Silap Kira Kiraan atau Silap Perhitungan Nyawa?: Misi Kira Pertandingan Matematik

oleh Amirah pada 16 Oct 2015

20151012_191657

Buku yang ingin diperkatakan ini mempunyai sebanyak  172 helaian mukasurat. Novel remaja yang bertajuk Misi Kira Pertandingan Matematik tulisan Nazry Salam membawa pembaca menyelami bagaimana kisah tiga orang sahabat iaitu Sina, Mutu dan Lim saling berganding tenaga untuk menang dalam Pertandingan Matematik Kebangsaan. Tidak hairanlah penulisnya telah dinobatkan sebagai penulis bestseller siri komik remaja kerana jalan cerita yang ditonjolkan penuh dengan debaran dan membuatkan sesiapa yang membacanya begitu teruja untuk mengetahui pengembaraan yang seterusnya.

Gaya persembahannya sangat santai dan mudah untuk difahami. Nazry Salam seorang penggila matematik maka tidak hairanlah jika boleh dikatakan cerita yang terkandung dalam novel ini 90% berkisarkan nombor dan matematik. Apa yang menariknya, komik remaja ini digabungkan antara komik dan novel. Misi Kira Pertandingan Matematik terbahagi kepada dua bahagian. Buku ini bahagian pertama, dan akan menyusul bahagian kedua.

Jelas apa yang ingin disampaikan oleh penulis di dalam novel remaja ini adalah kekuatan persahabatan yang ditonjolkan melalui watak tiga sekawan iaitu Sina, Lim dan Mutu. Kombinasi persahabatan mereka sangat unik. Sina seorang yang mahir matematik. Lim tergolong dalam pelajar yang sederhana dan menjadi ketua dalam kumpulan Sinaran. Manakala, Mutu seorang pelajar yang suka tidur dan tidak pandai dalam matematik. Mereka sama-sama bergabung dalam kumpulan Sinaran demi mahu bergelar juara peringkat kebangsaan Pertandingan Matematik. Jalan cerita Misi Kira disusun dengan rapi dan sempurna. Ada bahagian yang membuatkan hati tercuit dengan kisah mereka.

Kisahnya bermula apabila Lim dan Mutu bertegas untuk menyertai Pertandingan Matematik Kebangsaan sehingga menemukan mereka dengan Sina iaitu seorang pelajar kalkulator yang sangat genius matematik. Keupayaan Sina sangat luar biasa sehingga dia mampu menyelesaikan soalan-soalan matematik yang susah dengan begitu cepat dan jawapannya betul seratus peratus.Sina juga menjadi pelajar kebanggan di sekolahnya kerana mempunyai kemahiran dengan nombor sehingga mengejutkan Cikgu Mona salah seorang guru baru yang mengajar di kelasnya.

Kisah ini terus bersambung dengan misteri kehilangan pakar matematik yang disyaki telah diculik. Berdasarkan ‘tanda-tanda’ yang  ditinggalkan iaitu beberapa kod rahsia yang berkaitan dengan nombor terus dicungkil oleh Sina bagi membantu siasatan kes kehilangan pakar matematik yang juga bapa kepada sahabatnya, Lim. Mampukah mereka menang dalam Pertandingan Matematik Kebangsaan? Apakah kaitan kehilangan pakar matematik dengan Pertandingan Matematik Kebangsaan? Misi mereka baru bermula. Teruskan menjelajah pengembaraan mereka yang penuh suspen!