Artikel
Siri Syair 25 Rasul Pertama dalam Bentuk Nyanyian
oleh Roziyah pada 13 Oct 2010
PTS Islamika melakar sejarah apabila menghasilkan buku syair pertama PTS yang menggabungkan nyanyian, lukisan dan syair indah berkaitan 25 rasul.
Menurut Editor Senior, Tuan Rohidzir Rais berkata, buku yang menggabungkan penulis, pelukis dan penyanyi hebat ini melahirkan siri yang menarik kepada ibu bapa, guru dan kanak-kanak.
"Buku ini berkonsepkan syair bergambar. Di dalam setiap helaian disediakan permainan, perbendaharaan kata, dan eksperimen bagi menguji kefahaman kanak-kanak," jelas Tuan Rohidzir.
Lebih menarik apabila buku ini juga disertakan dengan rakaman syair rasul yang dilagukan oleh seorang wanita mualaf, cikpuan Farah Leia Az-Zahra Justin Abdullah. Syair indah berkaitan 25 rasul pula disediakan oleh Tuan Suhaimi mamat dan lukisan yang menarik dan menghiburkan disediakan oleh pelukis terkemuka, Tuan Nor Azlin Ngah atau lebih dikenali sebagai Jonos.
"Buku ini juga menampilkan perkataan-perkataan baru yang diselitkan dalam syair yang boleh menjadi ikutan dan nyanyian kanak-kanak seharian. Selama ini kanak-kanak di pra sekolah dihidangkan dengan lagu-lagu daripada barat. Syair yang disediakan boleh diajar kepada kanak-kanak dan menjadi ikutan setiap masa," jelas Tuan Rohidzir lagi.
Siri pertama yang akan terbit tidak lama lagi menampilkan syair Nabi Adam dan siri-siri lain akan menyusul selepas syair Nabi Adam ini.
"Buku ini bertujuan supaya kanak-kanak memahami serta memberi pengajaran mengenai kisah nabi dengan lebih mudah dan menyeronokkan. Ini merupakan satu altenatif bahan pendidikan Islam buat kanak-kanak," jelas beliau lagi.
Tuan Rohidzir berkata buku ini disasarkan kepada tadika Islam sebagai bahan pembelajaran kerana tadika di Malaysia kekurangan bahan pembelajaran yang menghiburkan seperti ini.
Buku yang akan terbit tidak lama lagi ini menjadi bahan yang berguna kepada ibu bapa dan guru dalam mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh.