberkati Allah’’ menjadi teras dan syiar kehidupan kita.

Budaya membaca untuk menambahkan ilmu sebenarnya adalah `tugas suci’ yang merupakan intisari dari falsafah `Iqra’ itu sendiri. Amat malang sekali, umat Islam yang dikatakan umat terbaik, ikutan terbaik mewarisi budaya membaca yang rendah.

Rakyat Malaysia termasuk umat Islam dikatakan membaca dua buku setahun mengikut Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 1996 yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia dan kadar membaca ini amat rendah bagi sebuah negara seperti Malaysia yang ingin maju sepenuhnya pada tahun 2020.

Lihatlah masjid-masjid di sekitar yang tidak mempunyai perpustakaan yang lengkap beserta kemudahan yang sewajarnya, berisi bahan-bahan bacaan terkini mahupun bahan bacaan yang klasik, sedangkan kita mampu membina sebuah masjid yang cantik dan tersergam indah tetapi gagal mengisi persekitaran ilmu dan intelektual para jemaah masjid dan masyarakat Islam amnya.

Kita hanya pasrah dan berpuas hati dengan pengajian kitab yang diajarkan oleh para ustaz tanpa ingin merujuk selanjutnya pada kitab-kitab lain atau buku-buku di perpustakaan masjid. Akhirnya para jemaah menjadi pendengar yang khusyuk tanpa ada sikap kritis dalam memahami agama dan menerima apa sahaja yang dilontarkan oleh para ustaz, dan yang berkembang akhirnya adalah `tradisi mendengar’. Secara logiknya, budaya membaca umat Islam sepatutnya sudah lama dipupuk dan mempunyai minat membaca yang tinggi ekoran aktiviti keilmuan di masjid.

Berpuasa sememangnya diakui mampu meningkatkan kesihatan mental dan fizikal. Socrates dan Plato pernah melakukannya selama sepuluh hari demi memperoleh pencerahan fikiran. Phythagoras berpuasa selama 40 hari sebelum mengajar ilmunya di Universiti Alexandria. Contoh kecil ini menunjukkan kedekatan ibadah puasa dengan penghayatan membaca dan budaya ilmu kerana `perut’ yang lapar, akan mampu membuat kita berfikir dengan waras dan penuh keinsafan.

Sekiranya berpuasa dalam bulan Ramadan itu memurnikan tubuh kita dengan mengusir racun dan membersihkan sistem pencernaan tubuh kita, maka ia dengan sendiri akan mampu mencerahkan pemikiran kita. Ketika inilah membaca sebagai wahana atau alat yang mengenyangkan minda akan berperanan dengan penuh makna.

- SHAHAROM TM SULAIMAN ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025