Artikel

Si Kembar Bekerjaya: Cik PA Glamor

oleh Rasmawati Abdul Muin pada 25 Sep 2013

Zara memegang jawatan sebagai PA (pembantu peribadi) kepada Tuan BJ, iaitu pengarah syarikat tempat mereka bekerja.Manakala Ghina pula memegang jawatan sebagai arkitek muda.

Meskipun wajah mereka seiras, namun kedua-duanya mempunyai karakter yang sangat berbeza. Zara yang gedik dan kecoh mewarisi mulut murai ayah mereka, Pak Thaqi yang berniaga murtabak.

Ghina si gadis selamba pula mewarisi ibu mereka, Mak Jijah yang bekerja di kilang udang.

Sejak kecil, Zara mengidamkan kerjaya sebagai pramugari. Sudah banyak temuduga syarikat penerbangan yang dihadirinya, namun tiada satu pun yang memihak kepada Zara.

Atas sebab itu, Zara terpaksa menerima tawaran bekerja di tempat Ghina. Pelbagai kejadian lucu yang berlaku sepanjang kehadiran Zara yang licik dan gedik di syarikat itu.

Meskipun berlainan jabatan, pekerja di situ tidak pernah tersilap membezakan antara Zara dan Ghina kerana sikap dan gaya percakapan kedual-duanya adalah berlainan.

Tuan BJ mengamanahkan Zara menjaga Elie Yana, bayi kecil yang comel buat sementara. Zara yang alergik dan tidak suka dengan budak kecil terpaksa juga menerima amanah itu.

Dalam novel ini, cuba ditonjolkan walau bagaimana sekali pun perasaan tidak puas hati terhadap adik-beradik, kita pasti sangat menyayangi mereka dan tidak rela membiarkan saudara kita ditimpa musibah.

Bak kata pepatah, ‘air dicincang tidak akan putus.’ Meskipun Zara selalu tidak puas hati dengan Ghina dan selalu menyakiti Ghina, namun jauh di sudut hati, dia sangat menyayangi adik kembarnya.

Begitu juga Ghina, meskipun dia sakit hati dengan sikap Zara kerana selalu mengambil kesempatan atau mengenakan dirinya, namun dia tetap bersabar dengan karenah kakaknya yang kurang matang.

Meskipun mereka berdua selalu bertengkar, namun apabila ditimpa musibah atau sebarang masalah, mereka akan menghadapinya dan sama-sama memikirkan jalan penyelesaian.

Novel ini turut menyelitkan kerjaya sebenar seorang PA yang mana ia tidak terbatas dalam waktu kerja di pejabat sahaja.

Seorang PA yang hebat adalah pembantu peribadi yang sedia berkhidmat dan rapat dengan bosnya selagi tidak melangkaui batas-batas agama dan tatasusila.

Sebagai contoh, penulis menyelitkan watak anak kecil yang comel, iaitu Elie Yana yang bertaraf yatim piatu.  Sebagai PA yang prihatin, Ghina dengan bantuan Zara, sanggup memelihara Elie Yana.

Di sini, dapat dilihat betapa Zara dan Ghina memiliki hati yang bersih dan terpuji.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024