Artikel
Semangat PTS Tambat Hati Chef Hussin
oleh Roziyah pada 03 Aug 2010
Kerjasama dan semangat PTS dalam mempromosikan buku-buku serta penulis PTS telah menambat hati penulis buku PTS, Chef Hussin bagi menulis buku bersama PTS.
"Sebelum ini saya memang berminat untuk menulis buku masakan namun belum ada peluang dan tidak tahu mahu hantar ke mana. Namun PTS yang agresif dalam menjalankan pemasaran telah menarik minat saya menulis bersama PTS. Saya membantu PTS sepertimana PTS membantu saya," kata Chef Hussin.
Chef Hussin yang kini menjadi pensyarah kulinari di UITM Pulau Pinang berminat dalam masakan ini sejak tahun 1992 lagi apabila beliau mengikuti kursus masakan.
Bagi beliau, bidang masakan ini mampu menjadi batu loncatan kepada pelajar untuk berjaya dan dalam masa yang sama mereka boleh masuk ke lapangan kerja yang berbeza.
Chef Hussin yang pernah menjadi finalis Magee Mencari Bintang pada tahun 2009 mempunyai minat yang berbeza dengan lapangan kerjayanya.
"Saya meminati sukan bola sepak dan telah memperolehi lesen bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," jelas beliau bercerita mengenai minatnya terhadap bola.
Bapa kepada empat orang anak ini juga menyimpan cita-cita menjadi selebriti chef satu masa nanti.
Bagi beliau walau belajar dan bekerja dalam bidang masakan, chef masih lagi boleh mengikuti dan menjalani perkara yang diminati.
Beliau kini sedang menghasilkan empat buah buku bersama PTS dan memberi fokus kepada makanan seimbang hasil gabungan timur dan barat.
Tiga buah buku berkaitan diet sihat iaitu buku berkaitan Salad Buah Salad Sayur, Pembuka Selera serta Sarapan Pagi dan Minum Petang telah disiapkan dan bakal diterbitkan tidak lama lagi.
Beliau kini sedang sibuk menghasilkan 47 resipi makan tengahari dan makan malam khas untuk peminat buku masakan. Lebih istimewa apabila beliau mengadunkan masakan timur dan barat menjadi masakan yang seimbang untuk seisi keluarga.
Beliau juga telah merangka rancangan untuk menghasilkan buku lain yang mampu menambat selera peminatnya.
Peminat masakan boleh melayari http://studiomasakanchefhussin.blogspot.com bagi mengetahui lanjut perkembangan terkini berkaitan Chef Hussin.