Artikel

Raya Cara Kami: Semarakkan Aidilfitri dengan Bahan Bacaan Bermutu

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 07 Apr 2025

Syawal disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai acara yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Tradisi rumah terbuka menjadi salah satu kemuncak sambutan, di mana sanak saudara dan sahabat handai berkumpul bagi mengeratkan silaturrahim sambil menikmati juadah istimewa hari raya.

Di tengah kemeriahan itu, gelagat kanak-kanak turut mencuri perhatian. Mereka berlari riang dari satu rumah ke satu rumah, sambil mengutip sampul duit raya dan menyimpan ‘harta’ kecil mereka—malah tidak kurang juga yang menyelitkan remah-remah biskut raya ke dalam kocek baju Melayu sebagai “bekalan rahsia”! Keletah mereka yang menghiburkan inilah yang sering menjadi penyeri utama setiap kali lebaran menjelma.

Namun di sebalik keceriaan tersebut, ibu bapa dan tuan rumah boleh memainkan peranan penting dalam membentuk budaya berfaedah dalam kalangan anak-anak, khususnya dalam mengurus duit raya mereka. Salah satu pendekatan yang praktikal adalah dengan menyediakan bahan bacaan menarik seperti buku cerita di ruang tamu semasa rumah terbuka berlangsung.

Langkah kecil ini boleh memberikan kesan besar—daripada sibuk bermain gajet atau berlari tanpa arah, anak-anak boleh tertarik kepada buku yang tersedia, lebih-lebih lagi jika reka bentuk dan jalan ceritanya menyeronokkan. Tidak mustahil, selepas membaca beberapa muka surat, mereka akan mula menunjukkan minat dan meminta ibu bapa untuk membeli buku tersebut menggunakan duit raya mereka sendiri.

Seiring dengan itu, PTS menganjurkan Kempen Anak Muda Beraya 2025 bermula 1 hingga 30 April 2025. Kempen ini digerakkan dengan hasrat untuk menggalakkan anak-anak muda membelanjakan duit raya mereka dengan bijak, khususnya melalui pembelian bahan bacaan berkualiti.

PTS menawarkan pelbagai judul yang menarik untuk kanak-kanak dan remaja melalui imprint popular seperti Komik-M, Bookiut, Penerbit-X dan PTS Junior. Koleksi-koleksi ini bukan sahaja menyeronokkan, bahkan sarat dengan nilai pendidikan, karakter positif dan penceritaan yang dekat dengan dunia pembaca muda.

Menariknya, setiap pembelian minimum dua buah buku PTS akan melayakkan pembeli menerima sampul duit raya eksklusif secara percuma. Tahun ini, terdapat tiga rekaan eksklusif yang boleh dikumpul dan dijadikan kenangan istimewa Aidilfitri.

Mari jadikan sambutan Syawal tahun ini bukan sekadar tentang baju baharu atau juadah istimewa, tetapi juga ruang untuk menyemai minat membaca dan cintakan ilmu dalam kalangan generasi muda.

Raya cara kami!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025