Artikel

PTS Jadi Lokasi Pengambaran Karipap-Karipap Cinta

oleh Roziyah pada 14 Jul 2010

PTS bakal menjadi lokasi pengambaran bagi filem Karipap-Karipap hasil adaptasi novel karipap-karipap cinta karya Tuan Anzri M. Annuar terbitan PTS Fortuna Sdn. Bhd.

Filem Karipap-Karipap Cinta ini dijadualkan ke lokasi pengambaran 18 Julai dan ia dijangka akan disiapkan sebelum bulan puasa ini.

Menurut Tuan Faizal Mukthar, Pengurus Penerbitan PTS Fortuna Sdn. Bhd, PTS sendiri akan menjadi lokasi pejabat Ali, watak utama dalam filem yang bakal diterbitkan tidak lama lagi ini.

Tuan Othman Hafsham juga telah melakukan tinjauan awal di bahagian editorial PTS yang menjadi lokasi pengambaran bagi filem ini.

Lebih mengujakan dengan penampilan istimewa staf dari PTS sendiri yang akan turut berlakon dalam filem yang bakal menggegarkan industri perfileman tempatan.

Tuan Syafiq Zulakifli, Editor Perolehan PTS Fortuna berkata, Tuan Othman Hafsham juga akan mengadakan majlis perasmian untuk filem Karipap-Karipap Cinta tidak lama lagi. 

Tuan Othman Hafsham, pengarah yang dikenali ramai ini pernah mencapai anugerah Pengarah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia kali ke-4, 1983 dan kali ke-7, 1987. Selain itu, beliau juga pernah mencapai anugerah penulis Skrip Terbaik pada Festival Filem Malaysia Pertama, 1980.

Antara filem arahan beliau ialah Adik Manja (1979), Mekanik (1983), Rahsia (1987), Ujang (1989), Driving School (1990), Soal Hati (2000) dan Soalnya Siapa? (2002).

Filem Karipap-Karipap Cinta merupakan kisah cinta Ali kepada Sarah. Kisahnya bukanlah cinta luar biasa tetapi kisah hidup mencari cinta yang membawa peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali menawan hati Sarah.

Nantikan filem yang penuh dengan kisah yang menarik ini di layar perak anda.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024