Artikel
Semarakkan peradaban buku
oleh Helmi pada 02 Nov 2006
PADA mulanya adalah kata Iqra, yang bererti bacalah. Benih-benih peradaban Islam pun mulai bermekar, bersamaan dengan turunnya Iqra yang memulakan proses pewahyuan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. Perintah agar Rasulullah s.a.w membaca memiliki makna amat luas. Salah satunya adalah motivasi untuk mewujudkan peradaban gemilang yang didirikan di atas sendi-sendi ilmu pengetahuan. Sesiapa pun memahami bahawa ilmu adalah cahaya, tetapi menterjemahkan prinsip ini ke dalam fakta peradaban bukanlah usaha yang mudah. Ia memerlukan waktu berabad-abad dan pengorbanan yang tidak henti-henti untuk mewujudkannya. Sebahagian besar warisan peradaban Islam telah kita terima dalam keadaan selamat, meskipun tidak utuh sehingga memungkinkan dijadikan khazanah keilmuan yang kaya. Kita warisi umumnya adalah karya-karya intelektual yang lahir dari tangan ulama/ilmuwan Muslim terkemuka dan meliputi beragam disiplin ilmu, dari tafsir al-Quran, hadis, fikah, astronomi, falsafah hingga matematik. Karya-karya itulah yang akhirnya membentuk mozaik peradaban Islam. Alangkah mengesankan bila kita mampu berdialog dengan karya-karya cemerlang itu, menyelami dan merenungkan apa yang mendorongkan mereka untuk menuliskannya dalam lembaran-lembaran buku. Memahami, membicarakan, serta mendiskusikan alasan dan konteks sejarah yang membuat mereka tergerak untuk berkarya itulah yang dilakukan dan cuba difahami oleh Khaled Abou El Fadl, pengarang buku Conference of the Book yang diterjemahkan kepada Musyawarah Buku : Menyusuri Keindahan Islam dari Kitab ke Kitab. Penggunaan simbol buku di sini terlihat betul-betul mewakili lambang kecermatan berfikir. Dengan buku, orang akan lebih leluasa melakukan analisis logik-kritis terhadap setiap gagasan yang dituangkan kepada masyarakat. Dengan buku, orang dapat mengembangkan pemikiran-pemikiran yang lebih maju dan kompleks. Dengan buku pula, peradaban-peradaban menyongsong kemajuan. Khaled, dengan keluasan wawasannya yang mengagumkan, menyusuri buku demi buku yang ditulis sejumlah besar pengarang Muslim terdahulu. Khaled menghayatinya seolah-olah dirinya tenggelam, hadir sama dan asyik-masyuk dalam lingkaran komuniti intelektual yang melahirkan karya-karya itu. Khaled melakukan dialog imaginasi yang amat hidup, dengan menelaah secara reflektif sejauh mana buku-buku itu membentuk estetika pengetahuan yang mengilhami kreativiti. Sejarah Penghayatan emosional Khaled ke atas karya-karya klasik itu terlihat daripada caranya mengekspresikan konteks sejarah perjalanan karya-karya tertentu. Ia, misalnya, dengan sedih menceritakan bagaimana karya-karya Ibn al-Mulaqqin, seorang sarjana Muslim yang genius, dimusnahkan setelah penulisnya dituduh menggelapkan sejumlah wang secara diam-diam. Atas desakan pemerintah bernama Sayf ad-Din Barquq (meninggal pada 1398 M), Ibn al-Mulaqqin dipenjara, diasingkan dari aktiviti mengajar dan koleksi perpustakaan peribadinya dibakar. Rupanya penyakit membakar buku juga berlaku kepada penguasa Muslim yang zalim, satu tradisi jahat yang pernah dilakukan oleh Julius Caesar ketika menjarah buku di Perpustakaan Iskandariah. Nasib buruk juga menimpa An-Nasai (meninggal pada 915 M), seorang perawi hadis yang masyhur. Ia diseksa hanya kerana menolak memuji dan mengakui kepimpinan Muawiyah Abi Sufyan yang terkenal berlaku zalim terhadap Saidina Ali, orang yang disebut sebagai Pintu Ilmu oleh Rasulullah s.a.w. Sejarah gelap yang menimpa puluhan bahkan ratusan intelektual Muslim, dalam buku ini, dirakam dengan penuh rasa empati. Setiap peristiwa dituturkan dengan gaya penceritaan yang memukau, menggugah, dan adakalanya menyiratkan sedikit nada penyesalan. Dalam mencatat kejadian-kejadian itu, Khaled berupaya menemukan kesimpulan yang menjadikan gagasan buku-buku itu terungkap rapi, iaitu etos pengetahuan dan keindahan yang terjelma daripada ajaran dan peradaban Islam. Dialog-dialog dan fantasi intelektual yang dihadirkan buku ini amat terasa dan membahana ketika Khaled mencari titik-titik relevansi yang memberi peluang bagi umat Islam kontemporari untuk belajar secara kritis dari khazanah masa lampau mereka. Salah satu pengajaran penting yang dapat ditarik daripada pengalaman sejarah intelektual Muslim adalah kenyataan betapa kekuasaan politik selalu menghakimi dan mencampuri kebebasan ilmiah: Kebebasan untuk berfikir, berkarya, berpendapat. Kekuasaan sentiasa hadir untuk mengekang dan membunuh kreativiti demi kebenaran. Dalam konteks ini, karya Khaled hadir sebagai suara lain, suatu bentuk perlawanan alternatif atas hegemoni dan terorisme kekuasaan yang menjadi tradisi dalam sejarah intelektual umat Islam. Ini menjadikan buku Khaled sangat unik dan memberikan perspektif yang jernih. Apa yang dikerjakan Khaled jelas bukan apologetik atau ratapan atas masa lalu yang hilang. Mungkin lebih tepat bila kita menyebutnya suatu ajakan yang transformatif, yakni membangkitkan kembali etos pengetahuan yang diwarnai oleh peradaban buku yang mulai padam di kalangan umat Islam. Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN