Artikel

Mengenali komuniti buku

oleh Helmi pada 02 Oct 2006

SEBUAH peradaban cemerlang tidak mungkin wujud dan bertahan lama tanpa sebuah peradaban buku yang mewarnainya. Dan sebuah peradaban buku tidak mungkin terbina tanpa tradisi Budaya Ilmu, yang merangkumi tradisi perpustakaan, kesarjanaan, pendokumentasian, tulis-menulis, dan komuniti buku.

Dan tradisi tersebutlah sepanjang sejarah yang menghidupkan roh peradaban cemerlang Islam, Parsi, China, Yunani bahkan Eropah sendiri.

Dari situ berkembanglah ilmu pengetahuan dan ketika ilmu bermanfaat dan dimanfaatkan demi kemajuan manusia maka di sanalah sebuah peradaban dibentuk.

Sebuah peradaban ilmu tentunya dihuni atau diisi oleh manusia yang beradab dan berbudaya. Dan ini hanya terjadi apabila sesebuah masyarakat atau bangsa itu menyanjung tinggi budaya ilmu dan budaya membaca. Jangan hairan, terkejut, atau marah apabila kajian Readers Digest baru-baru ini mendapati rakyat Malaysia tidak beradab kerana antara ciri-ciri orang yang tidak beradab ialah tiada sebatinya budaya ilmu dan membaca.

Kita mungkin saja tidak bersetuju dengan apa yang dipaparkan oleh Readers Digest, tetapi lihatlah secara bijaksana kepada perilaku songsang anak-anak muda hari ini, perilaku kita terhadap alam sekitar, perilaku kita terhadap bahasa Melayu, perilaku kita menyanjung tinggi artis daripada ilmuwan dan budayawan, perilaku kita yang kemaruk dengan budaya realiti TV, perilaku kita terhadap amalan berbudi bahasa dan berbagai lagi perilaku kita yang menjengkelkan.

Kita terlupa bahawa budaya ilmu dan membaca akan melahirkan masyarakat berperadaban tinggi yakni masyarakat yang berakal budi dan celik budaya.

Membaca buku terbaik ibarat sebuah dialog atau percakapan dengan minda terbaik sepanjang sejarah, kata Rene Descartes, seorang ahli falsafah klasik Barat tersohor. Memang dengan membaca buku-buku terbaik kita bukan saja dibawa ke dalam sejarah masa lalu, atau pengalaman-pengalaman kontemporari.

Dan yang lebih penting adalah buku akan membawa kita ke perjalanan masa depan yang semuanya akan membentuk pencapaian kita di masa kini dan masa akan datang. Dan inilah kuasa buku dalam melahirkan masyarakat berperadaban. Benarlah apa yang dikatakan oleh Anne Quidlen, penulis dan pemenang Putlizer Prize 1992, Books are the planes, and the trains, and the road. They are destination, and the journey. They are home.

Menggerakkan peradaban buku dalam sesuatu bangsa tentu sekali memerlukan komuniti buku yang benar-benar mencintai dan menjiwai buku.

Mereka bukan terikat dengan kepentingan industri, perniagaan atau kepentingan-kepentingan lain tetapi kerana kecintaan luar biasa dan komitmen mereka kepada budaya buku sekali gus menyanjung tinggi budaya ilmu. Mereka akan menggerakkan apa saja yang berkaitan buku atau dalam istilah saintifiknya dikenali sebagai biblioholisme yang secara mudah dapat diertikan sebagai kecanduan luar biasa terhadap buku dan dunianya yang berkecenderungan berlebihan kalau tidak pun ekstrem dalam membeli, membaca, menyimpan dan mengagumi buku, sedangkan para pencintanya disebut sebagai biblioholis

Keunikan dan signifikan biblioholis sebagai sebuah komuniti buku kepada pembangunan intelektual sesebuah negara dibahaskan dalam buku Pesona Pencinta Buku yang diselenggarakan oleh Shaharom TM Sulaiman, Dr. Abu Hassan Abdullah, Ali Dina, Khairusy Syakirin Hasyun Hashim dan Nal Azri Nawawi. Kelima-limanya adalah pendiri dan penggerak Komuniti Bukuonline.org yang diwujudkan pada tahun 2005. Makalah-makalah yang terdapat dalam buku ini berasal dari Seminar Pencinta Buku Malaysia 2006 yang dianjurkan bersama oleh Bukuonline.org dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara.

Buku ini membahaskan pelbagai sisi menarik dunia pencinta buku, misalnya, buku dan wanita, nikmatnya sentuhan buku dan estetika membaca, dunia buku dan tradisi kesarjanaan, perangai dan watak pencinta dan penggila buku, peranan perpustakaan dalam melahirkan pencinta buku dan sebagainya. Para penyumbang dalam buku ini terdiri daripada kalangan yang telah lama bergulat dalam dunia buku sekali gus para pencinta buku seperti Jaafar Abd. Rahim, Faisal Tehrani, Sayed Munawar, Ainon Mohd., Datin Paduka Shahaneem Hanoum dan Zin Mahmud.

Buku setebal 109 halaman ini akan dilancarkan pada hari ini (11 September 2006) oleh Datuk Seri Muhammad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan, pukul 2.00 petang di Plaza Seremban sempena perasmian Gerakan Membaca Peringkat Negeri Sembilan dari 11-17 September, 2006.

Sempena pelancaran itu, berbagai aktiviti akan dijalankan seperti Bengkel Penulisan, Majlis Sembang-Sembang bersama Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Bacaan Kegemaran Saya, Forum Malaysia Membaca, pameran yang bertemakan mengenal dunia pencinta buku dan lain-lain aktiviti yang menarik.

Buku ini dilancarkan kerana ia berkaitan rapat dengan tajuk Forum Malaysia Membaca pada 16 September yang membahaskan Komuniti Buku Memperkasakan Peradaban Ilmu. Peranan komuniti buku dalam menggerakkan budaya membaca memang telah terbukti, sebagai contohnya, Kelab Buku Oprah Winfrey telah berjaya dan mermpengaruhi budaya membaca di Amerika Syarikat sebagaimana dibuktikan dalam sebuah kajian yang dijalankan.

Di Indonesia pula, wujud komuniti buku yang dikenali sebagai Forum Indonesia Membaca yang aktif menjalankan aktiviti budaya membaca termasuk menjadi konsultan kepada perpustakaan dan toko-toko buku.

Menurut Zin Mahmud dalam makalahnya, Akhbar, Buku dan Gila Buku, komuniti buku dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu ulat buku, pembikin buku dan pemerhati buku. Kesemuanya secara langsung terlibat dalam segala hal yang berkaitan budaya buku, namun di antara ketiga itu, ulat buku atau dalam bahasa yang agak ramah pencinta buku merupakan kelompok yang ke depan dalam mewarnai komitmen dan keghairahan terhadap budaya buku.

Komuniti-komuniti buku memang perlu diperbanyakkan, tak kiralah apa namanya kerana tujuan akhirnya tetap melahirkan masyarakat yang berperadaban tinggi kerana itulah kesan akhir dari kegilaan budaya membaca. Ingatlah pesan orang bijak, Sebuah bilik tanpa deretan buku ibarat sebuah tubuh tanpa roh. Dan sebuah peradaban tanpa buku ibarat sebuah bahtera tanpa pengemudi yang tidak tahu ke arah mana yang hendak dituju kerana di depannya terbentang segala macam kepalsuan yang mengelirukan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025