Artikel

Review Buku : Perisik Kota Saba Singkap Kisah Binatang dalam Islam

oleh Roziyah pada 11 Jul 2011

Buku Perisik Kota Saba' karya Mohd Aliff Mohd Nor menampilkan 31 buah kisah teladan di mana terdapat binatang di dalam setiap cerita yang turut memberikan impak tersendiri dari awal sehingga kepada pengakhiran sesebuah cerita tersebut.

Apa yang menarik, buku ini menghimpunkan kisah- kisah yang sarat dengan nilai- nilai murni yang boleh diambil sebagai pengajaran seperti sifat setia di dalam cerita "Qitmir dan Penghuni Gua", taat kepada Tuhan dan pemerintah seperti di dalam cerita "Perisik Kota Saba'", amanah di dalam menjalankan tugas dan berpegang teguh kepada janji seperti di dalam kisah "Perjanjian dengan Binatang", nilai kerajinan dapat ditemui di dalam cerita "Petani Tamak Harta", sifat amanah dan istiqamah di dalam mengusahakan sesuatu pekerjaan seperti di dalam cerita "Gembala yang Amanah" bukan sahaja dipersembahkan oleh manusia tetapi juga haiwan turut menampilkan kesemua sifat- sifat ini.

Kesemua 31 buah cerita ini turut menyentuh kisah binatang dengan para Nabi, wali- wali Allah dan rakyat biasa. Penggunaan bahasa Melayu yang mudah difahami di dalam buku ini memberikan maksud bahawa buku ini boleh dibaca oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal usia, agama dan bangsa. Malah, diselitkan juga ayat- ayat dari Quran yang mempunyai kaitan dengan cerita yang dipersembahkan.

Ayat- ayat Al- Quran ini bukan bertujuan untuk dibuat perhiasan pada setiap cerita tetapi sebagai salah satu kaedah untuk berdakwah kepada orang ramai mengenai Islam di mana Al- Quran bukan hanya menyentuh isu agama semata- mata, tetapi mesej yang disampaikan mencangkupi setiap aspek kehidupan manusia seharian.

Buku ini boleh dibeli oleh sesiapa sahaja. Bagi ibu bapa, buku sebegini boleh digunakan sebagai alat untuk membantu menanamkan minat membaca kepada anak- anak mereka yang masih kecil. Sebagai contoh, kanak- kanak gemar membaca buku yang mempunyai binatang di dalam sesebuah cerita dan buku ini memenuhi kriteria tersebut.

Kesemua 31 buah cerita di dalam buku Perisik Kota Saba adalah berdasarkan kisah- kisah benar dan mempunyai unsur sejarah. Kesemua cerita didapati setelah merujuk kepada pelbagai buku cerita yang mempunyai elemen agama dan didikan. Penggunaan Al- Quran yang mempunyai terjemahan Bahasa Melayu turut digunakan bagi menghasilkan buku ini. Setiap cerita di dalam buku ini dipilih dan diolah dengan berhati- hati supaya ia tidak mengandungi unsur- unsur Israeliyat dan jalan cerita yang asal tidak terganggu setelah dilakukan sedikit pembaharuan seperti memperbanyakkan dialog di dalam setiap cerita.

Mengambil sebuah kisah daripada koleksi 31 buah cerita ini, cerita yang bertajuk "Perisik Kota Saba'"Di dalam cerita ini, ia mengisahkan peristiwa di mana Nabi Sulaiman sedang memeriksa barisan tenteranya yang terdiri daripada manusia, burung dan jin. Ketika memeriksa pasukan tenteranya, Nabi Sulaiman mendapati burung hud- hud yang mempunyai kebolehan mencari mata air yang tertanam di dalam tanah tiada. Kehilangan burung hud- hud menjadi tanda tanya sehingga membuatkan Nabi Sulaiman ingin menjatuhkan hukuman berat kepada burung hud- hud.

Tiga hari kemudian, burung hud- hud muncul semula di istana Nabi Sulaiman membawa satu berita setelah pemergian beliau ke negeri Saba'. Apakah berita tersebut? Adakah Nabi Sulaiman menghukum hud- hud kerana menghilangkan diri tanpa meninggalkan apa- apa pesanan?

Sebuah lagi cerita yang tidak kurang menariknya adalah cerita "Hilang Kuasa 40 Hari". Selama ini ramai beranggapan Nabi Sulaiman tidak pernah ditimpa kesusahan kerana dilimpahi dengan pelbagai mukjizat seperti bercakap dan memahami bahasa binatang, berkuasa ke atas jin dan mempunyai kuasa memerintah ke atas angin dan nikmat kekayaan yang banyak. Hakikatnya, Nabi Sulaiman juga tidak terlepas daripada ujian Allah apabila baginda kehilangan mukjizat selama 40 hari sehinggakan rakyatnya sendiri tidak mengenali baginda. Lebih menyedihkan, Nabi Sulaiman dihalau keluar dari istana baginda sendiri. Kisah ini ada diceritakan di dalam Surah Sad, ayat 34.

Persoalannya, bagaimanakah seorang Nabi yang memiliki segala nikmat Allah boleh kehilangan semuanya? Adakah Nabi Sulaiman berjaya menjadi raja dan memimpin rakyatnya kembali? Semua persoalan ini terjawab apabila anda membaca buku Perisik Kota Saba. Buku bertajuk Perisik Kota Saba ditulis oleh saudara Mohd Aliff Mohd Nor. Beliau ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Komunikasi Massa : Media Cetak) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kini beliau berkhidmat sebagai penerbit rancangan di salah sebuah radio RTM di mana beliau bukan sahaja bertanggungjawab mengelolakan program bicarawara tetapi juga terlibat dengan program radio di lokasi bersama pendengar. Beliau juga aktif menulis di majalah online dan membuat bengkel publisiti media percuma bagi menjana pendapatan tambahan dan membantu usahawan PKS mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025