Artikel

Sejarah PBAKL: Dari Kebangsaan ke Peringkat Antarabangsa

oleh Roziyah pada 31 Mar 2011

Pada awalnya, Pesta Buku di Malaysia dikenali sebagai Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL). PBKL yang mencapai usia 10 tahun pada tahun 1991. Dalam tempoh sedekad, PBKL telah melangkah menjadi sebuah acara antarabangsa dan menukarkan namanya kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan dari Kuala Lumpur Book Fair (KLBF) kepada Kuala Lumpur Internasional Book Fair (KLIBF).

PBAKL yang pertama telah memperuntukkan 300 gerai bagi acara tersebut dan berjaya membawa 100 pengusaha dalam dan luar negara bagi menyertai PBAKL. Antara pengusaha luar negara yang terlibat termasuklah Harcourt Brace Javanovich, HarperCollins Publishers, John Wiley & Sons, McGraw-Hill, Simon Schuster, Toppan Co dan sebagainya. Penerbit-penerbit dari Singapura dan Indonesia juga tidak melepaskan peluang menyertai pameran yang julung-julung kali diadakan ini. Pada tahun 1993, bilangan peserta pameran bertambah kepada 107 buah syarikat.

Menurut pengerusi MBKM, Dato’ Asiah Samah, pesta ke-12 itu memperlihatkan peningkatan dari segi penyertaan penerbit luar negara semenjak bertaraf antarabangsa. PBAKL ke-12 itu juga berjaya menarik pengunjung. Seramai 334,000 pengunjung dicatatkan hadir ke PBAKL kali ke-12 itu.

Tahun 1996 pula membawa titik perubahan dalam sejarah PBAKL. Sempena ulang tahun yang ke-15, PBAKL mula dikelolakan oleh Majlis Industri Buku Malaysia (MBIC) iaitu gabungan lima persatuan industri buku negara yang terdiri daripada Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (IKATAN), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengimport Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengimport Buku Malaysia (MBIA) dan persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM). Kerjasama ini menunjukkan kesatuan yang mantap antara para penggiat industri buku di samping meletakkan Malaysia ke pentas yang sama dengan rakan-rakan sejawatan di negara lain. Menurut persetujuannya, pengerusi bagi acara tahunan itu akan dipegang secara bergilir-gilir di kalangan ketua pemimpin kelima-lima organisasi perbukuan dengan dimulakan oleh Presiden MABOPA.

Pada tahun 1997, PBAKL yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi semakin besar dalam usia 16 tahun sejak dikendalikan di bawah MBKM. Bermula dengan Dewan Tun Razak 1, PWTC pada tahun 1996, kini PBAKL lebih besar sehingga ke Dewan Tun Razak 2 dan 3 yang lebih besar bagi menampung penyertaan yang lebih besar.

Seramai 124 pengusaha mendaftar sebagai peserta dan mengambil bahagian dalam PBAKL dan menyebabkan jumlah gerai meningkat kepada 400 buah. Tahun tersebut juga menyaksikan penyertaan sebanyak 11 buah negara.

Jumlah pengunjung bagi tahun 2000 melonjak sebanyak 55% dari 64,368 orang pada tahun 1999 menjadi 99,476 orang pada tahun 2000. Jika dilihat secara statistik secara mendalam, pengunjung wanita mencatatkan peratus tertinggi iaitu sebanyak 45% (44,711 orang) diikuti dengan pengunjung lelaki 37% (36,762 orang) dan kanak-kanak sebanyak 18% (18,006 orang).

PBAKL ternyata telah melalui pelbagai pengalaman dalam usia 25 tahun. Dari segi penyertaan, aktiviti ini telah tumbuh hingga menjadi sebuah kegiatan yang melibatkan lebih 130 peserta dengan penggunaan lebih 500 gerai. Begitu juga dari segi bilangan kunjungan yang memperlihatkan jumlah peningkatan yang positif.

Melalui kajian oleh penganjur Frankfurt Book Fair pada tahun 2005, para pengunjung berpendapat pesta buku yang diadakan merupakan pesta yang paling penting berbanding dengan pesta-pesta buku lain dalam konteks pemasaran dalam industri buku dan media. Sebahagian besar pengunjung menyatakan tujuan utama kedatangan atau penyertaan mereka adalah untuk menjalin hubungan perdagangan hak cipta dan lesen perdagangan selain menjalin hubungan dengan pelanggan baru dari kalangan pengusaha buku lain.

PBAKL ini telah berjaya menarik 7,223 peserta dari 1010 negara bagi mengambil bahagian pada tahun 2005. Seramai 284,838 pengungjung dari 121 negara datang dan 30 peratus ialah pengunjung luar negara.

Namun, Frankfurt Book Fair ialah pesta buku yang berbeza konsepnya dengan PBAK. Ia merupakan majlis bagi pengusaha, pedangang dan karyawan buku dan bukannya bagi pengguna buku.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024