Setiap Yang Bernyawa Pasti Akan Merasai Mati

oleh Asri Yussof pada 22 Jun 2016

quran-89066

“Mengapa engkau tersenyum, sedang tadi engkau merenung aku penuh tajam menikam?”

“Sebentar tadi aku hairan, bagaimana mungkin akan tercabut nyawamu dalam keadaan engkau berada di khalayak ramai, sedang Tuhan menghendaki engkau dimatikan di tempat yang sunyi lagi jauh dari manusia.

“Dan kini aku tersenyum, kerana tempat dan masanya sudah menepati syarat-syarat yang dikehendaki Tuhan.”

Siapa yang pernah mendengar kisah seorang pemuda yang lari dari malaikat maut?

Disini adalah sorotan terakhir sebelum pemuda berkenaan menerima penuh pasrah dengan ketentuan yang ditakdirkan untuknya, iaitu mati.

Kisah ini disebut berlaku di zaman Nabi Sulaiman AS. Si pemuda itu sangat mengharapkan Nabi Sulaiman menghantarnya ke suatu tempat yang jauh supaya beliau tidak mati namun malaikat maut  datang juga bagi menjemputnya.

Begitulah kisahnya, tentang bagaimana bersungguh-sungguh sekali makhluk yang bernama manusia mencari jalan bagi menghindari kematian.

Tanpa disangka-sangka, tempat dituju itulah destinasi kematiannya yang sudah pun ditetapkan.

Maka benarlah firman Tuhan melalui Al-Quran, surah Ali-Imran ayat 185: Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.

Hakikat bahawa hidup di dunia adalah sementara dan terbatas dengan yang ditentukan.

Dek kesibukan menongkah arus, kita sering terlupa dengan hakikat ini. Kadangkala kita diingatkan Tuhan dalam perjalanan hidup kita berkenaan hal ini, terutamanya melalui kematian-kematian yang berlaku di sekeliling kita. Bahkan orang yang kita kenal.

Kematian inilah yang menyedarkan kita untuk memenuhi kehidupan ini dengan perkara yang memberi kebaikan tidak pada diri sendiri semata-mata, bahkan orang lain juga.

Tidakkah kita tahu, kematian bermaksud perpisahan antara kehidupan di dunia dengan kehidupan di akhirat.

Maka, menghidupkan roh kematian dalam jiwa kita akan menggerakkan diri untuk benar-benar memanfaatkan kehidupan.

Memastikan ia terisi dengan perkara yang bermakna. Kita tidak akan berlengah, dan akan sentiasa bersiaga.

Demikianlah proses penghayatan yang sepatutnya kita lakukan selain membaca Al-Quran.

Setiap ayat yang kita baca, sebenarnya Allah sedang berbicara terus kepada kita.

Hilal Asyraf menulis dalam bukunya 25 Ayat Al-Quran Pilihan Bagi Muhasabah Jiwa dan Minda, terbitan PTS, yang mengingatkan kita bahawa, Al-Quran tidak hanya bahan bacaan, tetapi menjadi petunjuk kehidupan.