Artikel

Sehari Bersama PTS di MPH Alamanda, Putrajaya.

oleh Helmi pada 07 Apr 2005

Program yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan untuk mempromosi buku-buku PTS kepada umum dan merapatkan hubungan dengan pembaca serta pengunjung Alamanda amnya. Hampir kesemua kakitangan pengurusan dan editorial Kumpulan Media PTS turut ‘turun ke padang’ bagi menjayakan program ini.

Program yang ini berlangsung dari pukul 12.30 tengahari dan berakhir pukul 4.30 petang ini di penuhi dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan buku dan penulisan. Beberapa orang penulis buku PTS turut serta memeriahkan acara yang disusun bersama orang ramai.

Program ini dimulakan dengan aktiviti Forum Remaja bertakjuk “Bagaimana Menjadi Remaja Menarik” yang disampaikan oleh Sdr Ahmad Fadzli Yusof, Sdr Ahmad Naim Jaafar dan di pengerusikan oleh Pengurus PTS Millenia iaitu Sdr Fauzul Naim Ishak. Kedua-dua penulis tersebut berjaya memukau pengunjung-pengunjung MPH Alamanda khususnya golongan remaja untuk mendapatkan tip-tip bagaimana menjadi remaja yang berjaya dan menarik. Para ibubapa yang hadir turut mengambil kesempatan ini untuk meminta nasihat dan tip-tip yang boleh mereka gunakan bagi mepertingkatkan jatidiri anak-anak remaja mereka. Pengunjung juga manfaatkan masa yang ada untuk mendapatkan autograf kedua-dua penulis muda tersebut.

Aktiviti diteruskan dengan sesi bicara buku “Askar Berjalan Kaki” oleh Mejar Mohammad Kayum dan di pengerusikan oleh Sdr Faris Hasbullah dari Unit Promosi & Media, Kumpulan Media PTS (Ibupejabat). Sesi ini cuba mencungkil rahsia dan pemikiran penulis buku iaitu Mejar Kayum. Beliau sudi berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapinya dalam menghasilkan buku tersebut. Bagaimana sebagai seorang askar infantri tetapi masih dapat meluangkan masa untuk menulis walaupun ketika dalam operasi. Buku tersebut berkisarkan pengalaman, kecekalan, pahit manis hidup beliau dari seorang anak yatim yang nakal hinggalah beliau dewasa dalam kehidupan sebagai seorang pegawai tentera. Askar Berjalan Kaki (versi remaja) adalah buku beliau yang pertama bersama PTS.

Aktivti diteruskan dengan sesi ceramah penulisan “Bagaimana Menajdi Penulis Berjaya” yang disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Media PTS iaitu Pn Ainon Mohd. Beliau juga merukan seorang penulis yang sudah menghasilkan lebig 50 judul buku yang merangkumi bidang pemikiran, komunikasi, pembangunan diri, bahasa dan kamus. Didalam sesi ini Pn Ainon memberikan beberapa petua dan tip-tip bagaimana untuk menjadi penulis berjaya, panduan memilih penerbit yang dapat membantu kejayaan dan bagaimana bekerja dengan penerbit. 

Program sehari bersama PTS ini di akhiri dengan ceramah pendek “Bagaimana Mencari Maklumat” yang disampaikan oleh penulis buku ‘Panduan Mencari Maklumat’ iaitu Prof Madya Dr Yushiana Mansor dan Cik Irma Indayu Omar. Mereka memberikan beberapa nasihat dan panduan bagaimana bakal penulis boleh memanfaatkan teknologi informasi yang ada untuk mencari maklumat dan rujukan bagi menghasilkan buku yang baik.

Para pengunjung yang hadir juga mendapat hadiah majalah ‘Genius’ dan ‘I Remaja’ percuma sumbangan sykt Sasmurni Bakti Sdn Bhd dan Berita Publishing Sdn Bhd.

Turut serta dalam program sehari ini adalah pegawai-pegawai kanan MPH seperti Pengurus Pemasaran, Pengurus Cawangan MPH Alamanda, Eksekutif Kanan dan Pegawai Pemasaran.

Unit Promosi & Media yang bertanggungjawab menguruskan program ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada MPH Bookstore, pengurusan, kakitangan & editorial PTS, serta individu-individu yang terlibat.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024