Artikel

Siri Puteri - Dunia Fantasi Penuh Ilmu

oleh Roziyah pada 14 Jul 2010

Siri Puteri merupakan produk terbaru dari PTS One Sdn Bhd menampilkan imej empat warna dan dekat dengan jiwa pembaca terutamanya pembaca cilik.

Menurut Editor Puan Nahdatun Nisaak Othman, Editor Senior PTS One Sdn Bhd, buku Siri Puteri ini tampil dengan isi yang mudah dan ringkas untuk pembaca cilik selain menggunakan fon besar untuk sasaran pembaca di usia 8 hingga 12 tahun.

“Sebelum ini PTS One mengeluarkan buku kanak-kanak dalam bentuk novel. Siri Puteri ini memberi kelainan kerana berwarna dan ilustrasi yang menarik perhatian kanak-kanak,” jelas Puan Nahdatun Nisaak.

Siri buku kanak-kanak ini masih mengekalkan nilai sastera dan Bahasa Melayu Tinggi(BMT) disamping memberi hiburan kepada kanak-kanak.

Melalui buku Siri Puteri ini, kanak-kanak akan dihidangkan dengan kisah-kisah fantasi yang mampu memberi input dan ilmu yang boleh diserap serta diamalkan dalam kehidupan seharian mereka.

Buku Siri Puteri ini mampu menangkap mata pembaca dengan ilustrasi luar dan dalamannya yang menarik perhatian kanak-kanak.

Setakat ini, PTS One Sdn Bhd telah menerbitkan tiga buah buku siri puteri dan akan muncul dengan dua buah buku siri puteri terbaharu tidak lama lagi.

“Kita juga menggalakan buku ini untuk masuk ke perpustakaan sekolah kerana isi ceritanya penuh dengan ilmu sesuai dengan pelajar sekolah,” kata Puan Nahdatun.

Penulis yang berminat untuk menghasilkan karya untuk bacaan kanak-kanak ini boleh menghantar manuskrip kepada PTS One di ptsone @pts.com.my.

“Manuskrip yang menepati kreatiria yang ditetapkan PTS akan diterima untuk diterbitkan,” kata beliau lagi.

Peminat PTS One dan Siri Puteri juga boleh mengikuti perkembangan kisah Puteri ini melalui PTS One Facebook.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024