Si Kaki Gosip yang Ada Sahaja Ceritanya Setiap Masa: OMG! Ratu Gosip

oleh Siti Zulfatihah Zahari pada 15 Oct 2015

Siapa di sini yang suka bergosip? Hah, lebih baik mengaku sekarang juga! Kali ini, Blink Book Sdn.Bhd tampil dengan buku baru yang bertajuk OMG! Ratu Gosip. Haa, dengar sahaja tajuknya, sudah pasti pembaca dapat meneka bagaimana perjalanan cerita ini, bukan? Kisah yang akan diceritakan ini berkait rapat dengan sikap kita, terutamanya para adik, kakak, dan mak cik di luar sana yang suka bergosip ataupun secara tepatnya  mengumpat.

Kadang-kadang kerana sudah terbiasa dengan tabiat bergosip, tanpa sedar kita telah menjadikannya sebagai makanan harian kita. Awas, bahaya tu. Moga kita terhindar dari amalan suka bergosip ini! Novelet ini memaparkan kisah Ritah Ridaini, yang digelar sebagai penggosip terhebat di Sekolah Sri Bangsar. Mulutnya mengalahkan murai tercabut ekor. Jika tidak bergosip seharian, badannya terasa seram sejuk.  Setiap kontroversi artis dihafalnya di dalam minda, dan segala isu di Sekolah Sri Bangsar diketahuinya lebih laju daripada orang lain.

Watak Ritah Ridaini digambarkan seorang yang sangat obses pada gosip ataupun isu –isu hangat yang berlaku di sekelilingnya. Dia telah menjadi penyebab kepada kekecohan yang berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar perempuan di sekolahnya. Ini berpunca daripada gosip-gosip liar yang disebarkan tanpa kebenaran yang sahih.

Akibat insiden itu, Ritah dipulaukan dan disisihkan kerana orang sekeliling yang tidak tahan dengan mulut celuparnya yang suka melaga-lagakan. Pada saat orang meminggirkannya, muncul seseorang sebagai penyelamat. Menawarkan diri sebagai sahabat, lantas mengurangkan ketagihan Ritah kepada tabiat suka begosip yang melampaui batas. Siapakah gerangan orang itu? Dapatkan buku ini selagi stok masih ada.

Apa yang diceritakan dalam novelet ini, adalah kisah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Ia berkait rapat dengan tabiat yang boleh disignifikasikan sebagai perbuatan negatif yang mana boleh menimbulkan perbalahan dan perpecahan. Secara lansungnya, tabiat itu haruslah diubah dan dijauhi.

Sebenarnya, tidak salah jika kita mahu bergosip dengan rakan-rakan kita. Cuma, janganlah bergosip pada perkara yang buruk dan boleh mengaibkan orang lain pula. Seharusnya, kita menapis dahulu setiap berita yang diterima, bukannya menerima setiap perkhabaran tanpa usul periksa. Di penghujung buku ini, anda akan menemui pengajaran yang baik yang boleh dijadikan sebagai iktibar dalam kehidupan.