Artikel

Kempen Beli & Menang PTS: Bukti Inisiatif Baucar Digital Tarik Minat Membaca!

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 02 Mar 2025

Kempen Beli & Menang Bersama PTS, yang berlangsung dengan kolaborasi Book Capital dan MysiswaPlace, telah melabuhkan tirainya pada penghujung Februari lalu. Kempen ini telah berjaya menarik minat ramai pembaca untuk mendapatkan buku sambil berpeluang memenangi hadiah lumayan.

Kempen Beli & Menang Bersama PTS bukan sekadar memberi peluang kepada pembaca untuk mendapatkan hadiah, tetapi lebih daripada itu, ia berjaya menggalakkan budaya membaca dan pemilikan buku dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda. Dengan adanya baucar buku yang boleh ditebus sepanjang tempoh kempen, ramai yang mengambil peluang ini untuk mendapatkan buku-buku berkualiti dari PTS.

Kempen sebegini memainkan peranan penting dalam memperkasakan literasi dan membudayakan pembacaan. Ia juga membuktikan bahawa buku masih relevan dalam era digital dan mampu menarik perhatian anak muda apabila digabungkan dengan insentif menarik seperti hadiah dan baucar.

Melihat kepada sambutan yang luar biasa, diharapkan inisiatif seperti baucar buku akan diteruskan lagi pada masa hadapan. Ini bukan sahaja membantu golongan pelajar mendapatkan bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membuka lebih banyak peluang kepada penerbit buku seperti PTS Media Group untuk terus menyajikan bahan bacaan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam acara penyerahan hadiah yang berlangsung di pejabat rasmi PTS Media Group, tiga pemenang bertuah telah menerima hadiah utama mereka iaitu, Lokman Hakim bin Mustafa Kamal – Pemenang Sony PS5, Nurul Najihah binti Mohamad Shariman – Pemenang Lenovo LOQ Laptop dan Nur Sofia binti Ramzul Zaman Shah – Pemenang Samsung Galaxy Z Flip 6. PTS Media Group mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Semoga hadiah ini dapat memberi manfaat dan menjadi inspirasi untuk terus membaca dan menambah ilmu.

PTS Media Group komited dalam usaha memandaikan bangsa dan akan terus menyokong inisiatif yang memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Semoga lebih banyak kempen menarik akan dianjurkan pada masa hadapan demi masa depan yang lebih berilmu dan berdaya saing!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025