Artikel
Sastera kanak-kanak Jadi Laut Biru Bagi Penulis Malaysia
oleh Roziyah pada 27 Sep 2010
Selama ini, kita dihidangkan dengan dongeng Melayu dan Sastera Rakyat. Cerita-cerita ini dihidangkan kepada masyarakat termasuklah anak-anak kecil.
Cerita-cerita rakyat ini menjadi hiburan kepada anak-anak kecil kita. Malangnya kita mengalami kelompangan yang besar dalam sastera kanak-kanak yang mampu memberi makna yang besar kepada kanak-kanak. Akibatnya anak-anak kita dihidangkan dengan sastera barat seperti cerita pari-pari (Farytale) sebelum mereka melelapkan mata.
Bertempat di Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, Hulu Kelang, Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd mengadakan bengkel menghasilkan karya sastera atau cerita pari-pari khas buat kanak-kanak yang menepati dasar PTS serta berkaitan dengan alam nusantara.
Menurut Puan Ainon, tiada sastera Melayu di Malaysia yang ditulis khas buat kanak-kanak. Cerita-cerita rakyat yang dihidangkan kepada kanak-kanak sebelum ini hakikatnya ditulis untuk orang dewasa.
"Kita mahukan kisah pari-pari yang bersifat Syariah Complaint tetapi masih wujud unsur alam nusantara," jelas beliau kepada mereka yang hadir dalam bengkelnya semalam.
Beliau berkata, salah satu cara cerita pari-pari disampaikan kepada kanak-kanak adalah dengan dibacakan kerana karya sebegini ditujukan kepada kanak-kanak yang berusia antar 5 hingga 6 tahun.
"Fungsi cerita pari-pari yang utama adalah dibacakan kerana kanak-kanak ini masih belum mampu membaca dengan baik," ujar Puan Ainon lagi.
Bagi Puan Ainon, buku-buku cerita tempatan yang dihasilkan tidak dapat dibacakan kepada kanak-kanak kerana bahasa yang digunakan tidak sesuai.
Beliau berharap selepas ini akan lahir karya sastera pari-pari yang dapat memberi makna dan mampu diingati oleh kanak-kanak apabila mereka dewasa kelak.
Pelbagai tips dan input bernilai disalurkan bagi menghasilkan cerita pari-pari oleh Puan Ainon Mohd kepada mereka yang hadir pada hari tersebut.
Turut hadir penulis lama dan baru, bakal penulis serta editor bagi mendapatkan maklumat bernilai mengenai karya sastera berunsur pari-pari khas buat kanak-kanak.