Artikel

Resepi Mudah dan Senang: Mufin, Cupcake & Pai

oleh Izzati Nadia ZI pada 03 Mar 2016

Juadah pastri pada masa kini bukanlah lagi sesuatu yang dianggap asing di dalam budaya kita memandangkan ramai rakyat Malaysia kini lebih terbuka kepada penerimaan aneka jenis pastri seperti mufin, kek cawan dan juga pai.

Malahan, juadah ini juga sering menjadi pilihan untuk divariasikan sebagai hadiah hari jadi bagi menggantikan kek yang sering digunakan untuk menyambut hari jadi.

Selain itu, aneka pastri juga menjadi salah satu punca pendapatan utama bagi sesetengah peniaga terutamanya para peniaga kafe dan bakeri.

Permintaan bagi pelbagai jenis pastri yang unik, cantik dan enak mendapat sambutan hangat di kalangan semua lapisan umur terutamanya golongan remaja.

Pelbagai warna, perisa, bentuk dan gubahan pastri pasti akan membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya akan terliur.

Oleh itu, kreativiti seorang chef dan peniaga adalah amat penting apabila anda ingin mengubah pastri.

Kali ini PTS Millennia membawakan kepada para pembaca dengan variasi jenis pastri yang diberi nafas baru oleh Chef Fazalina

Buku yang bertajuk ‘Mufin, Cupcake & Pai’ yang mengandungi 45 jenis resipi yang pasti akan membuatkan para pembaca menjadi rambang mata kerana saya yakin anda akan menjadi pening untuk mencuba setiap jenis resipi di dalam buku ini.

Apa yang menarik mengenai buku resipi ini adalah, Chef Fazalina turut menyediakan beberapa resipi mufin, kek cawan dan pai yang sesuai untuk mereka yang kurang berminat dengan pastri berinti manis. Antaranya adalah, mufin kekacang, kek cawan kelapa dan pai sardin pedas.

Tambahan pula, reka bentuk dan isi kandungan buku ini amat kemas dan ringkas, di mana ianya akan memudahkan para pembaca untuk mengikut setiap kaedah penyediaan pastri ini.

Visual yang dimasukkan di dalam buku ini juga menarik dan menyelerakan. Tempoh penyediaan dan jumlah hidangan juga turut disertakan di dalam buku ini.

Malahan, Chef Fazalina turut menyediakan tips bagi setiap aneka pastri untuk kemudahan para pembaca.  Pasti anda berasa tidak sabar untuk mencuba setiap resepi di dalam buku ini.

Selamat mencuba!

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024